Friday, June 21, 2013

Black505: Penganjur sambut baik kerjasama polis

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Penganjur himpunan aman Black505 yang dijadual berlangsung di Padang Merbok esok mengalu-alukan kenyataan pihak polis yang bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dalam memastikan kelancaran himpunan esok.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, beliau telah dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa pihak polis akan membantu penganjuran perhimpunan esok hari, selagi peserta tidak memusnahkan harta awam.

"Saya merakamkan sepenuh penghargaan terutamanya kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad yang banyak membantu, termasuk kesudian beliau untuk duduk berbincang dengan saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat (walaupun terpaksa dibatalkan akhirnya).

"Kesediaan polis memberi kerjasama dan membantu penganjuran esok disahkan oleh ASP Ananthan Rajoo dari IPD Dang Wangi yang mengakui telah menerima arahan atasan untuk membantu, seperti yang dilaporkan oleh laman FreeMalaysiaToday sebentar tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sekretariat penganjur telah duduk berbincang dengan pasukan perubatan sukarelawan untuk memperhalusi persediaan perubatan sokongan memandangkan keadaan udara yang membimbangkan.

Beliau menjangkakan sejumlah besar orang ramai akan tetap hadir untuk menyertai perhimpunan pada esok hari.

Berikut antara langkah keselamatan yang akan diambil pihak penganjur:

1. Satu ibupejabat markas perubatan akan dibuka di Padang Merbok. 4 markas perubatan sokongan akan turut dibuka di sekitar laluan di Kuala Lumpur ke arah Padang Merbok, iaitu di Dataran Merdeka, Masjid Negara, Kompleks Sogo dan Dataran Maybank.

2. Sebanyak 4 buah ambulan dan 5 motorsikal perubatan akan disediakan sekiranya ada keperluan untuk memindahkan pesakit terus ke hospital. Petugas bermotosikal akan memudahkan mereka bergegas ke kawasan yang memerlukan sokongan.

3. Keseluruhan kekuatan tenaga perubatan adalah sebanyak 55 orang termasuklah doktor, jururawat dan paramedik

4. Setiap markas perubatan akan dibekalkan dengan “automated external defibrillator” atau AED bagi operasi menyelamatkan nyawa (jika diperlukan) dan ubat-ubatan/kemudahan “drip”  bagi tujuan “advanced life support” (ALS)

Sementara itu, Rafizi juga menyeru orang ramai yang mempunyai apa-apa masalah perubatan dan memerlukan bantuan boleh menghantar SMS ke nombor 010 277 2072 dengan beberapa maklumat disertakan.

Ianya termasuk bentuk kesukaran dan kecemasan (berapa orang yang terlibat di dalam kecemasan), di mana kecemasan berlaku (pastikan lokasi yang tepat), serta siapa yang perlu dihubungi di tempat kecemasan dan nombor.

"Saya percaya segala perancangan telah dibuat untuk memastikan perhimpunan #black505 Padang Merbok berjalan dengan aman.

"Dengan persediaan polis dan bantuan sukarelawan perubatan, saya menggesa seberapa ramai rakyat Malaysia untuk turun berkumpul bermula dari jam 12 tengahari esok.

"Sila bawa sekurang-kurangnya sapu tangan dan air mineral sebagai persiapan sekiranya masalah jerebu berpanjangan," katanya.

No comments:

Post a Comment