Friday, May 17, 2013

Ahmad Said hanya MB setahun?


TERENGGANU: KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 telah berlalu, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) Terengganu ‘cemas’ kerana menang dengan hanya majoriti mudah sahaja.

Keputusan PRU13, BN memperolehi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan empat kerusi Parlimen iaitu Kuala Besut, Kota Putera, Jertih, Hulu Besut, Jabi, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Pengkalan Berangan, Telemung, Kuala Berang, Ajil, Bukit Besi, Kemasik, Kijal dan Air Putih. Manakala, empat kerusi Parlimen iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman.

PAS-Pakatan Rakyat pula berjaya merapatkan jurangnya dengan 15 kerusi Dun iaitu Tepoh, Teluk Pasu, Bukit Tunggal, Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang, Batu Burok, Alor Limbat, Bukit Payong, Rhu Rendang, Manir, Rantau Abang, Sura, Paka dan Chukai.

Manakala bagi empat kerusi Parlimen iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.Sedangkan, pada pilihan raya 2008 sebelum ini, Umno-BN Terengganu telah menguasai 24 kerusi Dun dan enam kerusi Parlimen. Manakala, PAS hanyalah lapan kerusi Dun dan dua kerusi Parlimen.

Pelbagai peringkat rakyat mula menyuarakan rasa hati mahukan ketua pentadbiran negeri ini wajar ditukar-ganti yang baru sekaligus menolak' kepimpinan penyandang Menteri Besarnya, Dato' Seri Ahmad Said.

Suara-suara penolakan itu, bukan lahir dari pihak pembangkang tetapi lebih kuat lagi di kalangan ahli serta kepimpinan Umno-BN Terengganu sendiri yang tidak sehaluan dengan MB Tersebut.

"Masihkah Kau Ingat"..bagaimana 'sakitnya' senario Umno-BN Terengganu ketika selepas PRU12 tahun 2008 hingga memakan masa lebih satu bulan untuk mencari seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang selayaknya dipilih sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Waktu itu, penolakan pihak Istana Terengganu cukup kuat tidak mahu penyandang MB Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh itu dikekalkan menerajui negeri Darul Iman ini.

Maka, tuah MB ketika itu nampak 'ditangan' Adun Kijal, Ahmad atau 'Mat Said' yang dinobatkan sebagai Menteri Besar 'payung' terjun kerana tidak ada pilihan lain. Selepas itu, pergolakkan dalaman di kalangan wakil-wakil rakyat Umno-BN tidak pernah reda hingga wujud kumpulan '10 budak hitam' yang memboikot kepimpinan Ahmad sebagai MB Terengganu.

Pengaruh Idris JusohSepuluh Adun Barisan Nasional memulaukan Sidang Dun Terengganu pada hari kedua persidangan selepas beberapa orang daripada mereka menerima ugutan "YB tak sayang nyawa ke?" Antaranya, Adun Ajil iaitu Dato' Rosol Wahid, Zakaria @ Ariffin Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) yang membuat laporan polis selepas mendapat mesej SMS ugutan tersebut.

Selain mereka bertiga, turut tidak hadir di sidang Dun Terengganu waktu itu ialah  Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang),  Dato' Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Ramlan Ali (Jabi), Dato’ Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

Wujud 'team Idris' yang lebih besar pengaruhnya dalam kepimpinan Umno di peringkat bahagian berbanding dengan 'team Mat Said' sendiri. Ahmad pernah memberi amaran keras termasuk memecat Adun BN terbabit jika usul undi tidak percaya dikemukakan kepada beliau pada Persidangan

Pertama bagi Penggal Ke-12, Dewan Undangan Negeri Terengganu. BN Terengganu selepas PRU12 berjaya menguasai 24 kerusi Dun, sementara itu PAS pula memperolehi lapan kerusi dewan tersebut.

Kemelut dalam kepimpinan Umno-BN Terengganu pada hakikatnya tidak pernah reda dan boleh diibaratkan seperti 'api dalam sekam' yang boleh terbakar pada bila-bila masa sahaja.

Hari ini, selepas PRU13 yang baru berlalu pada 5 Mei 2013. Kerusi MB Terengganu agak panas meski pun nampak tenang tetapi penuh gelora. Sumber-sumber Harakah memaklumkan krisis dalaman Umno-BN 2008 bakal berulang kembali jika gagal ditangani dengan baik oleh pihak berkenaan.

Suara rakyat di bawah tertanya-tanya siapakah bakal Menteri Besar Terengganu yang baru kerana beberapa nama pilihan dilontarkan kepada rakyat sebagai spekulasi politik. Antara nama-nama bakal MB Terengganu yang baharu iaitu Adun Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang, Dato' Ahmad Razif Abd. Rahman (Seberang Takir), Dato' Mohd Jidin Shafee (Permaisuri) dan Dato' Dr A.Rahman Mokhtar (Kuala Besut).

Namun begitu, segalanya terjawab apabila Adun Kijal, Dato' Seri Ahmad Said menerima kembali jawatan sebagai MB Terengganu untuk penggal kedua ini, yang berlangsung di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 11 Mei 2013 lalu.

Sementara itu, ura-ura juga akan berlaku protes dari kalangan ahli dan penyokong Umno-BN Terengganu yang tidak berpuas hati dengan perlantikan Ahmad itu sebagai MB Terengganu.

Harakah turut mengesan beberapa sepanduk yang dipasang oleh ahli dan penyokong Umno-BN Terengganu kerana tidak berpuas hati dengan perlantikan Adun Kijal itu ke jawatan Menteri Besar.

Antara tulisan protes yang dibuat "Kami Serik Doh Mat Said..5 Tahun Jadi MB", "Apa Ertinya MB Setahun Sahaja Duhai Najib", "Daulat Tuanku, Kami Tak Mahu Mat Said Jadi MB", "Mat Said Jadi MB Hilang Balok Terengganu", "Mat Said

Jadi-jadilah Jadi MB", "Orang Mude Tak Mahu",yang dipasang di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu.‘Terengganu Kaya Rakyat Miskin’

Sumber Umno bahagian Setiu memaklumkan, Dato' Seri Ahmad diterima menjawat jawatan MB Terengganu bagi penggal kedua ini hanyalah bagi tempoh satu tahun sahaja sebagaimana janjinya.

Sehubungan itu, Kerabat Diraja Terengganu, Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah turut menyuarakan pandangan rakyat bawahan mengenai jawatan Menteri Besar Terengganu.

Katanya, rakyat Terengganu berkehendakkan seorang Menteri Besar yang baharu agar dapat mentadbir negeri dengan lebih matang. "Negeri Terengganu ini berkehendakkan seorang Menteri Besar yang baharu, yang dapat memberi nafas dan cara pentadbiran yang lebih matang untuk membangunkan negeri ini.

"Kita tidak mahu lagi mendengar panggilan 'Terengganu Kaya Rakyat Miskin' kerana salah urus pentadbiran negeri meski pun mempunyai hasil minyak dan gas yang banyak,” ujarnya kepada Harakah.

Beliau turut membidas pentadbiran kerajaan Umno-BN Terengganu sebelum ini kerana disifatkannya gagal mengurus wang hasil minyak atau royalti.Sepatutnya, kata Tengku Sri Paduka Raja, dengan pendapatan wang royalti minyak yang begitu lumayan pada setiap tahun dibelanjakan untuk rakyat miskin.

"Wang royalti minyak seharusnya dibelanjakan untuk rakyat miskin, yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang."Para nelayan, petani, penoreh getah dan mereka yang bekerja di kampung-kampung dan luar bandar masih perlu kepada pembelaan kerajaan negeri. Kerajaan seharusnya menggunakan wang royalti minyak kepada projek-projek yang akan menaikkan taraf hidup rakyat," jelasnya.

Beliau turut menasihati kerajaan negeri agar menggunakan hasil dari wang royalti minyak tersebut untuk rakyat sepenuhnya. Dianggarkan, sejumlah RM15.8 bilion wang royalti Terengganu telah disalurkan di bawah program Dana Khas kerajaan Persekutuan sejak ‘dirampas’ dari kerajaan PAS Terengganu pada tahun 2000.

Sebelum itu, hasil dari perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri pada 22 Mac 1975 (payment undur section 4, Petroleum Development Act, 1974) kerajaan negeri Terengganu telah menerima bayaran selama 22 tahun berjumlah RM7.2 bilion sehingga bayaran dihentikan pada September 2000.

Lebih malang lagi, kerajaan Umno-BN Terengganu di bawah kepimpinan Ahmad Said telah menarik-balik saman kerajaan negeri terhadap pihak Petronas dan kerajaan Persekutuan kerana melanggar perjanjian tersebut.

Ini bermakna, kerajaan dan rakyat Terengganu telah kehilangan sumber royalti petroleum buat selama-lamanya dan hanya bergantung harap kepada pemberian ‘wang ihsan’ dari kerajaan pusat.

No comments:

Post a Comment