Tapak Warisan Arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang dekat Sungai Petani, dipercayai tamadun tertua di Asia Tenggara, mempunyai ciri-ciri untuk diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata tapak bersejarah yang dipercayai wujud pada tahun 110 Masihi iaitu 1,900 tahun lalu itu merupakan penemuan penting yang menjadi salah satu bukti kewujudan Kerajaan Kedah Tua selain berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.

"Sebaik-baiknya tempat ini diwartakan di bawah Unesco dan jika itu dapat dilakukan mungkin bajet yang lebih besar dapat diminta daripada Kerajaan Persekutuan (untuk pembangunan tapak warisan itu)," katanya pada sidang media selepas melawat tapak warisan berkenaan semalam.

Mukhriz berkata tapak warisan itu mempunyai keistimewaan tersendiri apatah lagi dengan penemuan industri peleburan besi yang menunjukkan wujudnya aktiviti perdagangan di situ pada abad pertama Masihi.

"Harapan saya agar kawasan ini boleh dibangunkan sebagai destinasi pelancongan tanpa menjejaskan integriti tempat yang penuh bersejarah ini...pelancong boleh melihat kerja-kerja ekskavasi yang sedang diusahakan oleh USM (Universiti Sains Malaysia)," katanya.

Difahamkan, penemuan tapak arkeologi di Sungai Batu itu akan mengubah perspektif sejarah negara dan meletakkan Malaysia sebagai pusat wujudnya tamadun manusia tertua di Asia Tenggara.

Kajian dan penyelidikan yang dijalankan di situ sejak 2009 membawa kepada beberapa penemuan antaranya tapak ritual yang terbenam pada kedalaman 1.5 meter, serpihan tembikar, industri peleburan besi dan perdagangan.

Susulan itu, sejumlah RM20 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Warisan Negara untuk pengambil-alihan tanah di tapak arkeologi Sungai Batu serta projek pembinaan infrastruktur di kawasan berkenaan.

- Bernama