Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua dan kita menerima kedatangan tahun baru ini dengan bermacam ‘expectations’ dan semuanya untuk kebaikan mengikut kemahuan diri sendiri. Selebihnya kita mengharapkan kita hidup dalam negara yang bersih dan aman sentosa.
Kita
juga memohon dari yang Maha Pencipta agar kita digerakkanNya untuk
menjadi seorang yang sentiasa melaksanakan tuntutanNya sebagai insan
yang secantik-cantik kejadianNya.
2012 merupakan tahun yang penuh dengan peristiwa dan kita ternampak
dengan terang dan nyata yang rakyat negara kita semuanya sedang dalam
pencarian. Dalam politik pula keadaan boleh lah dianggap sebagai keadaan
yang sangat ‘menggila’ dan penuh dengan kekeliruan seolah-olah tiada
lagi peluang untuk kita mencari jalan yang sebenarnya.
Rakyat seolah-olah sedang mencari jalan keluar untuk mendapatkan
kehidupan yang lebih baik setelah terikat dan tertambat oleh sistem
politik dan pentadbiran yang bercelaru yang tidak dapat di cari puncanya
bagi melerai kekusutan politik itu sendiri. Tetapi sebagai seorang yang
beragama dan mempunyai Tuhan kita mesti jangan lupa yang segala-gala
kekusutan itu akan akhirnya terlerai dan ia bergantung kepada kehendak
Tuhan jua akhirnya.
Perang mulut dalam politik sudah membawa kepada perang secara fizikal
dan tidak kurang berlakunya kekecohan yang menyebabkan beberapa
kecederaan penyokong parti politik. Keadaaan seolah-olah begitu gelap
gelita untuk masa depan kita semua kerana semuanya sudah tidak menjadi
tenang lagi seperti yang kita semua kehendaki. Tetapi kita juga mesti
ingat apabila sudah sebegini kelam kabut keadaan siasah kita, mesti kita
yakin yang pencarian selama ini akan mendapat kejayaannya.
Ada perbilangan berkata, ‘the darker the night, the nearer we are to
the dawn’. Perbilangan ini memberikan kita keyakinan yang lagi gelap
malam itu, ia bermakna ia sudah hampir kepada fajar yang akan menerangi
kita semua. Sememangnya begitu, sebelum subuh mendatang kita akan
melalui keadaan yang sangat gelap tetapi kegelapan itu akan diikuti
dengan keadaan terang selepas itu.
Ke mana kita akan digerakkan Tuhan kita tidak dapat menentukannya
kerana itu hanya kuasaNya sahaja yang akan melakukan penentuan itu.
Tetapi jika kita kisarkan pemikiran kita dengan kuat dan ‘intensive’
sedikit sebanyak secara zahiriahnya kita boleh menelah apa yang akan
berlaku mengikut kemampuan kita berfikir dan bertindak. Tuhan juga akan
memberikan kejayaan kepada pihak dan sesiapa yang berusaha.
Kita tidak dapat ‘menyelami air di dalam tunggak’ kerana ramai di
antara kita hanyalah manusia biasa yang bukannya sampai ke makam yang
tinggi untuk melihat apa yang akan berlaku di masa hadapan. Kita tidak
tahu apa yang tersirat sepenuhnya. Sebagai manusia yang percayakan
adanya Tuhan penentu segala-galanya apa yang perlu kita lakukan selain
dari kerja tubuh (usaha) yang mampu kita lakukan, kita wajar berdoa dan
bermunajat untuk menjolok rahmat Tuhan yang Maha Esa itu.
Samada doa kita dimakbul atau tidak itu bukannya hak kita untuk
menentukannya. Tuhan tidak menjanjikan semua doa kita akan termakbul
tetapi Tuhan ada berjanji yang hajat (yang baik) tetap akan
dikabulkanNya. Samada hajat kita itu suci atau sebaliknya hanya Tuhan
sahaja yang mengetahuiNya.
Semuanya adalah di atas ketentuanNya. Kadang-kadang doa kita sampai,
tetapi hajat kita belum kesampaian. Datuk nenek kita berdoa sambil
berusaha untuk mendapatkan sebuah negara merdeka misalnya. Tetapi hajat
kita untuk mendapatkan sebuah negara yang ditadbir oleh mereka yang
bersih dari segala noda belum kesampaian.
Bagi mereka yang bersih niat dan tujuannya kita berkeyakinan yang kita
sepatutnya berdoa dan bemunajat se ‘intensive’ yang boleh untuk mencapai
hajat kita semua. Hajat itu ialah untuk mendapatkan sebuah negara yang
di tadbir oleh pentadbir yang bersih dari noda seperti rasuah dan salah
laku terhadap kita rakyat yang ramai ini.
Usaha nampaknya jelas sekarang ini dilakukan oleh rakyat untuk mencapai
hajat itu. Mungkin yang belum kita lakukan ialah untuk bermunajat
sekuat yang mungkin serta bertawajjuh serta bertawassul yang intensive
belum kita laksanakan. Itu saya dan siapa pun tidak tahu kerana bak kata
saya awal-awal tadi kita tidak mampu untuk menyelam ‘air di dalam
tunggak’ tadi.
Sebagai sesama insan yang bertanggungjawab terhadap penciptaNya, kita
yang memperingati yang usaha itu wajib dilakukan tanpa hentian semasa
kesaorangan dan kesunyian.
Berdoalah agar semua elemen-elemen yang dipenuhi noda itu tertewas dan
memberikan kemenangan kepada pihak yang berkemampuan untuk menghindarkan
hasutan dan bisikan khatir yang jahat yang sentiasa mengajak kita
melakukan kejahatan dan kemungkaran.
Jika dilakukan doa dan munajat yang ‘intensive’ tadi, insyaalah hajat kita akan akhirnya dikabulkanNya.
Inilah hajat kita dalam Tahun Baru ini.
Sumber detikdaily
No comments:
Post a Comment