Saturday, July 27, 2013

Bapa Muslim rayu keputusan mahkamah benar anak kekal Hindu

Oleh Hasbullah Awang Chik


Bekas suami M Indira Gandhi (gambar), Muhammad Ridzuan Abdullah akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang membatalkan pengislaman ketiga-tiga anaknya dalam masa 10 hari akan datang.
Peguam kepada Muhammad Ridzuan, Hatim Musa mengesahkan menerima arahan itu daripada anak guamnya yang tidak hadir ke mahkamah ketika hakim memberikan keputusan.
"Kita sudah pasti akan membuat rayuan kerana ia berkaitan pembatalan sijil memeluk Islam. Lagipun, kes ini membabitkan kepentingan awam.
"Anak guam saya ada di sekitar Ipoh pada hari perbicaraan tetapi dia tidak sempat hadir ke mahkamah," kata Hatim dipetik dari akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh, Lee Swee Seng dalam penghakimannya selama 1 jam 40 minit menetapkan perakuan memeluk Islam ke atas ketiga-tiga anak Indira Gandhi iaitu Tevi Darsiny, 16, Karan Dinish, 15, dan Prasana Diksa, 5, sebagai terbatal dan tidak sah.
Beliau berkata pengislaman itu turut tidak mengikut Perlembagaan kerana bertentangan dengan keadilan asasi ekoran pendaftaran itu tidak dilakukan di hadapan Indira dan anak-anaknya.
Swee Seng berkata di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 mengehendaki anak-anak Indira hadir untuk mengucapkan kalimah syahadah sewaktu pendaftaran pengislaman tersebut dilakukan.
“Di bawah Perkara 3, 5 dan 11 Perlembagaan Persekutuan; Indira Gandhi mempunyai hak kebebasan dan hak sama rata untuk membesarkan anak-anak dengan didikan amalan agamanya.
“Keputusan ini merujuk kepada Konvensyen Untuk Menghapuskan Diskriminasi Dalam Semua Bentuk Terhadap Wanita (Cedaw) yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia,” tambah Swee Seng semasa penghakimannya terhadap kes itu.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili Indira, M Kulasegaran berkata beliau berharap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu disebabkan kes berkenaan berlarutan selama lima tahun.
"Dua tahun lalu, Peguam Negara pernah membantah apabila kita cuba membawa kepada Mahkamah Persekutuan untuk membuat semakan kehakiman kerana berpendapat Mahkamah Tinggi boleh mengendalikan kes itu.
"Oleh itu, kita berharap beliau tidak akan menggunakan kuasanya untuk merayu dalam keputusan kali ini," katanya.
Indira, seorang guru tadika berkahwin dengan K Patmanathan 20 tahun dahulu mengikut ritual Hindu.
Enam tahun selepas perkahwinan, pada 11 Mac, 2009, suaminya masuk Islam dan menjadi Muhammad Ridzuan Abdullah.
Sebulan selepas itu, beliau menukar agama ketiga anak-anaknya di Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam, Ipoh, Perak.
Penukaran agama itu tanpa pengetahuan isterinya.
Pada bulan sama, Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak kepadanya.
Mereka akhirnya bercerai dan suaminya mengambil anak bongsu yang berumur setahun bersamanya.
Indira kemudiannya ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang memberikan hak penjagaan anak kepada ayah dan pada Julai 2010, beliau menang kes walaupun terdapat bantahan keras Peguam Negara.
Walaupun menang, suaminya tidak memulangkan anak perempuan bongsu mereka. – 27 Julai, 2013.

Sumbet themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment