Tuesday, August 20, 2013

Tentera fitnah Ikhwan lakukan keganasan

Abd Shukur Harun,
Pihak tentera Mesir sedang memikirkan untuk mengharamkan Ikhwan Muslimin. Hal ini dibayangkan oleh Perdana Menteri kerajaan sementara tentera,  Hazem el-Beblawi. Tetapi ramai yang percaya, Ikhwan tidak mungkin dapat dihapuskan.

Mereka percaya, jika Ikhwan diharamkan disegi undang-undang, gerakan Islam yang sudah berusia lebih 80 tahun itu akan bergerak ‘di bawah tanah’ dalam erti ia akan bergerak terus secara rahsia, seperti yang dilakukannya di zaman Presiden Gemal Abd Naseer dan Anwar Sadat.

Gerakan Islam Ikhwan yang diasaskan oleh Hassan al-Banna pada tahun 1928 itu bertujuan untuk menyebarikan dakwah Islam dan ketinggian moral, namun tujuan utamanya ialah melahirkan sistem politik Islam berasaskan syariat.

Pada tahun 1952, Ikhwan mulanya menyokong rampasan kuasa oleh General Gemal Abdel Nasser tetapi kemudiannya hubungan Abdel Nasser dengan Ikhwan telah putus, malah ramai pemimpin Ikhwan telah dibunuh dan dipenjarakan, kerana Nasser bimbang akan kekuatan Ikhwan.

Hal ini  menyebabkan Ikhwan bergerak secara rahsia, namun pengaruhnya semakin kuat dan disayangi rakyat kerana banyaknya khidmat masyarakat yang dilakukan oleh anggota Ikhwan kepada rakyat.

Ikhwan terus polular hinggalah ia menyertai pilihan raya parlimen pada 2012 atas nama Parti Kebebasan dan Keadilan dan bergabung dengan golongan koservatif, Salafi dan An-Nur dan menang 70 peratus kerusi parlimem. Dr Muhd Mursi dari Ikhwan dilantik sebagai Presiden secara demokratik melalui pilihan raya tersebut.

Tetapi krisis berlaku yakni Salafi dan An-Nur keluar dari gabungan itu dan ketika rampasan kuasa tentera berlaku sebulan yang lalu yang menggulingkan Dr Muhd Mursi, Salafi dan An-Nur menyokong tentera. Bagaimanapun Salafi dan An-Nur menarik balik sokongan kepada tentera kerana menentang tindakan tentera melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penyokong Dr Mursi serta membakar dua masjid di Medan Raba’a Adawiyah dan di Medan Ramses. Dalam masa yang sama kerajaan sementara tentera sedang berusaha untuk membebaskan diktator Hosni Mubarak.

Krisis di Mesir ini mencetuskan banyak persoalan dan mendedahkan kelemahan dan kekeliruan pemimpin negara umat Islam, lebih-lebih lagi bagi negara Arab yang dipayungi Liga Arab, pimpinan Abu Mousa.

Pertama, mengapa negara OIC membisu seperti dalam kekeliruan dan ketakutan untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Mesir itu. Juga suara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kedengaran begitu lemah sekali. Setiausaha Agungnya, Ban Ki-moon hanya mengutuk dan mendesak tentera Mesir menghentikan pembunuhan beramai-ramai itu. Tidak ada sebarang arahan darinya supaya diadakan Sidang Majlis Keselamatan untuk membincangkan krisis Mesir ini seperti yang dituntut oleh Turki.

Demikian juga Kesatuan Negara Berkecuali yang tidak mengambil sebarang langkah, kecuali suara daripada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang mengecam tindakan tentera Mesir dan seterusnya menuntut supaya pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Mesir itu dihentikan segera. Hanya Kesatuan Negara Afrika yang bertindak menggantungakn keahlian Mesir, sementara Negara Kesatuan Eropah mendesak supaya dipulihkan segera demokrasi di Mesir dan menghentikan segera pembunuhan beramai-ramai.

Pihak tentera Mesir kini mengalihkan perhatian dunia kononnya Ikhwan Muslimin yang melakukan kekerasan dan bertindak ganas menentang institusi kerajaan, seperti tentera dan polis iaitu media TV dan akhbar yang dikawalnya menyebarluaskan tuduhan ini. Bagaimanapun masyarakat dunia tidak percaya dengan propaganda tentera Mesir itu.

Siapakah yang membakar dan memusnahkan dua masjid, membunuh lebih 800 orang dan mencederakan ribuan rakyat?  Dunia tidak percaya anggota Ikhwan yang tidak bersenjata boleh melakukan kerja jahat itu.

Dunia percaya tentera dan polis Mesir yang melakukan pembunuhan beramai-ramai dan terbaru membunuh lebih 30 orang yang ditahan dalam trak tentera dengan melepaskan gas pemedih mata menyebabkan mereka lemas dan mati. Demikian juga sekian ramai yang mati dalam penjara kerana diseksa.

Kini pihak tentera yang digelar oleh ramai sebagai ‘Firaun Moden’ memutarbelitkan fakta supaya dunia mengutuk Ikhwan dengan menyebarkan fitnah konon kekejaman yang dilakukannya, namun dunia menolak pembohongan ini, walaupun beberapa pemimpin negara Arab yang kaya mempercayainya.

Pada zaman dulu, Firaun mengerahkan lebih 350,000 rakyat Mesir supaya untuk mengangkut batu-batan dari Empangan Aswan untuk membina Piramid dan akhirnya begitu ramai yang mati kerana diseksa, lapar dan dahaga semasa membawanya. Hingga kini, Piramid itu menjadi kemegahan pihak berkuasa Mesir dan menjadi tarikan pelancong ke negara itu.

Oleh sebab itu, sesiapa yang berkunjung ke Mesir, dalam perjalanan dari lapangan terbang menuju ke bandar Kaherah, anda akan terbaca di pintu gerbangnya tulisan timbul yang berbunyi ‘Welcome To The Land of Farouh’ – Selamat Datang ke Bumi Firaun’.

Kini ‘Firaun Moden’ membunuh rakyatnya dengan menembak beramai-ramai di samping membakar masjid dan mencederakan serta memenjarakan ribuan rakyat.

Menurut laporan, General Abd Fatah As-Sisi yang merampas kuasa sangat memuji Gemal Abd Naseer dan mahu disetarafkan dengan Naseer yang juga amat kejam terjadap Ikhwan. Oleh itu, As-Sisi dipercayai tidak mudah menghentikan tindakannya.

Akibat krisis berat di Mesir ini, ekonomi negara itu hampir lumpuh. Pelancong tidak datang, stok simpanan gandum hanya tinggal beberapa hari saja lagi, aktiviti di Pelabuhan Iskandariah hampir lumpuh dan pasaran sahamnya menjunam. Yang memberi nafas kepada Mesir sekarang hanyalah bantuan dari negara Arab yang kaya yang amat takut dengan Ikhwan serta bantuan kelengkapan tentera oleh Amerika.

Tidak ada siapa yang boleh meramalkan masa depan Mesir, tetapi yang pasti tentera Mesir akan terus bermaharajalela. Justeru tentera beranggapan, pihaknyalah yang memegang kuasa selama-lamanya di Mesir. Namun kuasa Allahlah yang menentukan.

Sumber harakahdaily

No comments:

Post a Comment