Friday, May 31, 2013

Besut, Setiu ibarat Sabah, Sarawak?


Oleh MAT ZAIN MAT ISA
BAGUSLAH PAS Terengganu cepat sedar akan kelemahannya “membiarkan” gerak kerja parti di Besut dan Setiu sebelum ini tanpa perhatian khusus. Setelah dua kawasan Parlimen itu tidak menyumbang sebarang kerusi dalam PRU13 baru-baru ini, kepimpinan parti di negeri itu segera melontarkan hasrat mengambil perhatian lebih berat terhadap kawasan berkenaan.


Harakah 17 Mei lalu memetik kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahari Mamat bahawa pihaknya akan memberi tumpuan lebih serta mensasarkan kawasan Besut dan Setiu untuk dimenangi pada PRU14 nanti. Dua kawasan itu kini menjadi bahan sindiran paling laris di kalangan pengulas politik. Boleh dikatakan hampir semua medan sembang politik tidak melepaskan peluang untuk mempersoalkan, “kenapa Besut dan Setiu tidak menyumbang sebarang kerusi (untuk PAS Terengganu)?”
Selalunya juga pertanyaan itu akan disusuli dengan andaian penuh harapan, “kalaulah setiap kawasan itu sumbang satu kerusi pun, kita (PAS) dah boleh memerintah (Terengganu).”
Mereka merujuk kepada kejayaan PAS nyaris merampas Terengganu pada PRU lalu. Parti itu menang di 15 daripada 32 kerusi dan memerlukan hanya dua kerusi lagi untuk mendapat majoriti mudah.
Itulah gambaran penyesalan di forum-forum sembang rakyat. Sedangkan sebelum tiba pilihan raya harapan sebegitu tinggi terhadap sumbangan kerusi dari dua kawasan itu (khususnya Besut) tidak pun menjadi bahan utama bual bicara umum.
Sebab itu penulis melihat persoalan ini wajar diperhalusi semula. Sekurang-kurangnya para pemimpin dan pendukung PAS Terengganu sendiri, juga penganalisis dan pemerhati politik yang ghairah mengulas keputusan PRU13 di negeri itu boleh sedikit berlaku adil dan realistik.
Untuk itu, di sini penulis lontarkan beberapa pemerhatian yang bagi penulis menjadi antara faktor mendorong terhasilnya keputusan pilihan raya itu seadanya.
Pertama, maaf cakap, kesungguhan PAS Terengganu sendiri untuk menawan kerajaan tidaklah begitu meyakinkan. Ada dua kes melibatkan dua pemimpin kanan PAS negeri yang penulis sendiri dengar, menuturkan ucapan senada iaitu, “banyak benda tak leh nak buat, kalau kita menang negeri saja, tak menang Pusat.”
Ertinya, kepimpinan tertinggi PAS Terengganu seakan meletakkan harapan menawan negeri secara bersyarat, yakni mestilah juga menawan kerajaan Pusat. Itu bukanlah pendirian atau penegasan yang baik, lebih-lebih lagi untuk diucapkan secara terbuka. Bagi penulis, ia tidak membantu melonjakkan semangat gerak kerja jentera bawahan.
Kedua, selepas PRU 2008 lalu, senarai awal kerusi-kerusi sasar tidak begitu jelas melibatkan mana-mana kerusi di Besut. Hal itu mungkin mengambil kira majoriti kekalahan pada pilihan raya tersebut. Dun terbaik di Besut, iaitu Hulu Besut (kalah lebih 2,500), hanya berada di tangga ke-21. Sedangkan untuk memerintah Terengganu, jumlah kerusi yang disasarkan hanyalah 17.
Ertinya, Besut tidak diletakkan harapan tinggi untuk menyumbang kerusi membantu kemenangan Terengganu. Jangan dikatakan untuk sasaran 17 kerusi, untuk senarai 20 kerusi pun masih belum termasuk mana-mana kerusi dari Besut.
Kes ini berbeza dengan Setiu, di mana dua kerusi dari kawasan berkenaan, iaitu Jabi dan Batu Rakit memang tersenarai sebagai kerusi sasaran “mesti menang” sedari awal lagi.
Namun, ada juga pihak mendakwa senarai itu kemudiannya berubah. Kononnya dua kerusi di Besut, iaitu Jertih dan Kota Putera termasuk senarai sasar. Kita tidak pasti sejauh mana dakwaan itu benar. Apa yang pasti, tiada pula kedengaran cakap-cakap mengiyakan dakwaan sedemikian, khususnya di kalangan pendukung PAS di Besut sendiri.
Lebih-lebih lagi dalam konteks Kota Putera, agak tidak munasabah jika dikatakan ia turut termasuk dalam Dun sasar PAS negeri, memandangkan ia pada sepanjang masa diletakkan sebagai keutamaan untuk difaraidkan kepada parti rakan, Keadilan.
Ketiga, apabila PAS gagal di mana-mana kerusi, kena tengok juga kekuatan parti lawan di situ. Diakui banyak pihak bahawa di antara Umno paling jahat di seluruh negara ialah Umno Terengganu. Sedangkan pendukung Umno Terengganu paling “kepala pengat” ialah dari Besut.
Sedarilah hakikat bahawa Ketua Umno Bahagian Besut adalah Pengarah Strategik Umno Malaysia. Beliau adalah kepala perancang segala macam strategi BN mengalahkan PAS-Pakatan Rakyat di seluruh negara. Maka mana mungkin dia membiarkan partinya sebegitu mudah dikalahkan oleh PAS di daerahnya sendiri?
Kini, orang galak bercakap bahawa Besut dan Setiu paling payah menerima angin perubahan. Dua kawasan Parlimen ini dianggap ‘deposit tetap’ BN Terengganu.
Lalu ada yang secara berseloroh (sinis... sebenarnya!) mengumpamakan dua daerah itu ibarat Sabah dan Sarawak buat BN dalam konteks nasional. Namun bagi kita, tidak ada yang mustahil dalam politik. Insya-Allah tanggapan itu bakal berubah. Bahkan, Sabah dan Sarawak sendiri pun sudah menunjukkan perubahan lebih positif untuk Pakatan Rakyat. Tidak mustahil Besut dan Setiu juga mampu membuahkan hasil lebih bagus buat PAS.
Apa pun, kita patut ucapkan tahniah kepada PAS Kawasan Besut. Pencapaiannya sangat positif di Jertih dan Kota Putera baru-baru ini. Ia berjaya mengurangkan majoriti kemenangan BN kira-kira 2,000 undi.

Sumber tranungkite

No comments:

Post a Comment