Wednesday, January 16, 2013

RCI diberitahu 100,000 kad pengenalan diberikan kepada pendatang pada 1993

Seorang kanak-kanak membawa bot berhampiran penempatan pendatang di Sabah. — Gambar fail.
KOTA KINABALU, 16 Jan — Kira-kira 100,000 kad pengenalan biru diberi kepada pendatang Sabah pada tahun 1993, kata bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) mengenai pendatang haram hari ini. Penolong pendaftar JPN Sabah Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil berkata hari ini beliau menerima RM80,000 daripada Pengarah JPN Sabah pada ketika itu Ramli Kamarudin untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang Filipina, Indonesia dan Pakistan di Sabah.
"Ketua jabatan saya kata terdapat surat dari ketua menteri (Sabah), Tan Sri Harris Salleh. Ketua jabatan saya mengarahkan saya untuk memberi kad pengenalan kepada orang yang memohon di kaunter," Kee Dzulkifly memberitahu RCI di sini hari ini.
Kee Dzulkifly berkata, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 1995 hingga 1999.
Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui "Projek IC", di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.
Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke1985, menafikan kewujudan "Projek IC" semalam.
Dzulkifly juga memberitahu lebih 100,000 surat beranak dikeluarkan bagi pendatang pada awal tahun 1990an. Ramli memberitahu sebelum itu bahawa arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang merupakan timbalan menteri dalam negeri telah mengarahkannya untuk mengeluarkan resit JPN bagi membenarkan pendatang haram mengundi dalam pilihan raya negeri Sabah pada tahun 1994.
Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi dewan undangan negeri pada pilihan raya 1994.
Akan tetapi tidak lama selepas itu beberapa ahli dewan undangan negeri PBS menyertai Barisan Nasional (BN) menyebabkan kerajaan PBS jatuh.
Akop Damsah, yang ketika itu ketua pejabat JPN Tamparuli di Sabah, memberi keterangan hari ini beliau telah menandatangani ratusan ribu kad pengenalan untuk pendatang di Sabah pada awal tahun 1990an.
Akop menambah beliau dan beberapa pegawai JPN lain telah dihantar ke Kuala Lumpur untuk menandatangani kad pengenalan untuk pendatang yang kebanyakannya warga Filipina dan Indonesia di Sabah, tetapi tidak menyatakan secara spesifiknya bila.
"Kami telah diletakkan di rumah (Tan Sri) Aziz Shamsuddin," katanya, merujuk kepada setiausaha politik Dr Mahathir pada ketika itu.
Ditanya mengapa kad pengenalan ditandatangani, Akop berkata: "Mereka memberi taklimat kepada kita matlamat adalah untuk meningkatkan pengundi Islam di Sabah dan untuk menggulingkan PBS."
"(Kad pengenalan telah dikeluarkan) untuk mengundi Umno dalam pilihan raya," katanya.
Akop berkata, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1996.
Beliau menambah dirinya mengetahui tindakannya adalah haram.
"Secara lisan, terdapat jaminan kita akan dilindungi pada masa itu. Dilindungi dari undang-undang," katanya.
Terdapat 28 peratus orang asing daripada populasi 3.2 juta, berjumlah 889,000 berdasarkan daripada bancian 2010.
Inkuiri dihadapan pengerusi RCI Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersambung esok.


No comments:

Post a Comment