Friday, January 11, 2013

Bertam: 3 memo diserah tuntut penjelasan Petronas






Muhammad Faizal,
KUALA LUMPUR: NGO Gabungan Tuntutan Hak dan Kedaulatan Bertam atau 'R' Terengganu hari ini menyerahkan memorandum kepada Petronas menuntut satu penjelasam berhubung status hak milik ke atas penemuan kawasan minyak di medan Bertam PM 307.

Memorandum yang ditujukan kepada Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan tersebut diserahkan kepada wakilnya di Ibu Pejabat Petronas di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) sejurus solat Jumaat di Masjid As-Syakirin.

Tiga memorandum diserahkan masing-masing mewakili NGO 'Bertam Hok Ganukite', Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dan R Kelantan.

Penyerahan itu diketuai Pengerusi 'Bertam Hok Ganukite' Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Bekas Exco Terengganu Datuk Abu Bakar Chik dan Pengerusi Mampat Mohd Fauzi Abu Samah.

Turut serta Pengerusi Jawatan Kuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan Datuk Husam Musa, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof dan Presiden R Nazri Deraman.

Hampir 200 orang turut menyertai himpunan itu termasuk dari NGO 'R' Kelantan.

Mereka melaungkan 'pertahan kedaulatan kita', 'Bertam PM307', 'Najib jangan rampas medan Bertam' sepanjang perarakan ke KLCC yang menempatkan pejabat Petronas itu.

Pada sidang media sebelum itu Syed Azman berkata, tuntutan hari ini adalah berdasarkan kenyataan Menteri Besar Terengganu sewaktu persidangan Dewan Undangan Negeri pada Disember tahun lalu.

Katanya, Datuk Seri Ahmad Said telah mengesahkan kawasan minyak Bertam tersebut adalah berada di kawasan perairan Terengganu.

"Berpandukan kepada kenyataan yang telah diberikan sebelum ini kita ingin menuntut serta mendapat pengesahan dari pihak Petronas mengenai Blok PM 307 Bertam ini yang terletak di luar pantai semenanjung antara Terengganu dan Pahang.

"Malah kerajaan negeri juga telah menulis surat kepada Petronas mengenai status penemuai itu, namu sehingga kini belum diberikan jawapannya, jadi sekarang kita tuntut penjelasan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bahawa Pahang dijangka menerima royalti sekitar RM100 juta setahun dari blok Bertam, bergantung kepada anggaran pengeluaran apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

"Kita berharap Mohd Sidek akan memberi jawapan yang seadil-adilnya di atas persoalan Bertam ini yang menjadi hak dan kedaulatan negeri Terengganu," katanya Syed Azman.

Sumber harakahdaily

No comments:

Post a Comment