death railway

Kementerian Kewangan berkata dakwaan kononnya kerajaan menerima pampasan RM207 bilion dari kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada rakyat Malaysia yang menderita selepas terlibat sebagai buruh paksa dalam pembinaan kereta api Siam ke Burma semasa Perang Dunia Kedua, adalah palsu.
  
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, dakwaan itu yang dikatakan berpunca daripada memo yang dikeluarkan kementerian bertarikh 29 Mac 2011 adalah palsu.

"Memo tersebut telah dipalsukan dan satu laporan polis telah dibuat pada 26 September tahun lepas. kes ini sedang disiasat polis," kata kenyataan itu.

Penjelasan Kementerian Kewangan terpaksa dibuat selepas laman-laman blog pembangkang mendakwa wujudnya pembayaran RM207 bilion dari Jepun tetapi wang tersebut kononnya telah dilesapkan.
  
Akibat fitnah tersebut, Kedutaan Jepun telah menulis surat kepada
Kementerian Kewangan pada 9 Jan lepas untuk mendapatkan penjelasan disebabkan kerajaan Jepun tidak pernah membayar pampasan RM207 bilion itu.
  
Ini menunjukkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin
memburuk-burukkan dan menjatuhkan imej dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan Kementerian Kewangan.
  
- Bernama