Friday, June 7, 2013

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat harus sepakat — Mohd Sayuti Omar


 
7 JUN — Bagus juga cadangan agar ahli Parlimen Pakatan Rakyat memboikot takilmat Parlimen yang akan diadakan Selasa depan. Tindakan itu seperti mana kata ketua pemuda pusat DAP Anthony Loke sekurang-kurang memberi tekanan ke atas pihak kerajaan berhubung usaha Pakatan Rakyat yang mahukan pilihan raya bersih.
Walaupun tindakan itu bukan menggambarkan semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan memboikot sidang Parlimen, tetapi ia merupakan satu tindakan meneruskan protes. Ketika ini Pakatan Rakyat sedang melakukan protes terhadap pilihan raya yang baru lalu yang dianggap penuh dengan penipuan dan ketidak adilan.
Sebelum ini telah diadakan beberapa siri himpunan dikenali dengan Black505. Himpunan itu tidak akan memberi apa-apa erti kalau ia terhenti di situ saja. Apa lagi kalau selepas ini semua ahli Parlimen menghadiri sidang seperti biasa. Satu himpunan raksasa dirancang pada pertengahan bulan depan.
Pandangan Anthony itu nampaknya disokong oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang juga ahli Parlimen Pandan. Sikap DAP dan PKR mengenai protes ini konsisten berbanding dengan ahli Parlimen PAS yang kelihatan tidak semua sekata. Yang menjadi persoalan kini bagaimana penerimaan ahli Parlimen baru PAS khasnya di kalangan pemuda yang kini sudah pun ada yang bercakap sumbang?
Apakah mereka juga akan mengambil langkah sama atau akan memulaukan tindakan itu atau tidak akan menyokong apa-apa pandangan untuk terus melakukan protes? Mungkin ahli Parlimen PAS akan mengambil jalur lain dalam hal ini. Al maklumlah sesetengah yang baru menang kini sudah pun sibuk belajar berjalan sebagai ahli yang berhormat.
Sudah kedengaran ada yang ingin membeli kereta baru atau pun bertanya bila Parlimen akan membahagi-bahagikan crown Parlimen. Atau pun sudah ada yang menempah kot untuk ke parlimen dan berangan-angan mengambil gambar dengan lambang Parlimen tersemat di dada.
Perbezaan pendapat dalam hal ini akan terus menyerlahkan tidak semaufakat dalam tindakan dikalangan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat. Situasi ini menyebabkan tindakan pemulauan sebagai tanda protes kurang berhasil. — msomelayu.blogspot.com

No comments:

Post a Comment