Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut hari ini membidas Ketua Umno Besut Datuk Seri Idris Jusoh yang meminta PAS tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut 24 Julai ini bagi menghormati kemenangan BN pada pilihan raya umum lalu dan bulan Ramadan.

Abdul Wahid Endut"Dia takut. Dia takut (kalah) dalam pilihan raya kecil. Ini kerana kita pernah buat kejutan dalam pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu.

"Kita ada pengalaman (menang). Kita mahu mencipta sejarah buat kali kedua. Lagi pula Kuala Besut bersempadan dengan Kelantan.

"Kita mahu aura kemenangan Kelantan ke Kuala Besut," kata Mohd Abdul wahid (atas) ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
Pada Januari 2009, Mohd Abdul Wahid Endut menewaskan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 2,631 undi.

Mohd Abdul Wahid mendapat 32,883 undi, manakala Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi.
Manakala calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi dan hilang wang pertaruhan.

Mohd Abdul Wahid mengulas kenyataan Idris yang juga menteri pelajaran dan pengajian tinggi II antara lain menyatakan PAS tidak mempunyai harapan untuk memenangi pilihan raya kecil itu memandangkan BN mendapat undi majoriti sebanyak 2,434 dalam pilihan raya umum ke-13.

DUN Kuala Besut kosong berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru, 26 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi dan 12 Julai sebagai hari penamaan calon PRK Kuala Besut.

Sumber malaysiakini