Monday, April 15, 2013

TH sewa 11 bangunan untuk musim haji 2013


 
Lembaga Tabung Haji (TH) menyewa 11 bangunan di sekitar Kota Mekah untuk menampung keperluan penginapan kira-kira 28,000 jemaah haji Malaysia pada musim haji Sept/Okt nanti, dengan semua penempatan terletak dalam jarak tidak lebih daripada 1km dari Masjidil Haram.
Pengerusinya Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor berkata usaha mendapatkan lokasi semua bangunan dalam lingkungan jarak itu sememangnya amat mencabar, namun usaha gigih petugas TH dengan kerjasama baik pihak Arab Saudi membolehkan ia menjadi kenyataan.

Katanya TH perlu mencari beberapa bangunan baharu pada musim haji ini kerana ada bangunan-bangunan yang pernah disewa pada musim haji lepas telah dirobohkan pihak berkuasa Arab Saudi untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembangunan projek perluasan ruang Masjidil Haram dan Kota Mekah.

Dalam satu persidangan media di Mekah beliau berkata, TH sememangnya berhasrat untuk mencari bangunan-bangunan besar yang boleh memuatkan lebih ramai jemaah haji di satu tempat bagi memudahkan aspek pengurusan jemaah dan juga petugas, namun ia bergantung kepada penawaran.

Abi Musa berada di Mekah untuk lawatan kerja bagi meninjau perkembangan operasi TH buat musim ini, dan Rabu lepas beliau mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Haji Arab Saudi untuk membincangkan persediaannya.

Beliau berkata pelaksanaan projek perluasan ruang sekitar Masjidil Haram dan kawasan sekelilingnya yang pesat ketika ini mungkin akan memberi kesan terhadap keselesaan jemaah haji dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia, dan semua jemaah diminta faham dengan keadaan itu.

Menurutnya Arab Saudi turut mengarahkan supaya semua kerja-kerja pembinaan itu dihentikan selama empat bulan mulai Ramadan nanti, untuk memberi laluan kepada urusan ibadat haji demi keselesaan jemaah, dan semua pihak harus faham bahawa apa yang dilakukan kerajaan Arab Saudi adalah untuk keselesaan jemaah haji pada masa akan datang.

Projek perluasan Masjidil Haram dilancarkan Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz pada Ogos 2011 yang membabitkan kos kira-kira SR80 bilion (Saudi Riyal), projek perluasan yang terbesar dalam sejarah tempat suci itu.

Abi Musa berkata Malaysia sama seperti negara-negara Islam yang lain setiap tahun, memohon supaya kuota haji dinaikkan, namun kerajaan Arab Saudi perlu bertegas mengenai perkara itu, kerana mengambil kira banyak aspek, termasuk soal keselesaan dan keselamatan jemaah haji, di samping kemampuan pengurusannya dalam mengurus jumlah jemaah yang ramai.

Kerajaan Arab Saudi ketika ini menetapkan kuota hanya satu peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara yang dibenarkan untuk mengerjakan ibadah haji setiap tahun, yang menyaksikan kira-kira 28,000 jemaah haji dari Malaysia menunaikan ibadah itu tahun lepas, dengan jumlah jemaah dari seluruh dunia yang mengerjakan haji pada tahun itu menjangkau hampir empat juta.

Sementara itu, Abi Musa menasihatkan para jemaah yang ingin mengerjakan haji supaya hanya berurusan dengan agensi-agensi yang diberi lesen oleh TH bagi mengelak daripada ditipu agensi-agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya perkara ini dibangkitkan beliau kerana setiap tahun ada sahaja kes-kes membabitkan jemaah yang tertipu, sedangkan menurutnya senarai agensi yang berlesen untuk urusan pakej haji boleh didapati dari laman web TH, di samping sudah diiklankan di akhbar-akhbar untuk kemudahan orang ramai memeriksanya.

Beliau berkata tahun ini TH memberi lesen kepada 20 agensi untuk menguruskan pakej-pakej haji, dan TH sentiasa memantau prestasi mereka bagi memastikan mereka memberikan perkhidmatan terbaik sebagaimana yang dijanjikan.

Abi Musa seterusnya meminta agar para jemaah haji membuat persiapan secukupnya dan persediaan lebih rapi tahun ini kerana menurutnya musim haji pada tahun ini dan juga beberapa tahun akan datang, berada dalam waktu keadaan cuaca amat panas di Arab Saudi.

- Bernama

No comments:

Post a Comment