Friday, January 18, 2013

Cuepacs Harap Cadangan Kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan Dilaksana

Datuk Omar Osman
MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap cadangan kenaikan imbuhan tetap perumahan (ITP) penjawat awam dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat berikutan lonjakan harga dan sewa rumah.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata ITP penjawat awam bagi gred 1 hingga 40 sebanyak RM180 tidak lagi relevan, ketika ini.

"Imbuhan tetap perumahan ini dah lama tidak disemak, hari ini kita (Cuepacs)pergi mana-mana memang ia menjadi rintihan utama kerana tidak ada lagi sewa rumah berharga RM180," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia (Kesatria) di Kem Terendak di sini, Khamis.

Beliau berkata Cuepacs telah membuat permohonan mengenai perkara itu sejak lima tahun lepas dengan mencadangkan imbuhan tetap perumahan diselaraskan kepada RM450.
Katanya jumlah tersebut juga sebenarnya tidak mencukupi namun ia boleh disifatkan sebagai subsidi oleh kerajaan dalam meringankan beban penjawat awam.

Dalam pada itu, Omar turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan penjawat awam daripada 4 peratus kepada 1 peratus.Katanya peningkatan harga rumah menyebabkan ramai penjawat awam tidak mampu memiliki rumah.

"Kalau kos rumah PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) berharga RM300,000 ke bawah, kadar faedah 4 peratus itu tinggi jika kumpulan pelaksana ini nak membuat pinjaman," katanya. - BERNAMA


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment