Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman mengumumkan Badrul Hisham Shahrin sebagai calon parti itu bagi kerusi DUN Sungai Aceh dalam pilihan raya umum akan datang.

NONELebih dikenali sebagai Chegu Bard, beliau adalah pengerusi NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Sudah menjadi rahsia umum bahawa PAS dan PKR berebut kerusi luar bandar majoriti Melayu itu yang terletak dalam kawasan pilihan raya Nibong Tebal sejak beberapa bulan yang lalu.

Malah terdapat spekulasi bahawa penyandang Ahli Parlimen PAS Parit Buntar, Mujahd Rawa Yusuff akan diletak bertanding di situ.

Bagaimanapun, Mansor berkata PAS dan PKR Pulau Pinang telah menyelesaikan rundingan untuk kerusi Sungai Acheh dengan merestui calon PKR bertanding di situ.

"Kami percaya Chegu Bard akan membawa kemenangan kepada Pakatan dan perubahan kepada kawasan Sungai Acheh," katanya.

Chegu Bard kalah tipis ketika bertanding menentang Khairy Jamaluddin di Rembau dalam pilihan raya 2008.

Faiz Musa tentang PM di Pekan


Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa sebagai calon parti itu bagi kerusi Parlimen Pekan, yang disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, lapor Bernama.
  
NONEFariz, bekas guru berusia 43 tahun berasal dari Marang, Terengganu.
  
Beliau juga dilantik sebagai Penyelaras Pilihan Raya PKR Parlimen Pekan.
  
Anwar turut mengumumkan Ketua Cabang PKR Kuala Lipis, Zakaria Abdul Hamid, 48, seorang jurutera, akan bertanding di Parlimen Bera.
  
Di majlis pengumuman calon di sebuah hotel di Kuantan, Anwar menegaskan semua calon yang diumumkan itu perlu disokong sepenuhnya ahli-ahli parti berkenaan dan jika ada yang bertindak menjadi calon Bebas, mereka akan dipecat daripada parti.


Sumber malaysiakini