Tuesday, July 23, 2013

Temuramah: Gehad El-Haddad: “Ini adalah negara polis, kembali dengan kuasa yang ganas dan kejam”


*Temuramah ini harus diteliti dan difahami oleh semua pihak kerana ia megandungi perkembangan-perkembangan terkini di Mesir serta pendirian-pendirian rasmi Ikhwan Muslimin dalam banyak perkara pada masa yang sangat kritikal ini.

[Temuramah: Gehad El-Haddad: “Ini adalah negara polis, kembali dengan kuasa yang ganas dan kejam”]

Gehad El Haddad, Jurucakap Rasmi Ikhwan Muslimin

Sebagai permulaan, bolehkah anda mula dengan menjelaskan laporan yang mendakwa bahawa Ikhwan Muslimin bersedia untuk berunding dengan pihak tentera dengan Kesatuan Eropah (EU) bertindak sebagai orang tengah?

Saya rasa Reuters telah membesar-besarkan perkara ini. Fakta yang sebenar adalah bahawa EU memohon mengadakan pertemuan dengan Ikhwan. Mereka mahu memahami pendirian kami dan apakah yang akan membawa kami ke meja perundingan dengan pihak tentera.

Jawapan kami adalah, secara rasmi dan tidak rasmi; kita memberitahu [Catherine] Ashton (Ketua Dasar Luar EU: penterjemah) bahawa tiga perkara berikut perlu dipenuhi:

Pertama, menolak rampasan kuasa tentera dan mengembalikan kepada keadaan sebelumnya, mengembalikan semula negara Mesir kepada negara berperlembagaan yang sah, termasuk mengembalikan semula jawatan Presiden Morsi, Perlembagaan Negara dan Majlis Syura.

Kedua, mengutuk rampasan kuasa tentera. Menyatakan bahawa ia adalah satu rampasan kuasa tentera dan mengutuk negara-negara yang mengiktiraf rampasan kuasa tentera tersebut.

Ketiga, mengutuk pencabulan hak asasi manusia, pencabulan dan jenayah yang dilakukan oleh rejim rampasan kuasa.

Ini adalah permintaan kami. Jika anda ingin meletakkan semua ini dalam konteks apa yang mereka maksudkan dari segi perbincangan dan rundingan, ini adalah seperti pra-syarat sebelum bermulanya apa sahaja. Selepas itu, segala-galanya adalah di atas meja perunding perdamaian nasional. Ini termasuk pindaan perlembagaan, pilihan raya parlimen, pilihan raya presiden; keseluruhan hala tuju (road map) yang dinyatakan oleh Presiden dua hari sebelum rampasan kuasa dan hala tuju yang yang sama itulah yang disebut oleh Menteri Pertahanan sekarang, [Abdul Fatah] Al-Sisi. Itu semua adalah perkara yang sama dari satu segi, perbezaannya adalah satu berasaskan kesahihan perlembagaan manakala satu lagi berasaskan kereta kebal tentera.

Anda mengatakan ada pra-syarat untuk rundingan, tetapi pada masa Mohamed Morsi menjadi Presiden, beliau tidak menerima pra-syarat untuk datang ke meja rundingan untuk perdamaian nasional.

Jadi, sekarang kita membandingkan seorang Presiden dipilih dengan kereta kebal tentera?

Tidak, tetapi ia mungkin sukar untuk membawa orang ke meja dengan adanya pra-syarat.

Sudah tentu, kita tidak berminat untuk membawa tentera kepada mana-mana meja perundingan. Malah, apabila saya berkata dialog kebangsaan dan perdamaian, ia tidak melibatkan pihak tentera. Tentera bukan golongan yang harus terlibat dengan politik dan mereka perlu memahami perkara ini. Peranan tentera adalah di berek-berek dan mereka perlu ditolak kembali ke berek dan tidak dibenarkan pada bila-bila masa untuk mempunyai apa-apa peranan dalam dunia politik di Mesir. Kami telah mengalami penderitaan sebanyak dua kali dengan membenarkan tentera untuk mengambil peranan politik di Mesir. Sebelum ini adalah pada tahun 1954 apabila kami, dengan penuh kenaifan dan kejahilan, telah memberi kepercayan kepada pihak tentera untuk melaksanakan pilihan raya secara demokratik. Malangnya mereka tidak pernah laksanakan. mereka perlu ditolak kembali ke berek. Ahli-ahli politik dan rakyat Mesir perlu mengembalikan negara Mesir ke tangan mereka, dan mereka telah lakukannya selepas revolusi 25 Januari. Kami laksanakan pilihanraya Presiden, pilihan raya Parlimen, dua pindaan perlembagaan dan satu referendum perlembagaan. Tetapi selepas itu semuanya dimusnahkan oleh tentera. Adakah terdapat apa-apa jaminan mereka tidak akan lakukan sekali lagi?

Kita telah membincangkan apa yang tidak boleh dirunding dan apa yang boleh dirunding?

Segala-galanya. Apabila kita wujudkan kesinambungan perlembagaan, segala-galanya boleh dirunding. Mengikut logik, Ikhwan Muslimin sekarang berada di paras yang rendah dari segi populariti di kalangan pengundi. Mengapa tidak diadakan pilihan raya parlimen? Akan wujud nanti wakil rakyat yang sah; mereka akan dapat mengesahkan pindaan perlembagaan dan seterusnya boleh melakukan referendum, meminta agar Presiden meletak jawatan, mengadakan pilihan raya presiden yang lebih awal atau mengadakan referendum bagi menentukan samada presiden harus terus memegang jawatan tersebut. Mereka akan menjadi wakil rakyat yang sah. Bukan seperti sekarang di mana tentera memilih pihak yang membantah kerana ia lebih menarik kepada mereka daripada pihak yang lain dan tentera membuat keputusan untuk memihak kepada golongan tersebut, kerana tentera tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, sekurang-kurangnya, ia tidak patut melakukannya.

Satu laporan dari Guardian minggu lalu menyebut bahawa ahli Ikhwan Muslimin Mohamed Ali Bishr, mendakwa bahawa dia telah bertemu dengan tentera untuk mengadakan rundingan. Adakah sesiapa dari Ikhwan atau National Coalition for Legitimacy mempunyai sebarang hubungan dengan tentera atau kerajaan interim?

Dengan tentera? Ya.

Mohamed Ali Bishr memang ada melakukan pertemuan, tetapi ia bukan rundingan. Kami tidak pernah menutup pintu kepada komunikasi kerana ia membolehkan pihak lain untuk memahami pendirian pihak yang lagi satu, dan itulah apa yang berlaku. Mereka bertanya kepada kami apakah pendirian kami dan kami berkata, "anda fikir anda menjemput kami untuk apa-apa jenis dialog dengan menghantar peluru hidup, membunuh penunjuk perasaan kami, menutup pejabat kita, merampas harta, menutup saluran television, menutup akhbar dan memenjarakan pemimpin-pemimpin kami sewenang-wenangnya? 'Adakah itu bentuk mesej bagi menjemput sesiapa ke meja perundingan? Sudah tentu tidak.

Kami memaklumkan keengganan kami, serta menyatakan bahawa ini adalah rampasan kuasa tentera; kami tidak akan mengesahkannya dan hakikatnya ialah bahawa setiap keputusan yang mereka buat adalah tidak sah. Ia dapat disanggah pada bila-bila masa dan saya membayangkan bahawa gerakan anti-rampasan kuasa ini akan mengambil masa kira-kira setahun, selepas itu, selepas ia menang, dan ia akan menang, dan itu adalah kehendak rakyat. Tidak ada cara lain selain daripada itu. Pada abad ke-21, satu rampasan kuasa tentera tidak akan dapat menguasai negara. Apabila tentera merampas kuasa, setiap keputusan yang diambil oleh kerajaan rampasan kuasa tentera, (Presiden mereka yang dilantik, Perdana Menteri mereka yang dilantik, apa-apa perjanjian Tabung Kewangan Antarabangsa atau pinjaman, atau keputusan pelantikan atau perubahan undang-undang) semua itu akan terpadam dalam sekelip mata kerana semuanya itu dilakukan tanpa asas yang sah.

Terdapat banyak kekeliruan berkaitan dengan siapa yang telah dipenjarakan dan untuk berapa lama. Siapakah pimpinan utama Ikhwan Muslimin yang kini berada di dalam penjara?

Bilangannya semakin bertambah, terdapat dua kumpulan. Yang pertama adalah pasukan presiden; terdapat sepuluh orang yang ditahan dengan Presiden. Untuk rekod, Pakinam Sharkawy tidak pernah menjadi salah seorang daripada mereka, dia dibenarkan untuk beredar lebih awal, sejurus selepas ucapan rampasan kuasa oleh Al-Sisi. Selepas itu mereka berada dalam tahanan, tidak dibenarkan berkomunikasi, tiada komunikasi atau interaksi dalam bentuk apa sekalipun.

Terdapat juga ahli-ahli Ikhwan Muslimin yang ditangkap, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dan ahli-ahli kumpulan yang lain, bukan hanya kami. Pada asasnya, mana-mana kumpulan yang berdiri di hadapan rampasan kuasa tentera. Mereka bermula dengan menangkap Mahdi Akef, mantan Murshidul Am Ikhwan, berusia 88 tahun, Khairat El-Shater Naib Murshidul Am, Dr [Rashad] Bayoumi seorang lagi Naib, Dr (Saad) Al-Katatni, mantan speaker parlimen yang juga Presiden FJP, Abdel Moneim Maqsoud, seorang peguam FJP yang pergi untuk menyiasat mengapa Al-Katatni berada di penjara, dan mereka berkata, “baik, kami akan tangkap anda juga”. Ini adalah negara polis, kembali dengan penuh kekuasan yang keras dan ganas.

Anda berkata tidak ada komunikasi sama sekali. Salah seorang daripada mereka yang ditahan dengan pasukan presiden adalah bapa anda Essam El-Haddad. Adakah anda mempunyai apa-apa komunikasi dengan dia?

Tiada interaksi, tiada komunikasi. Salah seorang daripada ahli pasukan Presiden telah menelefon salah seorang ahli keluarga beliau dan berkata, "Kami ok". Itu sahaja. Pihak tentera hanya memaklumkan satu perkara sahaja, iaitu mereka ditahan di satu tempat yang dirahsiakan.

Apakah yang anda tahu tentang Mohamed Morsi, ada apa-apa maklumat mengenai lokasi atau keadaan beliau?

Tidak ada sama sekali. Sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Beliau adalah Presiden yang diculik dengan pasukannya, secara literalnya. Setakat yang kita faham, pasukannya ada bersamanya, kita tidak mempunyai bukti sebaliknya tetapi kita menjangkakan mereka berada bersama-sama.

Ikhwan telah menolak untuk bertemu dengan Timbalan Setiausaha (Amerika Syarikat) William Burns, tetapi bertemu dengan Catherine Ashton dari EU, mengapa terjadi begini?

Kami tidak menolak; ada permintaan untuk bermesyuarat. Kami berkata mari kita bermesyuarat, ia hanya tidak pernah berlaku kerana masalah logistik bagi menganjurkannya. Kami tidak pernah menutup pintu untuk mengadakan dialog dengan sesiapa sahaja. Akhirnya, kami mahu menjelaskan pendirian kami supaya orang memahami apakah pendirian kami, apa yang sedang kami lakukan dan apa yang kami ingin lakukan. Ini adalah apa yang Ikhwan Muslimin lakukan dan apa yang National Coalition for Legitimacy dan Gerakan Anti-Rampasan Kuasa lakukan. Kami telah lakukan ini dengan Ashton dan kami bersedia untuk melakukannya dengan sesiapa sahaja. Akhirnya, seluruh dunia perlu memahami ia adalah satu rampasan kuasa tentera, dan tidak kelihatan bodoh dengan cuba untuk tidak menggunakan perkataan 'rampasan kuasa tentera'. Semua tindakan ini hanya akan meningkatkan ketidakpercayaan kepada sikap kepura-puraan dan hipokrasi Barat: cuba untuk menganjurkan demokrasi selama beberapa dekad dan dalam ujian pertama ini mereka telah gagal.

Adakah anda merasakan bahawa Amerika Syarikat telah berpihak dengan tentera dan kerajaan interim dengan apa-apa cara?

Ia adalah salah satu daripada dua perkara berikut: sama ada Amerika Syarikat bersubahat dalam konspirasi rampasan kuasa tentera, atau Amerika Syarikat benar-benar mengalu-alukannya. Tidak ada yang yang lain, tidak ada pilihan ketiga di sini dan ini adalah kerana kedudukan kepimpinan yang Amerika Syarikat telah letakkan dirinya, itulah juga kenapa dunia kini berada dalam keadaan yang bercelaru pada masa ini. Negara utama yang telah menganjurkan demokrasi di seluruh dunia adalah yang negara paling hipokrit kerana menyebelahi kepentingan sendiri, atau dilihat sebagai kepentingan sendiri dan bukannya berasaskannnya prinsip.

Maka tidak hairanlah jika Amerika Syarikat adalah negara yang paling dibenci di kedua-dua pihak itu sekarang, kerana mereka cuba untuk berjalan di atas garisan yang tidak wujud. Anda perlu memilih salah satu, adakah anda bersama dengan prinsip demokrasi atau adakah anda berdiri dengan apa yang dilihat sebagai kepentingan sendiri. Adalah satu kenaifan jika anda berfikir bahawa kepentingan anda adalah bersama tentera, sedangkan untuk pertama kalinya kami mempunyai peluang untuk membina sebuah negara demokrasi yang baru muncul di Mesir yang boleh berjaya dalam sekelip mata. Ia adalah satu proses yang sangat panjang dan memerlukan banyak penyertaan dan sokongan, dalam dan luar Mesir, tetapi anda telah membenarkan negara-negara jiran untuk menjejaskan kestabilan pentadbiran Morsi.

Antara negara-negara jiran yang anda rujuk?

Negara-negara Teluk, mereka yang mengiktiraf rampasan kuasa, negara-negara yang sabotaj bantuan kepada Mesir lebih daripada sekali. Negara-negara yang kini, apabila rampasan kuasa berlaku, bergegas untuk mengiktirafnya; tiba-tiba Mesir menjadi rakan mereka yang terbaik dan mereka lambakkan banyak wang, $12billion, ke dalamnya. Demokrasi akan mengubah rantau ini jika ia dibenarkan berlaku kerana rakyat bercita-cita untuk mempunyai kebebasan untuk memilih pemimpin mereka sendiri, tetapi jika anda menutup jalan untuk pemindahan kuasa secara aman melalui cara demokratik, anda telah mengurangkan keupayaan orang-orang bijaksana untuk menundukkan hujah yang menggalakkan keganasan. Sekarang hujah kami terima daripada mereka adalah “kami dah katakan. Demokrasi adalah untuk semua orang kecuali kepada parti Islam '.

Ramai yang mengatakan bahawa semasa pemerintahan Morsi, beliau melaksanakan amalan yang tidak demokratik: sebagai contoh, pengisytiharan perlembagaan November 2012, pelantikan Talaat Abdallah sebagai pendakwa umum dan cara perlaksanaan referendum perlembagaan secara tergesa-gesa.

Cara anda bertanya soalan telah memberi indikasi di mana letaknya masalah tersebut. Anda berkata bahawa perlembagaan telah dilaksanakan secara tergesa-gesa. Itu tidak benar, ia mengambil masa enam bulan, kini kerajaan interim mengumumkan perlembagaan dalam tempoh empat bulan. Ia mengambil masa enam bulan, bukan kerana Morsi memilih itu tetapi sebenarnya kerana Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) telah meminda perlembagaan pada tahun 2011 dan mengunci pelan tindakan dan menuntut masa selama enam bulan untuk menulis perlembagaan. Kebanyakan pilihan tindakan yang kita ada semuanya tersekat oleh proses interim, yang ditentukan oleh SCAF pada masa itu. Malah kemusnahan Parlimen adalah juga melalui cara yang sama.

Mari kita tetapkan dua peraturan di sini. Pertama, tiada siapa yang mempunyai hak, walaupun Jabatan Negara (Amerika Syarikat), untuk mengatakan bahawa pemerintahan Morsi adalah tidak demokratik. Ia bukan hak anda untuk berkata demikian. Satu-satunya orang yang boleh berkata demikian adalah rakyat Mesir. Kedua, rakyat Mesir tidak bercakap melalui rancangan “talk show” di television atau melalui akaun Twitter atau pemimpin yang tidak dilantik yang tidak boleh bercakap mewakili rakyat Mesir. Rakyat Mesir bercakap melalui dua cara: sama ada secara langsung melalui peti undi atau melalui badan-badan perwakilan mereka.

Terdapat dua badan-badan perwakilan di Mesir: Presiden dan Majlis Syura. Bagi yang lain, ia adalah pendapat dan tidak dikira kecuali apabila ia diletakkan ke dalam konteks proses demokrasi. Dalam konteks itu, apa yang kami beritahu kepada semua orang adalah 'mari kita adakan pilihan raya parlimen”. Sekurang-kurangnya, maka anda akan mempunyai Ahli Parlimen yang mempunyai legitimasi untuk bercakap bagi pihak rakyat, dan mereka akan mempunyai suara untuk bercakap tentang sama ada presiden ini adalah demokratik, jika dia telah melakukan yang terbaik. Mereka akan menyuarakan pendapat mereka sama ada kita perlu mengadakan ada pilihan raya presiden lebih awal atau referendum bagi menentukan presiden harus terus menjawat jawatan tersebut, namun ia perlu melalui proses demokrasi. Bukannya berakhir dengan calon presiden yang gagal yang sentiasa menjauhkan diri dari setiap pilihan raya dan kemudiannya pergi merengek kepada tentera, dan kemudiannya diletakkan sebagai kepimpinan negara secara paksaan kerana tentera fikir dia cukup comel untuk jawatan tersebut.

Siapa yang anda maksudkan?

Dr [Mohamed] ElBaradei

Akhbar Daily News Egypt baru-baru menemubual jurucakap tentera. Dia menuduh Ikhwan menggunakan senjata dan menyifatkan taktik Ikhwan sebagai "peperangan propaganda". Adakah anda mempunyai respon terhadap kenyataan tersebut?

Saya fikir mereka pada dasarnya menerangkan taktik mereka sendiri, kerana bukti-buktinya jelas. Tentera masih mempunyai kenaifan untuk berfikir bahawa kita masih berada pada tahun 1954 dan 1956 kerana mereka merencanakan perkara yang sama sebelum ini. Tetapi ini adalah era digital, ini adalah era di mana semua orang dengan iPhone atau kamera boleh merakam apa yang sedang berlaku. Beberapa jam selepas persidangan akhbar mereka berates-ratus video muncul di YouTube menunjukkan pembunuhan beramai-ramai dari setiap sudut dan ia benar-benar menyokong kisah di pihak kami, dan tentera terus malu untuk mendedahkannya lagi. Mereka perlu mengakui hakikat bahawa mereka menggunakan peluru hidup tanpa amaran, membunuh penunjuk perasaan pada waktu subuh semasa mereka solat. Maksud saya, apakah kebodohan yang mempengaruhi mereka, apa kezaliman yang menguasai sehingga mereka membunuh rakyat mereka sendiri dengan peluru mereka sendiri, gaji mereka dibayar oleh oleh pembayar-pembayar cukai Mesir?

86 meninggal dunia pada satu pagi atas arahan tentera. Kita tidak boleh membenarkan ini berterusan, dan tidak kira apa sahaja yang mereka katakan ia adalah sebuah negara polis, kembali dengan kuasa yang zalim. Mereka sendiri yang membunuh rakyat Mesir secara beramai-ramai, mereka merekacipta bukti dan keterangan dan mereka memotong dan mengedit rakaman video dari adegan yang berbeza dan cuba untuk mempersembahkannya sebagai bukti. Pasukan polis mereka-reka cerita-cerita yang diperlukan, badan kehakiman bersubahat menerima keterangan dan media menjual kepada orang ramai dan anda mempunyai kes.

Perkara yang sama juga telah berlaku dari pihak anda juga; terdapat gambar dua orang kanak-kanak Syria yang didakwa terbunuh di luar ibu pejabat Pengawal Republikan.

Salah satu laman web yang berkaitan dengan Ikhwan Muslimin adalah sebuah laman web tidak rasmi. Akhirnya, terdapat beberapa wartawan yang berbeza yang menulis artikel tersebut dan menggunakan gambar-gambar mereka sendiri, sudah tentu mereka akan membuat kesilapan. Kami mempunyai maklumat tentang apa yang berlaku di tiga buah hospital, dan pusat perubatan Rabaa, dan kami mempunyai laporan yang soheh oleh mereka yang menyaksikan kejadian serta rakaman video tentang apa yang berlaku di sana. Ia adalah satu bantahan secara aman yang dilakukan oleh lelaki, wanita dan kanak-kanak. Kematian kini direkodkan dan semua orang mempunyai salinan-salinannya.

Jumlahnya 51 orang dan selebihnya masih dalam proses pengesahan. Human Rights Watch dan Amnesty International menerbitkan laporan mereka berdasarkan laporan saksi. Malangnya kebanyakan orang-orang yang meninggal dunia daripada 86 orang, tidak mati kerana tembakan peluru terus ke kepala tetapi akibat daripada ditinggalkan berjam-jam dalam keadaan cedera di tempat kejadian.

Mereka tidak boleh dibawa ke hospital kerana tentera terus menembak. Ia adalah pertumpahan darah yang berlangsung selama berjam-jam, bahkan orang-orang yang melarikan diri dari tempat kejadian dikejar, ditangkap malah ada yang ditembak dalam keadaan mereka telah cedera. Kita telah melihat rakaman video yang seolah-olah telah berlaku beberapa jam selepas itu di mana pihak polis sebenarnya menembak mereka yang telah cedera. Ia sebenarnya adalah pertumpahan darah dan pembunuhan beramai-ramai. Dan siapa boleh percaya bahawa pihak rejim rampasan kuasa tentera boleh melakukan sebarang jenis penyiasatan bebas?

Penyelaras bantahan aman itu, sebaik sahaja mereka tiba di lokasi Pengawal Republikan malam sebelumnya, menghubungi pejabat utama kelab Pengawal Republikan dan mewujudkan saluran komunikasi supaya jika apa-apa yang tidak kena ada saluran komunikasi. 'Apa yang berlaku? Apa yang berlaku di sini? Adakah anda ingin kami bergerak beberapa blok? 'Terdapat penyelarasan, ia merupakan satu bantahan secara aman, dan tidak ada alasan yang sah atau keperluan untuk menembak secara terbuka terhadap peserta bantahan aman. Siapakah yang mengeluarkan arahan tersebut itu?

Sejauh mana pentingnya untuk anda terus berada di Rabaa dan apa yang anda fikir tentang reaksi penduduk tempatan, ada yang mengatakan bahawa mereka telah mula bosan dengan tindakan duduk bantah ini?

Saya boleh memahami rungutan mereka terhadap perserta-peserta bantahan aman ini. Terdapat beratus-ratus ribu orang berkumpul berhampiran dengan tempat tinggal mereka dan ini memberi kesan kepada kehidupan mereka. Ada yang memahami keperluan dan kesahihan tindakan ini dan bersedia untuk bersabar dengan kami namun ada yang tidak. Namun pada masa ini, kita tidak punya pilihan.

Secara literalnya ini adalah Tahrir 2.0. Satu-satunya sebab mengapa ia tidak berlaku di Tahrir adalah kerana ia kini dipenuhi dengan molotov koktil dan samseng, itulah sebabnya kami memutuskan untuk tidak melakukan sebarang konfrontasi kerana pada akhirnya, apa yang kami sedang lakukan adalah untuk memastikan bahawa bantahan ini adalah bantahan aman dan non-violent. Perjuangan kita adalah adil dan tiada siapa yang mempunyai apa-apa tuntutan yang lain selain daripada itu. Kami berdiri bagi menentang satu rampasan kuasa tentera yang mengambil alih negara kita secara kekerasan.

Kami bekerjasama dengan ramai rakyat Rabaa. Terdapat satu jawatankuasa penyelaras yang telah ditubuhkan untuk menangani secara langsung peraturan berkaitan bangunan. Mereka yang berurusan dengan isu-isu seperti sampah tidak dikutip dengan segera, atau beberapa orang yang tidur di taman-taman dalam bangunan itu sendiri. Kami menubuhkan jawatankuasa penyelaras untuk memastikan agar, seboleh mungkin, tidak berlaku tekanan ke atas penduduk di kawasan tersebut.

Bagi kami, ini adalah tidak lebih daripada satu lokasi pusat seperti Tahrir semasa revolusi 25 Januari tetapi perarakan yang berlaku sekitar Kaherah dan kawasan-kawasan di seluruh Mesir yang semakin meningkat bilangan dan saiz sejak kami mulakan gerakan ini. Kami lakukan duduk bantah ini selama 21 hari, ia adalah yang paling lama dan ia telah mendapat pengiktirafan daripada rakyat dan mereka telah merasakan ada ikatan dan hubungan dengan gerakan ini serta makin ramai yang turut serta untuk bersama-sama.

Malam ini (Khamis) dan esok (Jumaat) bilangannya akan semakin bertambah. Esok adalah hari Sejuta Lelaki Berarak (Million Man March) yang akan berkumpul di satu lokasi, yang akan dimaklumkan pada pagi Jumaat. Jadi gerakan berkaitan duduk bantah ini adalah sangat penting kerana di situlah berlaku perhubungan dan penglibatan rakyat.

Terdapat laporan yang mengatakan bahawa orang-orang di Rabaa telah dihalang daripada meninggalkan kawasan tersebut serta rakyat yang menyertai bantahan ini telah dibayar. Saya ingin mendengar reaksi anda.

Anda boleh berjalan di sekeliling Rabaa dan bertanya kepada sesiapa sahaja yang anda mahu. Semuanya berlaku secara terbuka, kita telah menerima diplomat dari seluruh dunia serta orang-orang Mesir dari kedua-dua belah pihak, malah mereka yang dari kem anti-Morsi juga telah datang. Rakyat berada di sini dengan pilihan sendiri, mereka berada di sini untuk mempertahankan keputusan pilihanraya yang telah mereka lakukan melalui peti undi, untuk memilih pemimpin bagi negara mereka dan mereka tidak akan membenarkan tentera untuk mengambil alih hak tersebut , dan mereka memutuskan untuk meningkatkan usaha bagi mempertahankan hak tersebut.

Ikhwan telah gagal untuk mengutuk tindakan keganasan terhadap Kristian di seluruh negara.

Mari kita berterus-terang di sini. Sentiasa ada [mengutuk keganasan tersebut]. Kami tidak pernah mengesahkan keganasan di bawah mana-mana keadaan. Satu-satunya masa yang pernah kita mengesahkan keganasan adalah ketika kami berada di bawah penjajahan British, cuba untuk menghalau penjajah keluar daripada negara kami. Selain daripada itu kami tidak mengiktiraf keganasan sebagai cara untuk melakukan perubahan.

Di laman web Bahasa Arab rasmi Ikhwan, Ikhwan Online, minggu ini ada satu artikel yang mendakwa bahawa Sheikh Al-Azhar bersubahat dengan Gereja Coptic untuk menggulingkan Morsi. Tidakkah anda fikir bahawa ini adalah satu kenyataan yang bertujuan menimbulkan kemarahan?

Ia bukan laman web rasmi Bahasa Arab. Ia adalah sebuah laman web yang memaparkan pandangan ahli-ahli Ikhwan Muslimin dan para penulis. Ia mewakili pandangan orang ramai, dan sesiapa yang berpendapat bahawa sesuatu pandangan itu tidak berasaskan fakta yang tepat, maka mereka perlu berbincang dengan mereka yang menulis itu.

Ikhwan Muslimin menyatakan kedudukan rasmi dengan dua cara: sama ada melalui jurucakap rasmi (terdapat tiga daripada mereka,) atau melalui kenyataan rasminya.

Apakah respon anda kepada kemunculan kumpulan Ahrar yang mendakwa menjadi ahli Ikhwan yang menyeru kepada perubahan kepimpinan Ikhwan, termasuk untuk mengganti Murshidul Am?

Ia adalah melucukan kerana mereka diketuai oleh Parti Demokratik Kebangsaan. Itulah jawapan saya.

Adakah terdapat apa-apa kebimbangan dalam Ikhwan di mana rakyat akan sampai ke tahap di mana mereka akan berfikir bahawa telah tiba masa untuk berunding tanpa Morsi dikembalikan ke jawatan Presiden?

Ikhwan Muslimin adalah sebuah organisasi melalui pilihan sendiri; malah anda membayar 10% daripada pendapatan anda kepada Ikhwan untuk menyokong pergerakan itu sendiri. Ia adalah dengan pilihan sendiri, jika anda tidak mahu ia, anda boleh meninggalkannya.

Sesiapa sahaja boleh berbuat demikian tetapi pendirian Ikhwan, kita mengatakan, tidak. Kami berhak untuk mempunyai pendirian kami sendiri. Itu sahaja yang kami katakan, kami mempunyai pendirian kami sendiri. Sesiapa sahaja yang bersetuju dengan pendirian kami adalah dengan kami dan di kem ini.

Jika seseorang anggota Ikhwan Muslimin memutuskan untuk berunding tanpa Morsi dikembalikan sebagai Presiden, adakah dia akan kekal sebagai ahli Ikhwan?

Mereka boleh pergi dan berbincang dengan tentera secara sendirian, tetapi Ikhwan mengambil keputusan secara demokratik melalui mekanisme membuat keputusannya, bukan dengan mengikut sesuka hati ahli.

Terjemahan oleh : Hj Nahar Md Nor (JKP Pertubuhan IKRAM Malaysia)

Sumber : Daily News Egypt

No comments:

Post a Comment