Che Naimah Bt Che Sa’ari, |
Dalam Islam, darjat dan kemuliaan seseorang itu tidak dinilai berdasarkan kekayaan dan harta benda yang tetapi dinilai berdasarkan amal soleh serta hati yang mulia dan bersih. Seperti yang disebut dalam Surah Al-kahfi Ayat 46 ”Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan” . Dalil daripada Al-quran ini menjelaskan kepada kita bahawa tugas kita sebagai hamba di dunia bukan sekadar mencari keseronokan dan nikmat dunia semata-mata. Hal ini kerana tujuan utama kita diciptakan di dunia adalah untuk beribadat kepada Allah SWT. Mengejar kekayaan dunia tidak salah, kerana jelas kita memerlukan kekayaan dan harta benda untuk meneruskan hidup dan beribadah kepada Allah, namun kita harus bijak menyeimbangkan antara urusan dunia dan akhirat.
Harus diingat, kekayaan bukan penjamin hidup yang gembira serta hati yang tenang dan kemiskinan pula bukan penentu hidup yang derita. Namun, kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa mempertingkatkan diri kearah yang lebih baik dari semasa ke semasa dan jangan sesekali menjadikan kemiskinan ataupun kekayaan penghalang untuk menjadi insan yang bahagia di dunia.
Kaitan konsep Man Jadda Wajada dengan hati
Pepatah Arab ada menyebut, Man Jadda Wajada, maksudnya siapa yang gigih berusaha pasti akan berjaya. Ramai yang menyalah anggap ‘berusaha’ disini bererti mengumpul dan mencari kekayaan semata-mata. Hakikatnya tidak, ‘berusaha’ di sini juga boleh diapalikasikan dalam kehidupan seharian tidak mengira sama ada darjat seseorang itu kaya ataupun miskin seperti berusaha menjadi seseorang yang lebih baik dari sebelumnya, berusaha mendidik hati agar sentiasa menjadi ikhlas melalukan setiap perkara, berusaha mempertingkatkan diri dalam pelajaran, berusaha mengejar impian sehingga terlaksana dengan hasil usaha sendiri dan sebagainya.
Melalui sifat ingin berusaha ke arah lebih baik, kekayaan hati diperolehi secara tidak langsung. Sebagai contoh, seseorang penagih dadah berusaha untuk berubah menjadi orang yang baik dengan meninggalkan segala tabiat buruknya dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sudah pasti pelbagai dugaan dan godaan dilalui olehnya sebelum berjaya membebaskan diri dari belenggu ketagihan dadah, namun kerana kesungguhannya untuk menjadi manusia yang mulia disisi tuhan dan masyarakat, beliau beriltizam untuk menahan godaan nafsu dadah dan akhirnya berjaya keluar dari belenggu dadah.
Cabaran dan rintangan yang dilalui oleh penagih tersebut lebih mencabar jika dibandingkan dengan seseorang tidak pernah melakukan kesalahan dalam hidupnya dan segala rintangan dan cabaran tersebut sudah pasti tidak mampu ditempuhi oleh penagih tersebut tanpa hati yang murni dan ikhlas untuk berubah. Oleh itu kita mampu menilai sendiri samaada hati penagih tersebut ‘miskin atau kaya’. Ternyata konsep Man Jadda Wajada ini membentuk sekaligus mendidik generasi supaya bersungguh-sungguh melakukan sesuatu dan mendorong kearah perubahan yang lebih baik dari segenap aspek dalam kehidupan.
Tanamkan sifat sifat sabar dan bersyukur dalam diri
Kaya hati bermaksud, hati itu mampu bersabar apabila ditimpa kemiskinan dan mampu bersyukur apabila mendapat nikmat dan kesenangan. Dalam apa jua keadaan, orang yang memiliki hati sedemikian akan mendapat ketenangan dalam hidupnya. Ketenangan inilah yang menjadi asas dan teras pada kekayaan sebenar pada seseorang individu dan Rasulullah bersabda dalam hadis Abu Hurairah,
“Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, tetapi kekayaan adalah kaya hati.” (HR. al-Bukhari dan Muslim). Kekayaan hati dapat dimiliki oleh sesiapa sahaja tidak kira si miskin atau si kaya. Asalkan sahaja hati itu dihubungkan dengan Allah, maka hati itu akan tenang.
*Che Naimah Bt Che Sa’ari ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, N.Sembilan.
Sumber harakahdaily
No comments:
Post a Comment