Friday, April 19, 2013

40% calon muda galas cabaran PAS Terengganu





Khairul Azlam Mohamad,


MARANG: PAS Terengganu mengemukakan 40 peratus dari calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, terdiri di kalangan orang muda serta muka baru.

Calon-calon muda tersebut bakal menggalas tugas dan cabaran sebagai pimpinan pelapis masa depan parti yang akan membawa negeri ini ke arah menepati tema “Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan”.

Pada PRU13 ini, PAS Terengganu akan bertanding sebanyak tujuh kerusi parlimen dan 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu dan selebihnya ‘diamanahkan’ kepada sekutu Pakatan Rakyat dari Parti KeADILan Rakyat (PKR) iaitu satu parlimen (Kemaman) dan tiga kerusi Dun.

Kesemua calon-calon tersebut telah diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Calon Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 di Dewan Tok Guru, Rusila, malam tadi.

PAS Terengganu turut mengekalkan semua wakil-wakil rakyat di peringkat Dun yang menang pada PRU12 lalu iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Rhu Rendang, Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam), Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang), Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Batu Burok), Ustaz Mohd Nor Hamzah (Bukit Payong) dan Dr Alias Razak (Bukit Tunggal).

Antara calon baru ialah di kerusi P33 Besut yang akan ditandingi oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Riduan Mohd Nor, manakala calon Muslimat PAS diletakkan di N1 Kuala Besut, Ustazah Nafisah Ismail. N2 Kota Putra, Ustaz Adam Mat Said, calon N3 Jertih bakal ditandingi oleh Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad dan N4 Hulu Besut, Shalahhudin Jaafar.

Calon P34 Setiu pula ialah Omar Sidek. PAS Setiu meletakkan calon seorang doktor di N5 Jabi iaitu Dr Azman Ibrahim, bekas penghulu Hassan Karim (N7 Langkap) dan Che Ghani Ambak (N8 Batu Rakit).

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diketengahkan sebagai calon P35 Kuala Nerus. Calon N9 adalah tokoh muda berkarisma Ustaz Hisyamuddin Abdul Karim, N10 Teluk Pasu diwakili oleh Ustaz Ridhuan Hashim yang juga Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus, calon N11 Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang.

Calon P36 Kuala Terengganu telah diumumkan oleh presiden parti sebelum ini iaitu Kerabat Diraja Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang juga seorang arkitek.

PAS Terengganu mengekalkan tiga penyandang bagi kerusi N13 Wakaf Mempelam kepada Mohd Abdul Wahid Endut selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (N15 Ladang) dan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi bagi N16 Batu Burok.

Sementara itu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan mempertahankan kerusi P37 Marang dan N19 Rhu Rendang, N18 Bukit Payong kepada penyandangnya, Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah sementara N17 Alor Limbat pula ditandingi muka baru yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS negeri, Ustaz Arifin Deraman. N20 Pengkalan Berangan dengan calon muda Ustaz Sulaiman Sulong.

Parlimen Hulu Terengganu (P38) akan ditandingi oleh Naib Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah, N22 Manir menampilkan calon muda iaitu Ustaz Hilmi Harun bagi menggantikan penyandangnya Datuk Harun Taib yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Calon N23 Kuala Berang diwakili Haji Muhyidin Abdul Rashid (Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu) dan N24 Ajil juga calon muda Ustaz Ahmad Razki Alias.

Penyandang kerusi Dun Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli diamanahkan bertanding di kerusi P39 Dungun. Calon bagi N25 Bukit Besi, PAS menampilkan Roslan Ismail, N26 Rantau Abang turut meletakkan muka baru Alias Harun, N27 Sura pula calon baru Wan Hapandi Wan Nik dan N28 Paka, Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu.

Bagi P40 Kemaman akan ditandingi oleh wakil PKR Terengganu. Manakala, bagi calon N29 Kemasek akan diwakili oleh Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Kemasek, Ustaz Alias Abdul Hamid. N31 Chukai kepada Hanafiah Mat @ Ramli dan N23 Air Putih, Abdul Razak Ibrahim.

Pengumuman calon-calon PAS tersebut dibuat di hadapan ribuan ahli dan penyokong PAS Terengganu dan hadir sama pada majlis berkenaan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran GK.

Sebelum itu, solat hajat turut diadakan di Masjid Rusila sebagai persiapan parti menghadapi pilihan raya kali ini yang disifatkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah ‘ibu’ pilihan raya.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga telah mengumumkan PAS akan bertanding 76 kerusi Parlimen dan 237 kerusi Dun di seluruh negara pada PRU13 ini.

Pada PRU12 lalu, PAS Terengganu berjaya menguasai lapan kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen sebelum menambah satu lagi kerusi pada Pilihan Raya Kecil 2009 melalui calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut.

Sumber harakahdaily

No comments:

Post a Comment