Friday, July 19, 2013

Kenyataan Ikhwan Muslimin sempena Ulangtahun 10 Ramadan


Selepas bencana 1967, Mesir dan dunia Arab telah melalui tempoh yang suram dan penuh dengan kesusahan, di mana impaknya masih boleh dirasai pada hari ini. Dalam peperangan tersebut, tentera Mesir menjadi mangsa kepimpinan yang menyimpang dari peranannya, terlibat dalam politik, terganggu dengan kehendak hati dan keinginan, dan mengabaikan tanggungjawab ketenteraannya yang sebenar.Pada 1973, setelah diterajui oleh kepimpinan tentera baru yang fokus akan misinya, meletakkan prinsip dan etika di tempat yang selayaknya dan tidak melibatkan diri dalam kancah politik, pihak tentera telah berperang dengan penuh bermaruah di dalam bulan Ramadan yang mulia bersama askar-askar yang melaungkan 'Allah Maha Besar', menyeberangi Terusan Suez, mengalahkan musuh mereka, memadam perasaan malu silam dan mencapai kejayaan terbesar pada zaman moden ini.
Sambil kita mengingati detik-detik agung itu, Mesir sekarang ini sedang mengalami satu mimpi buruk, satu ancaman serius terhadap keselamatan negaranya, iaitu ancaman peperangan saudara atau perselisihan yang membinasakan di antara rakyat dan tentera yang mereka cintai dan sokongi, atau satu pengkhianatan di dalam barisan tentera sebagai kesan kemunculan semula satu kumpulan komander tentera yang terlibat dalam kancah politik, keinginan mereka untuk mengkuasai kerajaan dan kepimpinan melalui rampasan kuasa terhadap legitimasi perlembangan, menculik Presiden yang merupakan orang awam terpilih, menggantung Perlembangaan yang disahkan oleh pungutan suara orang ramai, membubarkan Parlimen yang dipilih secara demokratik, melakukan pembunuhan beramai-ramai yang telah mengambil nyawa lebih dari seratus orang dan mencederakan lebih seribu pembantah aman apabila mereka turun untuk sujud semasa solat Subuh dan menahan lebih lapan ratus penduduk Mesir.

Kumpulan komander perampas kuasa ini telah mengkhianati kepercayaan rakyat dan sumpah yang mereka angkat apabila mereka mencabul legitimasi perlembagaan, menculik Komander Tentera Tertinggi - Presiden yang dipilih secara sah, menahan beliau daripada berkomunikasi dan di tempat yang tidak diketahui, melepaskan tembakan peluru hidup ke kepala dan dada penunjuk perasaan orang awam yang tidak bersenjata serta tidak melindungi mereka dari bahaya dan keganasan, dan ini merupakan tindakan meninggalkan semangat patriotik ketenteraan yang unggul dan maruah tentera Mesir yang tidak pernah lagi berlaku sebelum ini.

Rakyat Mesir yang telah membanjiri semua kawasan awam dan jalanan di dalam perhimpunan besar-besaran dan duduk membantah selama tiga minggu ini, tidak akan mengaku kalah akan keinginan mereka untuk mengembalikan legitimasi dan menghapuskan semua perintah, tindakan, dan proses perampasan kuasa dengan menggunakan cara yang aman, walau apa saja kesannya.

Kami menghormati tentera kami yang berani, yang melindungi kami dan mempertahankan tanah air. Mereka ialah saudara lelaki dan anak-anak lelaki kami. Jika ada sebarang parti atau individu yang cuba menanam hasutan atau kecelakaan di antara kami sebagai rakyat dan pihak tentera, tolak mereka dengan segera.

Ucapan tahniah kami kepada penduduk Mesir dan tenteranya sempena ulangtahun peristiwa besar ini tercemar oleh ancaman semasa apabila pengkhianat perampas kuasa ini menolak Mesir ke dalam sebuah terowong gelap menuju jurang yang tidak dapat dibayangkan.

Kami menegaskan bahawa penduduk Mesir bertekad untuk mengembalikan revolusi mereka, kedaulatan dan hak kekuasaan mereka dan mencapai kejayaan dengan kuasa mereka sebagai rakyat jelata, dan yakin pihak tentera tidak akan bersetuju dengan perampasan kuasa yang jahat dan perebutan kuasa yang keji.

Justeru, kita mesti menjadikan Jumaat ini, Ramadan kesepuluh, mencapai kemenangan besar dengan keluar beramai-ramai untuk perhimpunan besar-besaran, yang akan memekakkan telinga komander perampas kuasa dan konco-konconya, dan menghapuskan mereka dari akar umbi.

"Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan." (An-Nahl 16:91)

Ikhwan Muslimin
Kaherah - 18 Julai 2013

Sumber : IkhwanWeb

No comments:

Post a Comment