Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan status darurat di Muar dan Ledang di Johor berkuat kuasa serta merta selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 750 setakat 7 pagi ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel menerusi posting terbaru dalam facebook beliau.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju mengisytiharkan status darurat di Muar dan Ledang berkuat kuasa serta merta selepas bacaan IPU melebihi 750," kata Palanivel.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan bacaan IPU di Muar setakat 7 pagi ini ialah 746.

Bagaimanapun setakat 11 pagi ini, bacaan IPU di Muar mencatatkan sedikit penurunan kepada 690 tetapi masih pada tahap bahaya.

Berdasarkan indeks kualiti udara, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Pada 2005, Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor diletakkan di bawah status darurat jerebu apabila bacaan IPU di kedua-dua kawasan itu melebihi 500, tahap yang dikategorikan sebagai berbahaya kepada kesihatan.

IPU tertinggi direkodkan di Malaysia ialah di Sarawak pada 1997 dengan bacaan 860.

Palanivel dalam posting terdahulu di facebook beliau hari ini berkata keadaan jerebu di tiga bandaraya di Malaysia termasuk di Muar telah mencecah para berbahaya.

Dua bandar di Melaka -- Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai -- juga berada pada paras bahaya setakat 7 pagi ini, masing-masing dengan bacaan IPU 357 dan 334.

Keadaan jerebu di dua kawasan itu semakin merosot pada 11 pagi ini dengan bacaan IPU masing-masing 415 dan 428.

-Bernama