Wednesday, July 17, 2013

Murid lima tahun maut tersepit pintu lif

Seorang murid tahun lima maut selepas kepalanya tersepit di pintu lif dalam kejadian di Perumahan Awam Desa Tun Razak di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kejadian 12.50 tengah hari, Khairul Amir Azri Lani, 11, tersepit ketika cuba keluar daripada lif yang tersekat antara tingkat dua dan tiga di bangunan berkenaan.
Mengikut saksi, Mohd Nor Asyriq Mohd Zafridin, 17, mangsa cuba memanjat ke tingkat tiga, namun secara tiba-tiba lif itu bergerak ke bawah menyebabkan kepalanya tersepit di pintu.
"Masa tu Amir teragak-agak cuba nak melompat keluar, bila dia cuba tiba-tiba lif bergerak," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu jam 1.16 petang dan sebuah jentera dengan tujuh anggota ke tempat kejadian.
"Ketika kejadian terdapat 18 orang dalam lif itu dan kebanyakannya pelajar yang baru pulang dari sekolah,
"Semua mangsa dapat dikeluarkan di lobi. Lif tersebut sepatutnya tidak bergerak turun dan kita percaya ada masalah teknikal pada lif itu,"katanya.
Katanya, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan bahu sebelum dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat. - Bernama, 17 Julai, 2013.

No comments:

Post a Comment