Sunday, June 9, 2013

Pelancong China ‘tak bertamadun’ — Kunta Kinte


9 JUN — Dalam dunia ada macam-macam cerita dan ragam. Kunta Kinte tertarik dengan satu berita yang Kunta Kinte baca. Sekarang ni, Kunta Kinte baca berita dengan dua cara. Mula-mula Kunta Kinte baca melalui internet dan keesokan hari baca dalam surat khabar pula. Baca melalui internet pasal cepat dan baca dalam surat khabar sebab tabiat.
Cerita yang tarik minat Kunta Kinte itu adalah berkenaan pelancong negeri China yang ‘tak ada tamadun’. Bukan Kunta Kinte yang kata macam tu, tapi surat khabar rasmi China sendiri yang kata.
Surat khabar rasmi Parti Komunis China, The People’s Daily, petik Wang Yang, salah seorang daripada empat Naib Perdana Menteri sebagai berkata, ada pelancong China yang pergi ke luar negara berperangai buruk.
Kata Wang, mereka cakap dengan suara yang kuat di depan orang ramai, melintas jalan sesuka hati, meludah dan menconteng dengan tulisan Cina di tempat-tempat menarik yang mereka lawati.
Wang dukacita tahap kebersihan dan budi pekerti mereka yang rendah telah merosakkan imej China di luar negara.
Kata Wang lagi, tabiat buruk mereka kerap dikritik oleh media massa dunia dan ini merosakkan imej negara serta membawa kesan yang memudaratkan.
Katanya, kerajaan perlu bertindak perbaiki keadaan dengan mengajar pelancong China yang akan melawat ke luar negara agar bersopan dan hormat agama dan kepercayaan orang lain. Tahun lalu, lebih 80 juta rakyat negeri China melancong ke Eropah saja.
Masalah bahasa jadi punca 
Kunta Kinte sendiri pernah jadi mangsa perangai pelancong China yang tak bertamadun itu masa Kunta Kinte sedang makan di sebuah restoran makanan Jepun teppanyaki di ibu negara.
Boleh kata mereka rempuh masuk. Mereka mengasak dan menolak dan duduk dengan tidak peduli orang yang sedang makan. Mereka bercakap dengan lantang dalam bahasa Cina dan apabila makan, mereka makan dengan gelojoh sekali.
Kunta Kinte perhatikan, masalah mereka ini adalah bahasa. Sebab mereka hanya cakap Cina, mereka tak boleh berkomunikasi dengan baik. Lagipun, kerana mereka bergerak dalam kumpulan dan kena ikut masa, jadi mereka terpaksa berasak-asak dan berkejar ikut pemandu mereka yang bawa bendera.
Apa nak kata, negara kita mahukan duit pelancong. Kita longgarkan syarat imigresen sampai siapa saja boleh masuk negara kita atas alasan melancong.
Jadi kita pun tak boleh salahkan pelancong saja. Kita kena salahkan juga pihak-pihak yang jaga hal-ehwal pelancongan dan imigresen yang nampak mahukan sangat duit pelancong.
Jangan kerana duit
Kunta Kinte tahulah pendapatan pelancongan penting. Tahun lepas, kira-kira 25 juta pelancong datang ke negara kita dan belanja dekat RM61 bilion. Pada 2011, lebih sejuta pelancong China melawat negara kita. Tapi janganlah kerana duit kita akhirnya kita juga yang susah.
Kita kena ingat dah ada beratus-ratus ribu orang asing, termasuk dari negeri China yang masuk sebagai pelancong tapi tak keluar-keluar. Kita tidak mahulah pelancongan bawa masuk sampah-sarap ke dalam negara kita.
Sebenarnya, bukan pelancong dari negeri China saja yang tak bertamadun. Kalau kita pergi ke kawasan-kawasan pelancongan macam Bukit Bintang, kita akan nampak yang banyak lagi pelancong dari merata dunia, terutama dari negara-negara membangun di Afrika dan Asia Barat, yang lebih kurang sama saja perangai mereka dengan pelancong China.
Mereka melintas jalan sesuka hati. Mereka tak peduli lampu isyarat. Mereka buang sampah merata-rata. Khabarnya ada pelancong dari negara-negara tertentu yang sombong dan angkuh sebab mereka banyak duit.
Kita juga kena perbaiki diri 
Satu hal kita kata ada pelancong asing yang tak bertamadun tapi maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata banyak juga orang kita seperti pemandu teksi dan peniaga yang sama-sama tak bertamadun kerana menipu dan ambil kesempatan daripada pelancong.
Jadi, kita kena ingat bukan saja kita yang cakap buruk tentang pelancong, tapi pelancong juga akan cakap buruk berkenaan kita dan negara kita apabila mereka balik ke negara masing-masing.
Kunta Kinte harap manakala Kerajaan China hendak perbaiki budi pekerti pelancong mereka yang akan ke luar negara, kita juga kenalah jaga dan perbaiki budi pekerti kita. Takut-takut kita pula dituduh tak bertamadun oleh pelancong. Wallahualam. — Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment