Rancangan pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang, yang kali terakhir dibaik pulih pada 1983, menjadi perdebatan hangat antara pihak kerajaan dan pembangkang di Dewan Undangan Negeri
Terengganu semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, ketika sesi penggulungan, berkata pembangkang sebelum ini menabur pelbagai fitnah berhubung rancangan itu sehingga sanggup menghasut pihak tertentu agar projek berkenaan dihentikan.

Beliau berkata sebenarnya kerajaan negeri tidak mengeluarkan satu senpun kos bagi projek itu yang dianggar menelan belanja RM400 juta, sebaliknya ia dimajukan melalui dasar penswastaan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu kepada sebuah syarikat swasta di Kuala Terengganu.

"Ini satu fitnah dan kenyataan yang mengelirukan, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan projek bernilai RM400 juta, apa yang berlaku ialah cadangan penswastaan untuk mendirikan Pasar Baru Kedai Payang... sebagai balasan pemaju akan membina hotel 23 tingkat serta apartmen, dan nilai ini hampir RM80 juta diberi percuma kepada kerajaan negeri Terengganu," katanya merujuk isu yang dibangkitkan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk).

Dalam pada itu, Ahmad mempertahan langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu dalam memastikan hak orang Melayu ke atas hartanah di Cabang Tiga, Ladang dan Tanjung kekal dalam bandaraya Kuala Terengganu.

Beliau berkata pengalaman di Paya Keladi dan Kampung Tiong mendorongnya untuk mengubah polisi pemilikan hartanah dalam kawasan itu bagi memastikan orang Melayu tidak kehilangan hak mereka.
"Demi menyelamatkan tanah (Melayu) bermula dari tahun 1997 hingga 2012, kita ada rekod... bermula dari Bulatan Ladang sehingga Flat Sri Kolam ke Tanjung dan kambali ke Bulatan Ladang, tanah orang Melayu yang telah terjual sama ada sukarela atau terpaksa iaitu sebanyak 50 lot tanah telah dijual dengan keluasan 4.10 hektar," katanya.

Ahmad berkata melalui polisi baharu itu, 50 peratus aset akan dimiliki kerajaan manakala bakinya dijual, termasuk 30 peratus kepada bumiputera.

"Semasa zaman PAS memerintah, Tuan Guru Hadi (Menteri Besar ketika itu), dua hari sebelum pilihan raya, telah meletakkan kerja tanah pembinaan Cabang Tiga dan ketika itu, polisinya hanya 30 peratus rumah kedai yang dijual kepada bumiputera dan orang Islam, selepas itu (bila BN kembali memerintah), kita buat perjanjian baharu, kita buat perjanjian 50-50," katanya.

-Bernama