Wednesday, July 17, 2013

Pembekal dakwat PRU13 tidak akan diberi tender lagi, kata Shahidan

Oleh Md Izwan



Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini memberi jaminan tender pembekal dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 tidak akan dilanjutkan kerana orang ramai sudah mengetahuinya.
Putrajaya sebelum ini enggan mendedahkan maklumat tentang pembekal dakwat kontroversi tersebut sehinggalah semalam Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli membuat pendedahan tentang pembekal tersebut semalam di Dewan Rakyat.
"Sudah pasti syarikat ini tidak akan diberi tender lagi.
"Kerana bila orang tahu ini syarikatnya dan orang ramai tahu, syarikat itu tidak boleh lagi diberikan tender... kena ambil orang lain pula untuk bekal dakwat," katanya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu semasa perbahasan pembekalan tambahan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Rafizi mendedahkan pembekal dakwat kekal di Dewan Rakyat dengan menyatakan individu itu "rakan rapat" pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mendakwa kontrak berkenaan diberikan secara rundingan terus kepada  Integrated Challenger Malaysia Sdn Bhd yang dimiliki oleh Mohd Salleh Md Ali.
Shahidan bagaimananapun mempertahankan pendirian SPR untuk tidak mendedahkan maklumat tentang pembekal baru tersebut atas alasan isu keselamatan dan menyebabkan pihak tertentu membuat manipulasi.
"Pembekal dakwat tersebut akan menjadi rahsia kepada SPR supaya mana-mana pihak tidak boleh manipulasi," kata beliau lagi hari ini.
"Mengenai syarikat yang bekalkan itu sekali lagi saya ini beritahu bahawa kalau kita beritahu ini kedainya, saya rasa sudah pasti orang akan buat manipulasi macam-macam... mereka akan pergi beli dan celup," tambah beliau.
Kontroversi dakwat kekal menjadi pertikaian dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu selepas ia mudah ditanggalkan walaupun hanya dengan membasuhnya.
Awal minggu ini, Pakatan Rakyat (PR) juga telah mengemukakan saman ke atas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana membuat kenyataan palsu berhubung dakwat kekal serta kandungan nitrat perak dalam dakwat berkenaan.
Namun, Abdul Aziz hari ini telah menafi dakwaan pembekal dakwat kekal, Mohd Salleh Md Ali adalah kenalan rapatnya sebagaimana tuduhan Rafizi.
Pengerusi SPR itu, berkata pembelian dakwat kekal dikendalikan oleh Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Baria, bukan beliau mahupun timbalannya.
Mohd Salleh memiliki tiga syarikat yang mendapat banyak kontrak kerajaan secara rundingan terus, antaranya Integrated Challenger Malaysia Sdn Bhd yang didakwa membekal dakwat pada pilihan raya ke-13. - 17 Julai, 2013.

Sumber themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment