Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan semua anggota parlimen supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menjurus kepada kemusnahan negara kerana ia membawa implikasi amat besar terhadap masa depan tanah air.

Seri Paduka bertitah sebuah negara yang tersungkur akibat sesuatu masalah mungkin mengambil masa yang panjang untuk pulih.

"Sebuah negara yang musnah akibat persengketaan atau mengalami kejatuhan ekonomi belum tentu dapat bangkit semula dalam tempoh yang singkat," titah Seri Paduka ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Tuanku Abdul Halim sekali gus menggesa semua anggota parlimen supaya merapatkan saf, berganding bahu membangun dan memajukan negara.

"Beta ingin mengingatkan ahli-ahli Yang Berhormat sebagai ahli Dewan yang mulia ini agar menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara serta sentiasa memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan mereka supaya bersama-sama memikul amanah rakyat yang inginkan kestabilan dan kemakmuran negara berkekalan, kesejahteraan hidup terus meningkat serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama kian utuh.

Tuanku Abdul Halim bertitah rakyat pula perlu memainkan peranan dan bekerjasama dalam membantu kerajaan merealisasikan amanah itu.

"Beta mengucapkan tahniah kepada semua ahli Dewan yang telah dipilih oleh rakyat. Harapan Beta kepada ahli-ahli Yang Berhormat, berkhidmatlah kepada rakyat dengan penuh dedikasi dan berintegriti," titah Seri Paduka.

Selain itu, Tuanku Abdul Halim mahu mereka sentiasa menunjukkan akhlak terpuji demi agama, maruah diri, institusi Parlimen yang mulia dan negara tercinta.

"Sematkanlah dalam sanubari bahawa kehadiran ahli-ahli Yang Berhormat ke Dewan yang mulia ini adalah satu tanggungjawab bagi menunaikan janji-janji kepada rakyat," titah Seri Paduka.

Seri Paduka turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan jemaah menterinya kerana berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lepas.

"Beta yakin kerajaan akan terus berusaha dengan gigih untuk membangunkan negara bagi mencapai matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," titah Seri Paduka.

Pada PRU13, Barisan Nasional memperoleh 133 daripada 222 kerusi Parlimen, yang membolehkannya membentuk kerajaan persekutuan. Pakatan pembangkang gabungan
PKR-PAS-DAP pula meraih 89 kerusi.

Dalam pada itu, Tuanku Abdul Halim bertitah semua pihak harus menerima dan menghormati keputusan PRU13 yang telah diadakan mengikut lunas-lunas sistem demokrasi.

Rakyat juga diminta bekerjasama serta berganding bahu dengan kerajaan bagi membolehkan negara melangkah ke depan untuk mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Beta percaya komitmen kerajaan dalam merealisasikan agenda transformasi nasional melalui program-program di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) akan memanfaatkan segenap lapisan masyarakat baik dari segi ekonomi, sosial, keselamatan dan politik," titah Seri Paduka.

Dalam mencapai hasrat itu, Tuanku Abdul Halim yakin kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap nilai-nilai akauntabiliti, integriti, pematuhan undang-undang dan tadbir urus yang baik.

- Bernama