Thursday, June 20, 2013

Muktamar PAS 2013 bukan lagi urusan 'rumah tangga


Muktamar PAS kali ini bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti sebagaimana rutin setiap dua tahun sekali.

Pasca November 2013 nanti, seluruh ahli PAS, para penyokong (mahupun tidak), simpatisan dan rakyat Malaysia keseluruhannya bakal menyaksikan barisan kepimpinan baru dalam PAS.
Jika ditelusuri gamat pilihan raya umum ke-13 yang lalu, beberapa perkara penting perlu diberi perhatian.
NONEGelombang "Ini Kalilah" dan "UBAH" yang melatari sokongan terhadap Pakatan Rakyat merupakan signal penting, yang secara umumnya memperlihatkan sokongan terhadap Pakatan (termasuk PAS dalam kerangka tahalluf siyasi) pada kali ini berada pada tahap yang boleh dianggap amat cemerlang berbanding siri-siri pilihan raya umum yang lalu.

Slogan ini boleh dikatakan manifestasi kebencian rakyat terhadap Umno/BN dan harapan yang amat tinggi untuk melihat Pakatan mengambil alih Putrajaya.

Ini dikukuhkan lagi dengan peratusan undi popular yang diperoleh Pakatan menjangkau 51 peratus berbanding Umno/BN yang hanya pada tahap 47 peratus.
Pola sokongan ini tidak boleh sama sekali dipandang remeh kerana umumnya, rakyat menaruh harapan yang tinggi terhadap Pakatan, termasuk PAS sebagai sebuah parti berteraskan Islam dan mewakili teras sokongan masyarakat Melayu untuk mengambil tempat menggantikan Umno dalam landskap politik tanah air.
Oleh itu, barisan yang akan dibentuk menerusi pemilihan oleh para perwakilan dalam muktamar November nanti mestilah mengambil kira aspek ini dalam memastikan momentum PAS menuju pilihan raya umum ke-14.
Sokongan Tiong Hua, generasi Y
Hipotesis awal umumnya memperlihatkan PAS masih gagal meraih majoriti sokongan pengundi Melayu.

Di sesetengah kawasan dan negeri, sokongan masyarakat Tiong Hua terhadap PAS mampu mencecah 80 hingga 90 peratus. Ini perlu disedari dan perlu dikekalkan.
NONEDalam masa yang sama, PAS juga tidak boleh sama sekali mengabaikan aspek pengundi muda yang mewakili saluran 3 dan 4 khususnya dalam persediaan menuju pilihan raya akan datang.

Mereka merupakan generasi Y yang hidup dalam hambatan arus deras media baru.

Di institusi-institusi pengajian tinggi contohnya, mereka merupakan anak muda yang boleh sahaja mengikuti tarbiah Islam menerusi agen-agen kaderisasi PAS di kampus, namun dalam masa yang sama terdedah dengan wacana-wacana kritikal yang sarat di ruang siber.
Justeru, perwakilan PAS perlu bijak memilih untuk mengemukakan wajah-wajah kepimpinan yang mampu menjadi jambatan kepada dua kelompok sasar yang lahir dari kehangatan PRU13 ini.
Dalam erti kata lain, kepimpinan yang mampu mengekalkan sokongan masyarakat Tiong Hua (termasuklah bangsa-bangsa lain), mampu menghargai dan menyantuni aspirasi generasi muda dan dalam masa yang sama mampu merangka strategi meningkatkan sokongan dan keyakinan Melayu terhadap PAS.
Mencari tokoh kepimpinan
Bercakap soal meningkatkan sokongan dan keyakinan Melayu terhadap PAS, barangkali ada benarnya ramalan bahawa wujud gelombang pengundi Melayu di sesetengah negeri yang pulang beramai-ramai ke kampung halaman bagi mempertahan kerajaan Melayu Umno/BN di negeri masing-masing dalam pilihan raya lalu.

NONEIa berlaku antaranya disebabkan PAS dilihat tidak dominan dalam Pakatan lantas dituduh menjadi 'kuda tunggangan' DAP dan seringkali didakwa PAS sekadar menjadi pelaksana kepada agenda Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lantas saya melihat bahawa tiada opsyen lain kepada PAS melainkan perlu memandang serius dalam memikirkan sosok kepimpinan yang sekurang-kurangnya mampu menyaingi ketokohan Anwar dalam Pakatan termasuklah juga dalam arus politik semasa, baik di peringkat nasional mahupun internasional.
Ini merupakan satu cabaran besar buat PAS. Muktamar kali ini tidak boleh lagi sekadar dilihat urusan dalaman 'rumah tangga' PAS semata-mata kerana PAS pada tahap kini sudah menjadi rumah tangga yang berteduh di bawahnya seluruh rakyat Malaysia sesuai dengan slogan 'PAS for All'.

Bahkan lebih mencabar lagi, elemen-elemen ketokohan yang perlu dinilai oleh para perwakilan nanti perlu bersifat pakej dengan mengambil kira elemen-elemen kepimpinan Islam sedia ada yang dikendong PAS selama ini sebagai sebuah gerakan Islam tanah air.
Justeru kepimpinan yang baik, amanah, berilmu disertakan ketangkasan mengatur strategi serta mengurus rakyat yang bersifat rencam dalam kerangka politik baru merentasi sempadan politik sempit perkauman tajaan Umno/BN sebelum ini perlu diketengahkan.
Perkara yang diutarakan di atas bukan saranan ke arah menghakis jati diri PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang menjadikan tarbiah sebagai tunjang, kerana di sinilah sebenarnya terletak kebijaksanaan PAS dalam menyelaraskan teras-teras dasar perjuangannya dengan garapan kemas fiqh waqi' dan siyasi dalam realiti Malaysia.
Justeru, muktamar PAS pada kali ini pastinya menjadi suatu noktah penting dalam menentukan hala tuju PAS sekurang-kurangnya untuk dua tahun ke hadapan sebelum bertemu kembali pemilihan yang akan datang.

Shake Omar Ali adalah exco Dewan Pemuda PAS Johor
 
Sumber malaysiakini

No comments:

Post a Comment