Tuesday, May 14, 2013

Mampat gesa tukar Menteri Besar Terengganu





Harakahdaily, 14 Mei 2013
KUALA TERENGGANU: Penaung Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail kesal dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bahawa tiada rumah mampu milik di kawasan BN kalah seperti dilaporkan Bernama, kelmarin.
Katanya, kenyataan itu amat mendukacita dan memalukan rakyat Terengganu.

"Ini menunjukkan dan menggambarkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu amat tidak berwibawa dan cetek di dalam pemikiran beliau sebagai pemimpin yang baru dilantik semula sebagai Menteri Besar,” katanya ketika dikunjungi wakil Harakahdaily.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya menggunakan wang royalti minyak kepada projek-projek yang akan menaikkan taraf hidup rakyat dan bukannya projek-projek membazir seperti apa yang berlaku sebelum ini.

"Dengan pendapatan wang royalti minyak yang begitu lumayan pada tiap-tiap tahun seharusnya dibelanjakan untuk rakyat miskin yang hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

“Kita tak mahu lagi mendengar panggilan ‘Terengganu Kaya Rakyat Miskin’," ujar bapa saudara kepada Sultan Terengganu itu.

Katanya lagi, para nelayan, petani dan penoreh getah dan mereka yang bekerja di kampung-kampung masih perlu kepada pembelaan kerajaan bagi menaikkan taraf hidup mereka.

Beliau berharap rakyat Terengganu khususnya pemimpin-pemimpin Umno negeri ambil iktibar dengan perangai tidak rasional yang diambil oleh Ahmad itu.

Di samping iru, ujar beliau Umno BN yang hanya menang 17 kerusi Dun dapat mengawasi projek-projek yang diberikan pada masa hadapan dilakukan secara kolektif dan bukannya ditentukan oleh Ahmad mengikut kehendak dan seleranya sahaja.

Beliau menegaskan, Terengganu berkehendakkan seorang Menteri Besar yang baru yang dapat memberi nafas kepada seluruh rakyat, bukan kepada 17 Dun yang dimenangi oleh BN sahaja serta cara pentadbiran yang lebih matang untuk membangunkan negeri ini.

No comments:

Post a Comment