Saturday, January 26, 2013

Henti provokasi agama, pelihara kerukunan hidup

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa agar semua pihak menghentikan provokasi agama serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menegangkan suasana demi memelihara kerukunan hidup antara agama di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, mengungkit isu agama yang diketahui akan menyentuh sensitiviti penganut agama masing-masing sangat merbahaya dan tidak bertanggungjawab.

“Kami kesal terhadap pemimpin politik yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, katanya Mapim menegaskan pihak pemimpin agama harus menghormati kedudukan Islam di negara ini terutama soal menarik orang Islam kepada agama lain yang dilarang dalam undang-undang Persekutuan.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin agama perlu mengambil berat mengenai sensitiviti yang sangat tinggi di kalangan orang Islam terutama dalam isu murtad dan apa sahaja yang dilakukan oleh penyebar agama lain yang boleh menyebabkan orang Islam murtad.

“Negara ini tidak boleh dihadapkan dengan konflik sivil yang akan menghancur segala asas keharmonian antara agama dan ras yang sudah dipupuk sekian lama.

“Semua pihak perlu memberi perhatian yang mendalam terhadap situasi kehidupan yang sangat sensitif di negara ini jika isu agama dibangkitkan dengan cara yang tidak hikmah,” tegasnya.

Tambahnya, terlalu ghairah bermain dengan sentimen agama yang mudah menimbulkan kemarahan antara penganut adalah satu kesilapan besar yang akan mengakibatkan ketegangan yang sukar dikawal.

Beliau berkata, beberapa insiden tidak lama dahulu di ibu negara dan Pulau Pinang membuktikan bahawa isu agama boleh menimbulkan ketegangan jika tidak dibendung segera.

“Kami juga menuntut agar pihak media lebih bertanggungjawab bila mengangkat Isu agama untuk tatapan masyarakat awam,” ujarnya.

Tambahnya lagi, jika ia tidak dikendalikan dengan bijak media boleh membawa kesan yang negatif kepada persepsi antara penganut agama.

No comments:

Post a Comment