Wednesday, January 2, 2013

Allah saja tahu bila kiamat

Subky Latif,
MAHA Suci dan Maha Mengetahui Allah bila kiamat akan berlaku. Maka ramalan manusia yang banyak dibincangkan di seluruh dunia terutama di barat kiamat itu akan berlaku pada 21 Disember lalu telah tidak berlaku.

Masih sempat dunia kita masuk ke tahun 2013. Renncana ini saya tulis pada pagi terakhir tahun 2012, sepuluh hari selepas tarikh yang dikatakan berlaku kiamat. Esok kita berada di tahun baru 2013  dan wajar bersyukur kerana dunia belum lagi dikiamatkan.

Betapa kiamat itu  tidak berlaku pada 21 Disember lalu bukan sekadar suatu tanda tidak mengetahuinya sekalian makhluk hari yang dirahsiakan Allah bila ia berlaku tetapi adalah tanda kebesaran Allah bahawa Dia saja yang tahu bila akan berlaku.

Nabi Muhammad SAW, sebagai kekasih Allah yang amat mulia hanya dapat memberikan tanda-tanda hari kiamat itu sudah dekat, tetapi tetap mengatakan bahawa Allah saja yang tahu ketika yang sebenarnya.

Jibril sebagai penghulu sekalian malaikat yang setiap masa berhubung dengan Allah pun tidak diberitahu Allah tarikh itu. Bahkan malaikat Israfil yang diwujudkan untuk meniup angin sangka kala bagi memulakan program kiamat itu juga tidak tahu. Ia hanya bersedia dan menunggu sejak diwujudkan untuk melakukan tugas menamatkan alam dunia ini. Ia hanya mengetahui pada saat terakhir.

Jika hamba Allah yang paling mulia itu sendiri tidak mengetahuinya, maka apa lagi manusia biasa amat jauh  dia  dari mengetahui akan kiamat yang  sudah terlalu dekat itu.

Baginda SAW hanya dapat memberitahu waktu itu sudah dekat, tandanya adalah dengan kelahiran baginda sendiri. Sekalipun sudah dekat, entah esok, entah lusa tetapi ia tidaklah sedekat yang kita sangka dan tidak pula selama yang kita  sangka. Sesudah 15 abad baginda dilahirkan belum lagi dunia ini kiamat, tetapi kita pula boleh mengagaknya dunia akan sempat bertahan 15 abad lagi.

Mungkin tidak sampai selama itu dan mungkin juga melalui tempoh itu. Kita tahu  akan tanda-tanda yang Rasulullah SAW  bagitahu betapa ia sudah tidak terlalu jauh dan supaya kita beriman ia tetap akan berlaku dan supaya kita sentiasa bersedia  dengan bekalan yang secukupnya bagi menghadapi permulaan kiamat itu.

Apabila ada manusia hendak mengambil tempat Allah bahawa dia tahu dunia ini  akan kiamat pada 21 Disember lalu, bukan sekadar ia karut, tetapi ialah Allah hendak membuktikan bahawa manusia itu tidak mengetahui  sedikitkan pun tentang waktu yang sebenarnya.

Bila ia dikatakan akan berlaku pada 21 Disember 2012, maka pada 21 Disember lalu tidak ada apa-apa yang berlaku. Kita sempat melihat dunia hingga masuk ke tahun 2013. Dengan sendirinya Allah hendak memberitahu manusia seluruhnya betapa orang yang membuat ramalan itu tidak tahu apa-apa bukan  saja tentang tarikh kiamat tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang bakal terjadi pada dirinya selepas dia membuat ramalan dan dia menyaksikan ramalannya tidak betul.

Dengan kejadian itu, pada saat kepesatan penyebaran maklumat melalui alam maya, Allah hendak mengingatkan lagi betapa yang tahu tentang masa depan segala sesuatu hanya Allah dan pengetahuan manusia itu adalah sangat sedikit.

Ketika manusia leka dan lupa tentang hari kiamat, malah ramai yang tidak percaya kiamat  akan berlaku, ada pula antara yang  tidak beriman itu meramalkan kiamat akan terjadi pada 21 Disember itu. Maka itu menyebabkan manusia ingat semula tentang kiamat termasuk yang  tidak percaya ikut membincangkan hal itu.

Bagi orang yang beriman, dengan ramalan itu dapat mengingatkan lagi mereka tentang kiamat yang sudah dekat tetapi mereka tetap tidak percaya ada manusia yang tahu bila. Ilmu itu tidak Allah beritahu kepada manusia, malaikat dan jin. Hanya Allah mengetahui bila.

Sumber harakahdaily

No comments:

Post a Comment