Dalam laporan akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian, Noor Hanim berkata gambar itu sebaliknya dirakam seorang petugasnya di bilik pengiraan undi Saluran 3 Sekolah Kebangsaan Serdang pada jam 7.32 malam pada 5 Mei lalu.
Noor Hanim merasa hairan bagaimana Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar sendiri seolah-olah tidak tahu pakaian rasmi petugas SPR yang memakai baju T kelabu pada hari berkenaan.
Menurut Noor Hanim, ketika lampu pasam wakilnya berusaha membekalkan lampu suluh ke bilik pengiraan undi terbabit bagi memastikan proses kiraan berjalan lancar.
Beliau turut menafikan terdapat wartawan di lokasi kejadian kerana yang ada di lokasi hanya Ketua Tempat Mengundi (KTM), petugas SPR, wakil calon dan anggota polis bertugas.
Sinar Harian mengatakan, sekolah itu mempunyai empat saluran mengundi, namun di saluran satu, dua dan empat, kiraan undi tamat lebih awal dan tiada gambar di ketiga-tiga saluran itu dirakamkan.
Hanya gambar di saluran tiga sempat dirakam kerana kiraan undi lewat tamat dan hanya siap jam 8 malam.
Agensi berita nasional Bernama melaporkan pada Jumaat SPR menunjukkan sekeping gambar dimuatkan di Internet menunjukkan kononnya berlaku insiden lampu padam semasa pengiraan undi pada PRU13 pada 5 Mei lalu adalah fitnah dan lakonan itu dirakamkan sebelum pilihan raya lagi.
Wan Ahmad berkata, kesimpulan itu dibuat hasil penelitian beliau bersama pegawai-pegawainya.
“Mereka telah melakonkan perkara ini sebelum pilihan raya lagi untuk disebarkan di internet sebagai helah bagi menunjukkan kononnya berlaku kejadian lampu padam, sedangkan ini semua cerita karut.
“Pada gambar tersebut ditunjukkan kononnya petugas SPR sedang mengira kertas undi dan terpaksa menggunakan lampu bantuan kerana lampu padam sedangkan petugas itu langsung tidak memakai baju SPR,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.
Beliau berkata, bukti paling nyata apabila gambar tersebut menunjukkan terdapat ramai pemberita dan jurugambar berada di dalam tempat pengiraan undi sedangkan hakikatnya tidak ada sesiapa yang boleh berada di tempat tersebut melainkan petugas SPR dan ejen calon.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara kerja seperti yang ditunjukkan oleh gambar itu langsung tidak betul... mereka sudah terlupa, hendak menipu tetapi tidak faham tatacara kerja dan tidak matang.
“Malah dulang yang digunakan untuk meletak kertas undi juga bukan dulang SPR, bahan dan saiznya berbeza.. banyak perkara dalam gambar tidak ikut SOP SPR,” katanya.
Sumber themalaysianinsider
No comments:
Post a Comment