Tuesday, May 21, 2013

Panel SPRM mahu menteri, MB tidak dibenarkan terbabit kontrak kerajaan

Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 21 Mei — Anggota keluarga jemaah Menteri dan Menteri Besar termasuk juga kumpulan anggota jawatankuasa negeri dicadangkan supaya dilarang daripada terbabit dengan kontrak kerajaan, kata Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Panel berkenaan yang dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaaffar dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka mencadangkan agar anggota pentadbiran kerajaan pada peringkat pusat dan negeri serta anggota keluarga terdekat mereka tidak melibatkan diri dalam permohonan atau membida kontrak kerajaan.
"Cadangan ini juga bagi mengelakkan pandangan serong rakyat terhadap mereka yang berada dalam kedudukan yang mempunyai kuasa dalam mempengaruhi keputusan kerajaan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
"Panel ini mencadangkan hal ini dilaksanakan serta merta pada peringkat pusat, negeri dan juga kerajaan tempatan atau lain-lain
agensi kerajaan," tambah beliau lagi.
Amalan sebelum ini, jelas panel berkenaan apabila mana-mana menteri atau menteri besar dan ketua menteri yang "meninggalkan mesyuarat" dan tidak mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan apabila agenda mengenai syarikat yang mempunyai milik keluarga dibincangkan tidak lagi boleh diterima pakai.
Selain itu, panel dengan lapan anggota itu turut mencadangkan supaya semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat pengisytiharan harta setiap tiga tahun kepada SPRM.
Langkah itu jelas mereka bagi memastikan komitmen mereka dalam perang menentang rasuah.
"Dengan pengisytiharan harta yang dibuat oleh semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri ini maka keraguan terhadap pertambahan aset sepanjang mereka memegang jawatan dapat dihindari," katanya.
Selain menyokong pelantikan Datuk Paul Low sebagai anggota Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, panel berkenaan turut mencadangkan diwujudkan tempoh bertenang bagi membenarkan penjawat awam yang telah bersara memegang jawatan korporat atau pengamalan profesional dalam sesebuah syarikat atau firma.
"Keadaan ini boleh menimbulkan konflik kepentingan kerana mereka boleh memanfaatkan pengetahuan, pengaruh dan peranan ketika berkhidmat dalam kerajaan untuk kepentingan masa pencen. Ia juga merupakan 'insuran' atau jaminan bagi mereka apabila meninggalkan jawatan awam.
"Risiko kesalahan rasuah juga boleh berlaku kerana pegawai yang bakal bersara itu berpeluang memanfaatkan kedudukan awamnya
untuk melobi jawatan atau faedah peribadi tertentu bagi dirinya apabila dia bersara kelak," tambahnya lagi.

Sumber themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment