Sunday, June 16, 2013

32 Adun Terengganu angkat sumpah, Zubir Embong dilantik Speaker

KUALA TERENGGANU, 16 Jun — Seramai 32 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu hari ini mengangkat sumpah sebelum bermulanya persidangan Dewan Undangan Negeri pertama sesi penggal ke-13 di Bangunan Wisma Darul Iman di sini, Isnin ini.


Kesemua 32 Adun daripada Barisan Nasional dan pembangkang itu mengangkat sumpah taat setia sebagai Adun dalam melindungi dan mempertahankan perlembagaan negeri Terengganu.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri yang baharu dilantik, Mohd Zubir Embong.

Ahmad Said yang mengemukakan nama Mohd Zubir sebagai Speaker DUN yang baharu dan disokong Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Mohd Zubir, bekas Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kualal Terengganu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu namun kalah kepada calon PAS Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di depan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu, Azhar Jusoh pada pukul 9.42 pagi.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi mengangkat sumpah 32 Adun tersebut yang diketuai Ahmad yang juga Adun Kijal pada pukul 9.50 pagi di depan Speaker DUN yang baharu.

Mohd Zubir ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Menteri Besar yang melantiknya menjawat jawatan itu dan berjanji akan mengendalikan persidangan DUN dengan baik.

Persidangan DUN itu yang berlangsung sehingga Rabu ini akan dirasmikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada pilihan raya lalu, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang mudah dengan memenangi 17 kerusi manakala PAS menang di 14 kerusi dan PKR (satu kerusi).

Kerusi DUN yang dimenangi BN ialah Hulu Besut, Jerteh, Kota Putera, Kuala Besut, Langkap, Permaisuri, Jabi, Batu Rakit, Seberang Takir, Kuala Berang, Telemong, Ajil, Pengkalan Berangan, Bukit Besi, Kijal, Kemasik dan Air Putih. — Bernama

No comments:

Post a Comment