Thursday, April 4, 2013

PRU13 boleh diadakan selewat-lewatnya 28 Mei, kata pengerusi SPR

KUALA LUMPUR, 4 April — Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) boleh diadakan selewat-lewatnya 28 Mei berikutan pembubaran Dewan Rakyat semalam, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar).
Beliau berkata tarikh itu juga mengambil kira pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 28 Mac lepas.
“Kalau kira mulai 3 April semalam, (tempoh 60 hari) akan habis 3 Jun, jadi ia sudah terlepas (tarikh pembubaran DUN) Negeri Sembilan. Maka perlu adakan (PRU13) selewat-lewatnya 28 Mei,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Soal Jawab terbitan TV3 yang dihoskan oleh Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib, malam tadi.
Ditanya mengenai bayangan tarikh penamaan calon dan pengundian, Abdul Aziz berkata: “Ada bayang-bayangnya tetapi tidak sesuai saya sebutkan di sini kerana perlu dibincangkan dengan panel-panel (SPR) yang lain.” — Bernama
Abdul Aziz berkata banyak faktor yang perlu dipertimbangkan termasuk peristiwa keagamaan, keadaan cuaca dan penganjuran acara-acara besar dalam memilih tarikh pilihan raya.
“Cuti sekolah bukan jadi pertimbangan kita. Bila anggota panel SPR bermesyuarat, semua akan kemuka pendapat dan kita akan ambil keputusan sebulat suara,” katanya.
Beliau juga menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa PRU13 itu akan menjadi pilihan raya “terburuk” dalam sejarah negara, kononnya berlaku penipuan oleh pihak SPR dan parti-parti politik.
“Saya langsung tak percaya PRU13 ini adalah yang terburuk. Sekiranya semua pihak termasuk parti politik, calon-calon parti, calon Bebas, pemerhati dan badan bukan kerajaan (NGO) beri kerjasama dengan SPR, saya percaya PRU13 akan berjalan dengan baik, aman dan teratur,” katanya.
Abdul Aziz menarik perhatian SPR memperkenalkan 19 pembaharuan dalam proses pilihan raya kali ini termasuk undi awal, dakwat kekal dan pembersihan berterusan Daftar Pemilih.
“SPR hanya sediakan gelanggang, tempat bertanding dan sediakan alat-alat (untuk mengundi). Yang tentukan menang atau kalah calon pilihan raya adalah pengundi,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment