Tuesday, January 22, 2013

Wanita Tendang Penyamun Sampai Tergolek

  
MELAKA: Seorang wanita nekad melawan empat penjenayah yang merompak kedai serbaneka milik suaminya dengan menumbuk dan menendang seorang daripada mereka dalam kejadian di Jalan Kampung Pantai, Kampung Hulu, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian 8.45 malam, tindakan pantas mangsa, Sally Lee, 31, yang menutup laci di kaunter ketika seorang lagi penjenayah cuba mengambil duit dan dua kamera miliknya turut mengakibatkan tangan lelaki itu cedera akibat tersepit.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa kerugian RM4,000 apabila komputer riba, cakera keras luaran (external hard disk), beg mengandungi RM600 dan dua kamera miliknya dilarikan penjenayah berkenaan.

Sally berkata, ketika kejadian dia berseorangan di selepas suaminya, Ben Kong, 30, menghantar barangan tidak jauh dari situ.

“Datang lelaki memakai topi keledar dan jaket hitam membeli air mineral, selepas saya memberi baki RM1, tiba-tiba datang tiga lelaki berpakaian sama.
"Seorang daripadanya mengatakan mahu melihat pemandangan sungai di belakang kedai dan dua lagi berada di depan kaunter," katanya.
Menurutnya, dia yang curiga dengan tindakan empat lelaki itu terkejut apabila dua daripada mereka masuk ke dalam kaunter.
Katanya, seorang daripada lelaki itu mengacukan pisau di lehernya dan memberi amaran supaya senyap.
"Terkejut dengan keadaan itu, saya memulas tangannya sebelum menumbuk perut dan menendangnya sehingga dia dan seorang lagi rakannya jatuh.
"Ketika saya bergelut, dua lagi rakan lelaki itu mengambil komputer riba dan cuba mengambil beg berisi duit serta kamera di dalam laci.
"Saya yang sedar tindakan mereka segera menolak laci dengan kuat sehingga penjenayah itu cedera di tangan kerana tersepit," katanya.
Menurutnya lagi, terkejut dengan tindakan nekadnya, empat penjenayah itu melarikan diri menaiki dua motosikal.
"Saya menjerit meminta tolong dan kebetulan seorang pelancong yang lalu di kaki lima kedai ini turut dirempuh penjenayah itu ketika melarikan diri.
"Biarpun beberapa barangan berharga dilarikan penjenayah, saya bernasib baik tiada kejadian lebih buruk berlaku," katanya.
Sementara itu, Ben berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa isterinya selepas dimaklumkan orang ramai.
"Ketika kejadian saya baru keluar menghantar barang di kedai berhampiran dan terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.
"Seorang pelanggan tetap kedai kami yang nyaris dilanggar motosikal ditunggang penjenayah itu ketika melarikan diri sempat mengambil nombor pendaftarannya sebelum menghubungi polis," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman, mengesahkan kejadian dan katanya kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
- Harian Metro

No comments:

Post a Comment