Friday, June 21, 2013

200 pemimpin Pakatan turun bersama rakyat esok


Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Rakyat diseru menjadikan himpunan Black 505 esok sebagai hari bersejarah, kemuncak gerakan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Pengerusi Black 505, Datuk Johari Abdul berkata, kehadiran rakyat yang besar pada himpunan itu akan menjamin pilihan raya yang lebih baik pada masa hadapan.

Katanya, pemimpin Pakatan Rakyat menyeru, kehadiran melebihi 250,000 bagi menunjukkan kepada kerajaan BN bahawa rakyat benar-benar serius menuntut satu perubahan sistem.

“Himpunan 622 akan dihadiri oleh pemimpin utama Pakatan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

“Wakil-wakil rakyat dari Pakatan akan turut bersama-sama rakyat. Dijangkakan lebih 200 pemimpin Pakatan akan ke Padang Merbok,” katanya dipetik KeadilanDaily.

Johari juga menegaskan keselamatan rakyat akan dijaga oleh anggota keselamatan Pakatan dan bantuan kecemasan serta perubatan kepada peserta perhimpunan turut disediakan oleh beberapa NGO.

“Pihak sekretariat akan menyediakan kawalan keselamatan sepanjang hari. Anggota Unit Amal PAS sebanyak 1,000 orang akan digerakkan bersama 400 AMK dan 200 DAPSY.

“Rawatan perubatan juga disediakan bagi peserta yang menghadapi kecemasan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.

Selain itu, pihak sekretariat menyediakan 50 doktor, dua ambulans dan pondok perubatan.

Majlis Peguam akan menghantar peguam untuk membantu mana-mana peserta sekiranya ditahan polis.

Himpunan 622 akan bermula pada pukul 3 petang di Padang Merbok. Peserta akan mula berarak dari tempat berkumpul (check point) mereka pada jam 2.00 petang.

Terdapat 7 tempat berkumpul utama, iaitu Brickfields, Masjid Negara, Sogo, Jalan Pudu, Jalan Sultan, Universiti Malaya dan Sogo.

Check point di Pekeliling sebelum ini disatukan dengan Sogo dan peserta di ibu negara diminta berkumpul di sana seawal pukul 12 tengah hari sebelum berarak ke Padang Merbok.

No comments:

Post a Comment