Saturday, June 8, 2013

Islam, memimpin dunia yang adil





Abdul Hadi Awang,


Ucapan pada Seminar Pemikiran Islam, anjuran ESAM (Pusat Penyelidikan  Politik dan Ekonomi) di- Istanbul,Turki pada 23 hingga 25 Mei 2013

(Terjemahan dari teks asal dalam Bahasa Arab)

Seluruh dunia terkini mengalami masalah kemanusiaan paling rumit , merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia sejagat , akibat kesilapan mereka sendiri . Benarlah firman Allah:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)". (Ar-Rum:41)

Sebab terbesar ialah pengkhinatan manusia sendiri terhadap amanah yang dibebankan kepada mereka sejak azali ,ia-itu amanah menegakkan Al Din (Islam), dinyatakan oleh Firman Allah : 

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah  kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan sifat yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." (Al-Ahzab:72)

Kesanggupan munusia menunaikan amanah yang besar itu kerana sifat fitrah yang ada pada mereka , sifat yang tidak ada pada makhluk yang lain . Manusia itu berjasad , punya akal , roh dan bermasyarakat madani. Oleh itu meraka lah yang layak memakurkan bumi dengan petunjuk Allah . Dimana sifat-sifat tersebut tidak ada pada makhluk yang lain , seperti para malaikat , binatang dan jamadat . Peranan manusia pula mestilah berpandukan kepada petunjuk Allah SWT tuhan pencipta alam, Yang Maha Mengetahui perihal semua makhluk dan menentukan kadar takdirnya dengan saksama . Maka manusia hendaklah beristiqamah dengan petunjuk daripada Allah SWT.

Islam adalah agama asal kepada manusia , Islam bersifat adil secara mutlak . Maha Adil termasuk kalangan Al Asma Al Husna( Nama-nama yang terbaik bagi Allah) dan adil juga adalah sifat yang wajib bagi Allah . Maka keadilan dalam Islam tercakup secara menyeluruh didalam semua ajarannya. Dari segi akidah , syariat , akhlak dan sistem kehidupan seluruhnya sempurna . Adil juga dalam konteks individu , keluarga , masyarakat setempat dan antarabangsa . Juga merangkumi aspek pendidikan , politik , ekonomi dan kemasyarakatan seluruhnya . Hanya Islam yang bersifat begini manyeluruh ,tidak ada dengan sempurna dalam agama yang lain , sama ada samawi atau tidak, dan tidak ada juga dalam ideologi ciptaan mausia .

Seluruh dunia menyaksikan masalah yang kronik dan bertali menali dengan kusut, kerana penyelesaian yang tidak sempurna dan menyeluruh dengan fitrah manusia.  Semua media melaporkan, bahawa seluruh dunia mengalami kezaliman politik, kemelesetan ekonomi dan keruntuhan akhlak yang serius. Merebaknya jenayah laksana penyakit kanser yang tidak mampu diberi rawatan, keruntuhan akhlak pula laksana banjir yang menenggelami setiap lorong dan masuk kedalam rumah tanpa dapat dihalang. Semuanya melibatkan masyarakat dalam negara dan diperingkat antara Negara, sehingga menjejaskan hubungan dalam sesuatu Negara dan antara bangsa . Semuanya berlaku dalam keadaan manusia dikatakan mencapai kemajuan sains dan teknologi  yang mencipta berbagai kemudahan hidup. Semuanya berada dalam keadaan sumber bumi yang masih melimpah ruah dan pertambahan penduduk yang sepatutnya menjadi tenaga pakar dan kerja yang mencukupi  bagi menjaga kepentingan rakyat dan negara . Punca masalahnya ialah pemerintahan yang tidak istiqamah diatas muka bumi , disebabkan manusia meninggalkan sistem adil yang menyeluruh dengan fitrah (sifat kejadian) mereka, semuanya hanya berada dalam ilmu Allah pencipta alam semesta .

Allah yang Maha Esa mencipta manusia dengan sifat kelebihan yang ada pada diri mereka supaya dapat mengurus dan memerintah makhluk bumi dengan akal dan ilmu berpetunjukkan wahyu , kenabian dan kepimpinan . Firman Allah :

"Manusia itu bermula dengan umat yang satu (menurut agama Allah yang satu (Islam), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dan amal yang soleh dengan balasan syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab suci Yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa-apa sahaja yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab suci itu, Iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. dan Allah sentiasa memberi hidayah (petunjuk Nya) kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)". (Al-Baqarah:213)

Para ilmuan menegaskan :”Manusia itu bermasyarakat madani”. Bermaksud fitrahnya wajib bermasyarakat  bagi mewujudkan tamadun dan pembangunannya. Manusia itu tidak mungkin hidup bersendirian , Allah menjadikan mereka dengan tasawwur tidak dapat hidup sempurna secara terus menerus tanpa kepelbagaian kerja dan hasil serta pengagihan secara saksama . Firman Allah :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)". (Al-Hujrat:17)

Firman Allah :

"Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan  rahmat Tuhanmu (Wahai Muhammad): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan".

"Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu , nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga)". (Az-Zukhruf:32, 33)

Menunjukkan bahawa segala-galanya tidak betul perjalanannya, pengurusannya dan pengagihannya melainkan melalui sistem yang adil, hanya diketahui oleh Tuhan pencipta alam yang menentukan kadar yang saksama .

Segala usaha yang lain daripada petunjuk Allah menemui kegagalan kerana kemampuan manusia yang terbatas dan meninggalkan ajaran Allah yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul S.A.W, sejak beberapa abad yang lalu  dan sehingga kini. Kerasulan akhir zaman Muhammad S.A.W. telah berjaya, menunjukkan bukti kejayaan hidup Baginda dan para Khalifah yang melaksanakan syariat Islam yang adil kepada semua. Apabila Islam dilaksanakan dalam masyarakat majmuk, dizaman keemasan tamadun Islam, dan kemudiannya dunia mengalami kerugian besar selepas kejatuhan kerajaan Islam yang melaksanakan syariat Islam seluruhnya, diikuti pula dengan dihilangkan Khilafah Islamiyyah yang akhirnya membawa kepada masalah yang ada kini.

Semua masalah yang berlaku dalam dunia hari ini yang mengepung kehidupan kita,  adalah bermula dengan lahirnya zaman penjajahan selepas dijatuhkan Khilafah Islamiyyah. Semuanya berlaku selepas pihak barat mencapai kemajuan kebendaan yang diciplak daripada tamadun Islam secara tidak sempurna, menyebabkan lahirnya fahaman sekulerisma yang memisahkan kehidupan daripada agama yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul. Sebenarnya  barat sudah menyeleweng daripada ajaran sebenar yang dibawa oleh para Rasulullah  A.S.(termasuk Nabi Isa A.S).

Adapun umat Islam yang lemah dijajah setelah meninggalkan ajaran Islam, ikut tenggelam bersama penjajah yang telah sesat itu. Walaupun masih lagi menganut Islam, tetapi tanpa kerajaan Islam yang melaksanakan syariat Islam yang adil.  Kebanyakan penganut Islam itu tenggelam dalam kejahilan dalam perkara agama mereka sendiri, walau pun masih beribadat dan berakhlak secara peribadi dan keluarga. Keadaan ini berteruasan sehingga setelah mencapai kemerdekaan, tetapi masih tetap berpegang dengan teori dan ideologi barat dalam urusan   politik, ekonomi dan lain-lain, samaada kalangan pemimpin atau sebahagian besar rakyat .

Mutakhir ini pula muncul kesedaran Islam dikalangan penganut Islam, selepas mencapai kemerdekaan dan setelah terpengaruhnya umat islam dengan serangan pemikiran dan ideologi barat. Penjajah barat itu sudah meninggalkan tanahair kita, namun diganti pula oleh penjajah tempatan dikalangan sebangsa dan satu bahasa. Akhir-akhir ini berlaku kejatuhan sistem lama warisan penjajah dinegara arab, juga sebelumnya berlaku kejatuhan Suharto di-Indonesia, namun kesannya masih terikat dengan  banyak cabaran yang menghalang penyelesaian terhadap masalah umat .

Disana pula terserlah tanda-tanda menunjukkan bahawa tentangan terhadap Islam terus berlaku, dalam media, sehinggalah secara politik, ekonomi dan ketenteraan, disertakan dengan perancangan baru yang diatur bagi menghadapi dan memesongkan kesedaran Islam dan kemahuan kepada perubahan bersama Islam. Perancangannya  diatur supaya kesedaran Islam disesatkan daripada cara Islam yang betul.

Percayalah bahawa cahaya petunjuk Islam tidak boleh dipadamkan oleh segala usaha samaada melalui lisan atau tulisan, secara dibaca dan ditonton, kerana Allah memberi jaminan akan memelihara cahaya petunjuk Islam, walau pun dibenci oleh musuhnya dikalangan musyrikin. Allah menjanjikan bahawa cahaya Islam akan sampai keseluruh pelosok dunia dan dimana adanya siang dan malam. Kita dapat menyaksikan berita bahawa kesedaran juga boleh berlaku dikalangan musuh Islam, khsusnya kalangan terpelajar dan penyelidik  yang ingin tahu, walaupun diliarkan dengan propaganda mengeliru dan menakutkan sehingga tercetusnya istilah Islamofobia.

Perlu disedari bahawa dikalangan umat Islam juga adanya kalangan syaitan yang cuba mengelirukan kesedaran Islam yang lahir, supaya umat islam menjadi ragu dan sesat daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Samaada dengan cara lama yang menyesatkan iaitu dengan mempertahankan konsep sekulerisma  yang memisahkan Islam daripada urusan kehidupan duniawi manusia seperti politik, ekonomi, pendidikan dan lain lain dalam, atau dengan cara mengelirukan, seperti teori sekulerisma Islam iaitu menegakkan Negara Islam tanpa pelaksanaan syariatnya bagi memenuhi hasrat masyarakat antarabangsa yang masih dipengaruhi oleh politik kuasa besar yang menghalang segala bentuk perubahan kearah Islam, kerana dianggap pencabar kepada pengaruh penjajahan yang didukung oleh mereka .

Sekiranya kita membuka Kitab Al Quraan, didapati surah pertama ialah Al Fatihah, yang wajib dibaca tiap-tiap rakaat ketika sembahyang wajib dan sunat, termasuk sembahayang jenazah yang tidak ada rakaat. Surah ini dimulakan dengan menyebut nama-nama Allah dengan memuji dan menyerah diri kepadanya. Selepasnya berdoa supaya diberi petunjuk kejalan yang betul, dengan lafaz  jamaa (secara beramai-ramai) walaupun bersembahayang seorang diri. Ini menunjukkan betapa perlunya memohon diberi petunjuk daripada Allah agar mengenali dan mengikut yang betul dan benar.

Perkara ini ditafsirkan oleh Hadith riwayat Imam Ahmad :

Pada satu hari Rasulullah S.A.W. menunjukkan kepada para sahabat (umat) dengan memegang sebatang kayu , lalu digaris diatas tanah , garis yang lurus dan bersabda : “Inilah satu-satunya jalan yang betul (Islam)” . Seterusnya digaris kanan dan kiri , cabang-cabang yang banyak , dan bersabda: “Ini pula jalan-jalan  yang ada di-setiap kapalannya syaitan yang menggoda mengajak supaya bersamanya“. Kemudian menyebut firman Allah :

153. Dan bahawa sesungguhnya Inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan (menyesatkan) kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa". (Al-An'am:153)

Gangguan syaitan supaya was-was daripada jalan yang betul bukan sahaja berlaku ketika bersembahyang, malah boleh berlaku dalam semua amalan Islam, khususnya dalam perjuangan menegakkan sistem yang adil dalam memerintah Negara atau perjuangan politik yang diletakkan sebagai amanah terbesar daripada ajaran Islam . Firman Allah :

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat". (An-Nisa:58)

Rasulullah S.A.W meletakkan pemimpin yang adil adalah yang  pertama daripada tujuh orang yang mendapat perlindungan Allah pada hari kiamat nanti. Rasulullah S.A.W juga menghimpunkan dakwah bersama perjuangan menegakkan Negara. Baginda seterusnya memilih hijrah, kerana menegakkan keadilan terhadap semua dengan mendapat kuasa kepimpinan Negara agar dapat melaksanakan syariat Allah yang adil dalam memerintah serta dengan menolak tawaran daripada para pemimpin Makkah untuk dilantik menjadi raja dan diberi harta .

Dengan tegas menyatakan kepada bapa saudaranya Abu Tolib:

“Wahai bapa saudara kesayanganku !, Kalau sekiranya diletakkan matahari dikananku dan bulan dikiriku supayu aku meninggalkan urusan menegakkan agama ini, sehingga dimenangkan oleh Allah atau aku mati kerananya , nescaya aku tidak meninggalkan urusan ini “.

Oleh itu fahamilah , bahawa menegakkan syariat Allah yang adil dengan kefahaman yang betul, kuasa pemerintahan dan kebijaksanaanya adalah wajib mengikut landasan yang betul. Adapun teori Sekulerisma Islam, atau Islam tanpa kuasa politik, atau menegakkan Negara Islam tanpa menegakkan syariatnya atau menafikan pelaksanaan syariatnya adalah was-was syaitan yang wajib dipohon perlindungan Allah daripadanya .

Pelaksanakan syariat pula hendaklah dengan feqahnya (kefahaman cara melaksanakan hukum dengan adil ), dengan segala ilmu yang berkait dengannya. Pelaksanaan  syariat tanpa feqahnya, boleh memburukkan wajah keadilan hukum Islam. Pelaksanaan Islam dengan faham dan betul (feqah) termasuk juga dalam hukum Islam yang wajib dipelajari. Feqah bukan sahaja dalam perkara ibadat, bahkan dalam seluruh ajaran Islam. Aqidah, Syariat, Akhlak dan sistemnya yang menyeluruh sehingga melibatkan politik , ekonomi , dakwah dan jihad menegakkannya. Maka Allah mewajibkan adanya sebahagian daripada umat Islam yang mendalami ilmu Agama Islam yang luas dengan Feqah (kefahamannya). Firman Allah :

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam (Feqah atau faham) ilmu yang dituntut  dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)". (At-Taubah:122)

Berlakunya perbezaan mazhab dalam perkara cabang bukannya perkara dasar iaitu dalam perkara yang tidak ada nas yang disebabkan berbeza sebab dan realiti dan situasi dalam masyarakat yang ada perbezaan. Sehingga para ulama dahulu dan kini yang mendalami ilmu Islam, menunjukkan Islam adalah agama paling sesuai dalam semua zaman, tempat dan keadaan, sama dalam perkara tetap atau berbeza dan berubah  dalam masyarakat manusia yang bersifat madani.

Islam juga mampu menghadapi cabaran masyarakat majmuk yang berlaku pertembungan yang paling mencabar dan sengit, tetapi  menanganinya dengan adil terhadap semua . Firman Allah :

"Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat kaum yahudi serta gereja-gereja (kaum Nasrani), sembahayang-sembahayang dan juga masjid-masjid (orang Islam) Yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya)". (Al-Haj:40)

Begitulah keadilan Islam mampu menangani masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama, dengan konsep dakwah tidak ada paksaan dalam agama. Keadilan Islam itu pula merangkumi seluruh kehidupan manusia dan alam sekelilingnya, dibumi tempat berpijak dan langit tempat berteduh. Ajaran Islam meluas daripada daratan, lautan sehinggalah ke angkasa lepas. Dengan konsep kesaksamaan dan pertimbangan yang adil. Semuanya berada dengan sempurna dalam Islam, tidak ada dalam ajaran yang lain daripadanya. Maka Allah berfirman :

"Dan sesiapa yang mencari anutan selain  Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak termasuk dari orang-orang Yang rugi". (Al-'Imran:85)

Sekian , Terima kasih .

وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين .

Abdul Hadi Awang
Presiden PAS.
Istanbul Turki

No comments:

Post a Comment