'Saya ingin berada di rumah,' kata Azilah
[Bernama] Doa Cif Inspektor Azilah Hadri untuk menjalani kehidupan di
luar penjara setelah menghuninya selama tujuh tahun akhirnya dimakbulkan
setelah Mahkamah Rayuan membebas dan melepaskannya daripada hukuman
serta sabitan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Azilah, 37, yang ditemui Bernama sebelum hakim membuat keputusan sempat
menyatakan bahawa walaupun fizikalnya tidak berubah sejak didakwa atas
pertuduhan itu, namun jiwanya terlalu 'kecil' dan amat berharap akan
berada di rumah.
Beliau yang diiringi pegawai penjara sepanjang prosiding, kelihatan
terkejut apabila keputusan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah
Rayuan Datuk Seri Mohd Apandi Ali itu dibacakan.
Koperal Sirul Azhar Umar, yang dituduh bersama-samanya, pula sempat
menyatakan "Terima Kasih Yang Arif" sebelum kedua-duanya dibawa keluar
dari kandang tertuduh.
Azilah berkata beliau amat bersyukur kerana Allah SWT memperkenankan
doanya dan berkata dengan nada suara gementar: "Saya masih lagi
berdebar-debar".
"Saya perlu kembali ke Penjara Kajang untuk mengucapkan terima kasih
kepada mereka yang bertugas menjaga saya di sana...mereka menjaga saya
dengan baik, saya ingin menunaikan solat Jumaat dan urusan lain akan
dibuat selepas itu," katanya.
Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabit kesalahan dan menjatuhi
hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul Azhar yang merupakan anggota Unit
Tindakan Khas (UTK) atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit
Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi, 20 Okt 2006.
Tunang Azilah, Nor Azila Baharuddin, 35, pula dilihat mengalirkan air mata apabila mendengar keputusan itu.
Beliau menyatakan doanya dan anggota keluarga supaya Azilah dibebaskan telah dimakbulkan Allah SWT.
Katanya sejak mereka bertunang pada 2006, beliau tidak pernah berputus asa dan sering melawat Azilah di penjara seminggu sekali.
"Saya gementar selepas keputusan dibuat, saya seperti tidak percaya.
Saya amat gembira kerana inilah saat yang saya tunggu sekian lama.
Syawal kali ini amat indah," katanya.
Sejak didakwa pada 2006 dan melalui proses perbicaraan, Azilah dan Sirul
Azhar sentiasa menutup wajah mereka ketika berada di luar mahkamah dan
kain yang menutup muka hanya dibuka selepas berada di dalam mahkamah.
Pada kebiasaannya, wajah Sirul Azhar kelihatan serius dan lebih banyak
menyendiri berbanding Azilah yang ramah dengan mereka yang berada
sekelilingnya.
Namun, selepas keputusan mahkamah itu, Sirul Azhar mempamerkan wajah
berbeza dengan melemparkan senyuman ke arah anggota keluarganya yang
berada di belakangnya.
Ketika ditanya pemberita Bernama sebelum beliau dan Azilah dibawa semula
ke penjara untuk proses pembebasan, Sirul Azhar menunjukkan
keramahannya sambil menyatakan kesyukuran.
"Bersyukur kepada Allah, semuanya telah selesai. Saya berterima kasih
kepada barisan peguam yang membela saya dan ahli keluarga terutama ibu
saya yang tidak putus mendoakan. Terima kasih kepada pihak penjara yang
menjaga saya dengan baik. Saya berhasrat menjalani kehidupan seperti
biasa selepas ini," katanya.
Anak lelaki Sirul Azhar yang berusia 13 tahun, turut kelihatan amat
gembira dengan pembebasan ayahnya dan dia yang diiringi dua anggota
keluarga terdekat sempat menyatakan amat merindui bapanya.
Bapa saudara Sirul Azhar, Mustapha Samat dari Ipoh berkata sejak Sirul
Azhar didakwa, beliau hanya sempat hadir ke mahkamah sebanyak tiga kali
dan tidak putus-putus berdoa supaya dia dibebaskan.
Mustapha yang tiba di Kuala Lumpur semalam dilihat menghubungi anggota
keluarga untuk memberitahu keputusan mahkamah itu.- 23/8/13
Sumber duniacarcamarba
No comments:
Post a Comment