Tuesday, April 9, 2013

Kad diskaun 1Malaysia diperluaskan kepada pesara kerajaan

Najib melancarkan kad diskaun ‘1Malaysia Privilege’ khusus buat 241,000 anggota dan pegawai kedua-dua pasukan itu pada Ogos tahun lalu. - Gambar fail
PUTRAJAYA, 9 April — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kira-kira 700,000 golongan pesara kerajaan di negara ini bakal menikmati potongan harga di pelbagai syarikat terpilih.
Beliau berkata kad diskaun ‘1Malaysia Privilege’ yang sebelum ini diberikan kepada anggota tentera dan polis, akan dipanjangkan kepada para pesara kerajaan bagi menghargai sumbangan mereka.
“Kad diskaun kepada pesara kerajaan boleh digunakan tidak kira di Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Kedai Kain 1Malaysia,” katanya pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama pesara-pesara kerajaan di sini semalam.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohamad Zabidi Zainal, Presiden Perbadanan Putrajaya yang juga Presiden Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Tan Sri Aseh Che Mat.
Lebih 3,000 pesara kerajaan hadir pada majlis itu.
Pada Ogos tahun lalu, Najib melancarkan kad diskaun ‘1Malaysia Privilege’ khusus buat 241,000 anggota dan pegawai kedua-dua pasukan itu bagi meringankan beban mereka.
Inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 6 (NBOS 6) itu membolehkan pemegang kad berkenaan mendapat diskaun antara lima dan 25 peratus daripada harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kira-kira 20 syarikat yang mengambil bahagian.
Sementara itu, Ali ketika ditemui pemberita berkata para pesara kerajaan bakal menikmati potongan harga tersebut dalam tempoh dua minggu ini.
Beliau berkata inisiatif ini di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan dan ia tidak melibatkan sebarang kos serta dasar baharu.
“Ia boleh dilaksanakan segera kerana kumpulan lain (polis dan tentera) menikmatinya. Jadi, kita hanya tambah golongan pesara (ke dalam senarai).
“Pada masa ini, mereka hanya mendapat diskaun untuk pengangkutan awam.
“Dalam urusniaga runcit, mereka akan menikmati diskaun. Ada senarai panjang syarikat (yang terpilih). Mereka (pesara) boleh guna kad pesara dan menikmati diskaun di outlet runcit,” katanya. – Bernama

Sumber themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment