- Written by Wartawan Buletin
Malangnya, kerajaan Umno-BN berdegil, tidak mahu menerima usul tersebut, bahkan ketika Dr. Syed Azman membacakan usul itu, beliau telah diganggu oleh Speaker DUN Mohd Zubir Embong dan para penyokong Umno-BN. [Lihat Video]
Berikut adalah Teks Usul yang dikemukakan, yang menjadi ucapan Dr. Syed Azman;
Usul di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 30 peraturan-peraturan dan perintah tetap Dewan Undangan negeri Terengganu.
Tuan Yang Di-Pertua,
Tuan Yang di-Pertua, saya YB Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu Kawasan Batu Burok mohon mencadangkan,
“Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguh mengikut fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan isu cadangan projek mega bernilai RM400 juta di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu di atas perobohan Pasar Payang yang merupakan warisan begi seluruh rakyat Terengganu Darul Iman.
Projek yang apabila siap dan dikatakan akan menjadi mercu tanda terbaru negeri ‘penyu bertelur’ itu dijangka akan menempatkan sebuah hotel bertaraf lima bintang 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan sebuah pangsapuri 30 tingkat.
Tuan Yang Di-Pertua,
Isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana dengan merobohkan Pasar Besar Kedai Payang yang telah meniti usia 80 tahun bagi memberi laluan kepada projek mega di bina di atas tapak pasar yang sedia ada. Kontrak yang diberikan juga di ‘anugerahkan’ kepada ‘Taikon-taikon’ Cina yang berpengkalan di Kuala Lumpur.
Yang lebih penting lagi adalah, kebanyakan warga Terengganu telah membantah keras rancangan ‘projek mega’ RM400 juta ini. Ia tidak sesuai dengan perkembangan semasa yang kini berlaku di negari ini sendiri. Lebih-lebih lagi negeri Terengganu kini terlalu banyak berhadapan dengan projek ‘nazak’ dan terbengkalai seperti keruntuhan yang berlaku di Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta, Projek Taman Ilmu di Besut yang bernilai hampir RM400 juta dan projek Bebas Cukai di Tasik Kenyir yang bernilai lebih RM300 juta.
Ini ditambah lagi, sejak akhir-akhir ini, banyak warisan di negeri ini yang telah dirobohkan atas nama ‘pembangunan’. Di sekitar Kuala Terengganu sahaja telah menyaksikan perobohan Istana Kolam, Pasar Kedai Binjai, Pasar Tanjung, Menara Jam Besar dan yang terbaru adalah Kampung Ladang yang terkenal dengan pusat industri tembaga dan batik yang terus hilang dari peta sejarah. Perkampungan tradisi masyarakat Melayu sejak ratusan tahun juga hilang ditelan arus pembangunan yang amat rakus seperti di Kampung Paya Bunga, Kampung Paya Keladi dan Kampung Lorong Hj. Jamil.
Perkara ini adalah melibatkan kepentingan orang ramai apabila dengan perobohan Pasar Payang ini akan menambahkan lagi duka masyarakat Melayu Terengganu apabila ia juga akan hilang dari peta sejarah. Pasar Payang ini juga dilihat sinonim dengan tarikan kedatangan para pelancong ke negeri ini. Ia sejak sekian lama telah menjadi satu-satunya "mercu tanda" bagi menarik pelancong ke negeri “penyu bertelur’ ini. Ia juga merupakan pusat jualan pelbagai barangan tardisional yang terkenal di Terengganu. Ia juga merupakan warisan rakyat Terengganu yang sejak sekian lama menjadi kebanggaan rakyat Terengganu.
Tuan Yang Di-Pertua,
Perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal pelanggaran hak warisan rakyat dan sejarah negeri Terengganu. Dengan terbinanya sebuah hotel lima bintang dan menara kondominium di situ, akan hilanglah penguasaan pemilikan masyarakat Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu. Begitu juga dengan suasana Pasar Payang yang ada sekarang, ianya adalah ‘pasar tradisi’ yang menjadi lambang ketinggian adat budaya Melayu. Dengan perubahan persekitaran yang amat mendadak ini, pasar ini amat sukar untuk dikekalkan identiti tradisinya dengan adanya pembangunan lain seperti hotel dan kondominium.
Pasar Payang ini adalah kebanggaan rakyat Terengganu yang perlu dikekalkan dan dipelihara untuk tatapan generasi akan datang. Pasar ini juga merupakan warisan kebanggaan bagi masyarakat Melayu di Terengganu. Sepertimana kampung Cina yang menjadi kebangaan masyarakat Tionghua, maka begitu jugalah dengan Pasar Payang bagi kaum Melayu di Terengganu.
Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan.
Yang mengusulkan,
YB DR SYED AZMAN SYED AHMAD NAWAWI,
Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu
Kawasan Batu Burok
18 Jun 2013
No comments:
Post a Comment