Monday, June 17, 2013

Minta kaji balik perbankan Islam





Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail,
Saya berpendapat bahawa pinjaman secara kaedah Islam perlu dikaji semula. Hal ini kerana saya berasa was-was dan mendapati dalam perjanjian terutama sekali melalui Institusi kewangan atau Bank konvensional masih terdapat unsur-unsur pinjaman secara kaedah kapitalis - segala syarat dan kaedah jual beli didalamnya.

Katakanlah seseorang Muslim hendak membuat pinjaman peribadi ataupun pinjaman perumahan, setelah disaringkan dan menepati syarat sapertimana yang dikehendaki itu maka Pegawai Bank berkenaan akan memanggil sipeminjam untuk menandatangani segala dokumen yang selalunya dibuat dalam Bahasa Inggeris. Syarat dan terma perjanjian hanya diberikan beberapa minit sahaja untuk pelanggan menyemak sebelum menandatangani surat perjanjian tersebut.

Pinjaman ini menggunakan perkataan Islam agar nampak Islamik sedikit pada hal tidak ubah sapertimana pinjaman konvensional juga apabila disebutkan bahawa pinjaman untuk membeli sebuah rumah katakanlah harga asal rumah tersebut RM200 ribu dan disyaratkan bayar secara ansuran selama 30 tahun dengan harga berubah kepada jumlahnya RM600 ribu. Alasannya bahawa itu adalah ikut harga pasaran rumah tersebut pada 30 tahun akan datang.

Kalau diperhalusi secara rasional adakah logiknya dan adakah itu apa yang Islam ajar dan praktikkan? Agama Islam tidak pernah dan jauh sekali cuba menindaskan dan membuat penganiayaan dalam keadaan apa sekalipun kepada umatnya. Bayangkan kalau kita terlewat sedikit untuk membayar ansuran bulanan kerana ada masalah kewangan sedikit dimasa itu sudah tentu pihak Bank yang dikatakan membawa kaedah Islam itu akan menghantar surat amaran beserta dengan jumlah denda yang perlu dibayarkan dengan seberapa segera dari pejabat peguam tertentu. Inilah hakikatnya risiko yang pelanggan akan terima.

Pernah saya kemukakan kepada bank yang dikatakan mempraktikkan pinjaman secara islam ini untuk melangsaikan hutang pinjaman perumahan yang saya telah pun membayar ansurannya selama 10 tahun dan baki pinjaman selama 20 tahun lagi untuk dilangsaikan. Alangkan kecewanya saya apabila Pegawai bank itu berkata bahawa saya dikenakan bayar bukan dengan harga asal pinjaman itu tetapi ianya mesti dibayar sekali dengan faedah selama 20 tahun sebagai dijanjikan itu juga dan hanya beberapa RM sahaja dibenarkan untuk dikurangkan sahaja. Ini bermakna apabila sudah terikat dengan pinjaman walaupun namanya secara kaedahnya atas nama Islam tetapi penindasannya tetap ada dan unsur-unsur riba' terang lagi nyata tetap tidak berubah. Akhirnya saya lupakan sahaja hasrat murni saya itu kerana terasa diri ini telah terperangkap diatas nama Islam mereka yang tidak berhati perut ini.

Dialam ajaran al-Quran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, telah memberikan amaran yang keras dan berkali-kali disebutkan tentang ancaman kepada mereka yang melakukan riba' dalam apa keadaan sekalipun. Apatah lagi jika mengeksploitasikan hukum yang ditetapkan itu seolah-olah mempersendakan hukum Allah dan seolah-olah juga mereka tunjukkan bahawa mereka lagi pandai mengaturkan apa yang telah ditetapkan itu. Tidakkah kita mahu ambil iktibar dari cerita yang terdapat didalam al-Quran bagaimana sekumpulan kaum Yahudi dizaman Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan Allah supaya tidak menangkap ikan pada hari Sabtu tetapi mereka mencari akal dengan menggunakan kaedah memasangkan pukat pada malam hari Jumaat dan habuannya akan diambil pada pagi Ahad. Apa terjadi dengan mereka ini? Ia bukan sahaja dilaknati tetapi ditimpakan musibah kepada keseluruhan puak itu.

Para alim ulama dan cendiakawan dalam urusan ekonomi Islam yang telah belajar dengan berbagai-bagai ijazah sama ada dari luar negara dan dalam negara dalam bidang tersebut janganlah berpeluk tubuh sahaja dan biarkan perkara sebegini berterusan kerana amanah anda adalah untuk menjaga kepentingan umatnya dan anda akan dipertanggunjawabkan diakhirat kelak. Perbetulkan balik supaya kembalikan kelandas Islam yang sebenarnya.

Sumber harakahdaily

No comments:

Post a Comment