Saturday, June 8, 2013

PAS gesa wujudkan Suruhanjaya Bebas Postmortem PRU13

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: PAS menggesa pihak kerajaan untuk mewujudkan satu Jawatan Kuasa Bebas atau satu Suruhan Jaya Bebas Postmortem PRU13 yang boleh menyiasat secara terbuka dan telus bagi mendapat maklumat kelemahan, salah laku, kepincangan dari semua pihak.

“Hanya setelah kelemahan-kelemahan ini diketahu baharulah pembaikan secara menyeluruh dapat dilakukan,” tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Justeru, PAS, tegasnya ingin mengulangi kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang baru sahaja berakhir itu diadakan dalam keadaan penuh keraguan dan kelemahan proses yang paling ketara dalam sejarah pilihan raya negara Malaysia.

Beliau berkata, berbagai persoalan timbul dari proses sebelum dan semasa pilihan raya, termasuklah sistem demokrasi yang jelasnya tidak berlaku adil kepada Pakatan Rakyat dari aspek penggunaan media cetak dan elektronik arus perdana yang berkempen secara terbuka bagi pihak Barisan Nasional.

“Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin membuat cadangan supaya diadakan satu post mortem yang menyeluruh terhadap semua aspek PRU13 ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Hakikatnya, kata beliau ialah semua pihak dari Pakatan Rakyat, NGO, dan individu rakyat Malaysia, termasuklah dari parti Barisan Nasional sendiri juga mengakui bahawa wujudnya banyak kelemahan yang boleh diperbaiki dalam menguruskan PRU sebagai pelengkap kepada sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

“Pihak kerajaan sendiri juga telah membuat kenyataan supaya diletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Parlimen, dan ini telah memberi gambaran bahawa kedudukan SPR sekarang belum bebas sepenuhnya,” katanya.

Justeru, tambah beliau tindakan untuk meletakkan SPR di bawah Parlimen tidak mempunyai apa-apa erti sekiranya kita tidak tahu punca permasalahan yang timbul.

No comments:

Post a Comment