Perdana Menteri berkata langkah pemulihan yang sedang diambil sudah menampakkan hasil dan kerugian yang dialami MAS juga sudah berkurangan.
"Saya nak jelaskan bahawa MAS tidak akan diswastakan.
"Walaupun MAS masih terus mengalami kerugiaan, bagaimanapun pelan pemulihannya sudah pun menampakkan hasil dan trennya adalah jumlah kerugian sudah berkurangan," kata Najib semasa sidang media di rumah terbuka Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini bagi menjawab gesaan Dr Mahathir semalam.
Najib juga mempertahankan pengurusan MAS sedia ada yang disifatkannya sebagai telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik.
"MAS sudah pun menjadi sebuah syarikat yang disenaraikan dan dikuasai oleh Khazanah serta kepentingan awam, segala urusan dalam MAS ini berjalan seperti sebuah badan komersil mengikut prinsip-prinsip urus tadbir yang baik," tegas beliau lagi.
Menurut Najib lagi, kerajaan akan memantau dari semasa ke semasa prestasi kewangan MAS dan menyatakan keyakinan mampu mengembalikan keuntungan.
Semalam, Dr Mahathir memberikan cadangan supaya MAS diswastakan kerana berdepan dengan kerugian.
Bekas Perdana Menteri itu berkata selagi MAS dikendalikan oleh kerajaan ianya tidak akan menjana keuntungan kerana wujud kebergantungan.
Penswastaan MAS pernah dilakukan hampir 20 tahun lalu, ketika ia ditadbir Tan Sri Tajudin Ramli. Kerajaan rugi besar dalam proses itu.
Semasa pentadbiran Dr Mahathir, Tajudin memegang tampuk kawalan terhadap MAS dengan membeli 32 peratus saham Bank Negara untuk RM1.8 bilion pada 1994.
Tajudin menjual semula saham terkawal itu kepada Putrajaya dengan harga RM8 seunit berbanding nilai pasaran RM3.68 seunit pada 2001, setara dengan perbelanjaannya RM1.8 bilion pada 1994 walaupun penerbangan nasional itu mengalami kerugian.
Pada 1994, kerajaan menjual pegangannya terhadap MAS kepada Tajudin sebagai salah satu cubaan membalikkan kedudukan kewangan yang lemah berikutan peningkatan kos buruh, kadar faedah lebih tinggi dan keengganan pemberi pinjaman.
Pada 2001, usaha penjualan itu tidak berjaya.
Tahun lalu, MAS mendapat aliran tunai berjumlah RM3.1 bilion dalam isu terbitan hak dan menjual RM1 bilion sukuk untuk perbelanjaan operasi.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga bekas Pengarah Urusan MAS Datuk Seri Idris Jala berkata Putrajaya harus mempertimbangkan untuk menjual syarikat penerbangan negara tersebut tetapi bukan pada harga yang merugikan.
Beliau berkata, MAS telah didagangkan pada RM6 ketika beliau menerajui tetapi kini harga sahamnya telah jatuh kepada 30 sen.
Pengurus aset negara Khazanah Nasional Bhd adalah pemilik majoriti MAS, yang telah mencatatkan kerugian untuk enam suku tahunan berturut-turut. - 19 Ogos, 2013.
Sumber themalaysianinsider
No comments:
Post a Comment