Friday, July 5, 2013

SPR tiada kuasa jika DUN ‘tergantung’, tidak benarkan siaran langsung RTM

Oleh Hasbullah Awang Chik

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menentukan proses seterusnya jika keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut nanti sama banyak di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jika Adun BN dan Adun PR sama banyak, SPR tiada kuasa bagi menentukan proses seterusnya.
"Adun di kedua-dua pihak harus membuat keputusan semasa persidangan DUN seperti memilih Speaker dan sebagainya. Jika hal itu masih belum selesai, saya percaya Sultan Terengganu akan campur tangan dan jika masih berlarutan, satu PRK lagi akan diadakan," katanya di sidang media di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya hari ini.
SPR mengakui bahawa badan itu terlepas pandang kerana membiarkan kerusi di sesetengah kawasan pilihan raya berada pada angka genap.
"Antara kriteria penting yang akan diambil kira semasa persempadanan nanti, mana-mana negeri yang mempunyai bilangan kerusi genap, akan diganjilkan," tambah Abdul Aziz.
SPR juga beranggapan pilihan raya pada bulan puasa bukan halangan besar kerana PRK Lunas dan Permatang Pasir juga pernah diadakan pada bulan puasa.
Antara sebab badan pilihan raya itu mengadakan pilihan raya kali ini pada bulan puasa kerana tidak mahu tempoh kempen pilihan raya berpanjangan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, SPR memberitahu jika rakaman semasa pengiraan undi ingin dijalankan maka rakaman itu perlu dibuat SPR sendiri bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
Namun, SPR membuat keputusan rakaman berkenaan tidak diperlukan kerana pada masa ini wakil calon yang bertanding ada memerhati di bilik pengiraan undi berkenaan.
"Jika RTM membuat permohonan untuk merakam sesi pengiraan undi, maka SPR sendiri tidak dapat menolak permohonan daripada agensi media lain," katanya.
PRK Kuala Besut adalah pilihan raya penting bagi Terengganu kerana BN kini menguasai 16 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang menguasai 15 kerusi daripada keseluruhan DUN negeri itu.

Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Husein Awang berkata penyokong PAS sangat bersemangat bagi memastikan parti itu menang dalam PRK kali ini.
Beliau berkata, PAS ingin melihat apa yang akan berlaku apabila DUN itu nanti bakal mempunyai 16 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dan 16 Adun PR.
Beberapa tokoh BN sebelum ini beranggapan jika PAS menang sekali pun, ia tidak akan mengubah apa-apa kerana speaker yang dipilih BN akan menjadi undi penentu.
Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengatakan akan berunding dengan SPR untuk membolehkan RTM menyiarkan siaran langsung kiraan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata beliau akan berbincang dengan pihak teknikal kementeriannya bagi melihat keupayaan membuat liputan berkenaan dan ini bagi memastikan orang ramai tidak akan mempersoalkan jika berlaku insiden bekalan elektrik terputus jika rakaman berkenaan dilakukan.
Ahmad Shabery berkata, pertemuan beliau dengan SPR akan diadakan dalam masa terdekat. - 5 Julai 2013.

Sumber themalaysianinsidert

No comments:

Post a Comment