Wednesday, June 19, 2013

TPP: Kerajaan akur desakan Amerika

Muhammad Faizal,
KUALA LUMPUR: Penganalisis ekonomi, Dr Rosli Yaakop (gambar) menyifatkan kerajaan akur dengan desakan kuasa besar ekonomi Amerika Syarikat (AS) apabila meneruskan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) pada 15 hingga 25 Julai di Kuala Lumpur nanti.
Beliau berkata rundingan tersebut telah mencapai tahap 70 peratus dan dijangkakan akan dilaksanakan pada hujung tahun ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu turut menekankan TPP akan memberi kesan yang teruk kepada pengguna selain turut menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada sebuah negara yang mendapat keuntungan hasil perjanjian tersebut.

"Saya melihat kerajaan akur dengan desakan AS untuk melaksanakan TPP sehingga terus melakukan rundingan pada bulan Julai nanti tanpa ada alasan untuk menolak cadangan tersebut.

"Kita kena tahu apabila TPP ditandatangani ia akan terus memberi tekanan kepada pengguna atas kenaikkan harga terutama perubatan selain mengadaikan maruah kedaulatan negara kepada AS yang kita tahu sikap mereka untuk mendapatkan keuntungan dari TPP," jelas beliau yang ditemui hari ini.

Katanya, TPP dilihat memberikan kesan yang buruk kepada negara ini terutamanya dalam bidang perubatan dan juga industri makanan.

Jelas Dr Rosli lagi, pelaksanaan TPP merupakan satu penjajahan baru dunia melalui kuasa ekonomi sehingga sesebuah negara itu terpaksa akur dengan apa yang terkandung dalam perjanjian apabila mereka menandatangani.

Katanya lagi, jika Malaysia menandatangi perjanjian tersebut negara ini tidak ada lagi peluang untuk keluar serta membatalkan perjanjian itu mengakibatkan Malaysia berada di bawah sebuah kuasa besar AS.

Jika berlaku apa-apa tuntutan mahupun permasalah segalanya akan ditentukan melalui undang-undang lain dan mahkamah bukannya berada di Malaysia tetapi di sebuah negara yang mempunyai pengaruh kuat.

"Inilah dikatakan penjajahan alaf baru melalui kuasa ekonomi, sekali kita terperangkap maka tidak ada jalan keluar untuk kita, apatah lagi jia berlaku sesuatu tuntutan dan untuk menyelesaikannya ia dilakukan oleh sebuah undang-undang lain yang mahkamah bukannya di Malaysia.

"Ini bermakna kedaulatan undang-undang negara ini telah tercabar secara tidak langsung, kuasa undang-undang bukan milik Malaysia tetapi milik kuasa ekonomi dunia dan adakah kita yakin dapat memenanginya," sambung beliau lagi.

Tambah beliau, Pakatan Rakyat akan terus menentang pelaksanaan TPP kerana ia akan melibatkan ekonomi tempatan akan rugi dan gulung tikar kerana tidak mampu bersaing selain faktor monopoli yang dilaksanakan AS.

Jelasnya, perjanjian tersebut bukannya berkonsepkan situasi menang menang (win win situation) tetapi lebih terjurus kepada perjanjian berat sebelah yang memberi keuntungan kepada AS sahaja.

"Kita perlu terima hakikat dengan pelaksanaan TPP ini menyebabkan harga barang akan naik berkali ganda terutamanya dalam perubatan apabila ia dimonopoli dan apa akan jadi kepada golongan berpendapatan rendah yang memerlukan perkhidmatan dalam kesihatan," katanya lagi.

Menurut kajian yang dilakukan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menunjukkan TPP akan menaikkan harga ubat-ubatan 60 hingga 80 peratus lebih tinggi dari harga sekarang.

Sumber harakahdaily

No comments:

Post a Comment