Friday, January 4, 2013

Batal penjelasan 'amanat' bukti Umno penakut





Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan membatalkan rancangan untuk menyiarkan penjelasan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu amanat membuktikan Umno takut berdepan hujah.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, ianya juga membuktikan Umno hanya berani melawan sorang-sorang.

"Terbukti dan teruji Umno sebuah parti yang tidak berani berhujah dan suka memfitnah. Umno hanya berani bercakap tanpa lawan.

"Berani melawan dengan lawan yang diikat kaki tangan, kemudian istihar dia sebagai pemenang, kerana lawannya telah dipukul TKO," katanya.

Semalam Kementerian penerangan, komunikasi dan kebudayaan mengumumkan membatalkan rancangan untuk menyiarkan penjelasan Presiden PAS itu berhubung amanat yang dibuat pada 1981.

Menterinya Datuk Seri Rais Yatim berkata penyiaran amanat Hadi itu akan bercanggah dengan satu fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 24 Julai 2002.

Bagaimanapun, Rais dilihat cuba berbohong kerana Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan fatwa berkaitan amanat yang diucapkan Hadi di Kampung Banggol Peradong, Terengganu pada 7 April 1981 itu.

Sebaliknya, hanya Majlis Fatwa Negeri Melaka yang pernah mewartakan fatwa tersebut.

Mengulas lanjut, Idris berkata, isu amanat menambah satu lagi hujah bahawa memang Umno bukan parti yang suka mencari kebenaran.

Isu ini katanya dibiarkan untuk dipolitikkan menjelang pilihanraya di dalam usaha memancing undi.

Katanya Umno memperalatkan semua pihak untuk dijadikan pelampung bagi menyelamatkan kapal Umno yang sudah hendak karam.

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan beberapa orang mufti telah diambil untuk menjadi benteng pertahanan Umno, jelasnya.

"Walau pun isu ini sudah berlalu lebih 31 tahun  sejak 7 April 1981.  Tindakan Jakim dan ulamak pengampu  yang tumpang sekaki telah tercalar.

" Apa tidaknya isu yang sudah berlalu lebih 31 tahun baru disedari tentang bahayanya. Masyarakat melihat betapa lembabnya  institusi ini, seolah-olah menjadi talian hayat untuk Umno," ujarnyaya lagi.

Idris berkata, kesediaan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk bersemuka dengan semua pihak yang dilantik oleh kerajaan menunjukkan kewibawaan beliau seorang ulamak yang bertanggungjawab atas apa yang berliau nyatakan.

Sebaliknya penolakan pihak kerajaan untuk membenarkan Presiden PAS untuk menjelaskan selama sejam di dalam televisyen secara langsung menampakkan sikap pengecut pihak kerajaan.

"Tuan Guru Haji Hadi meminta sejam sahaja, selebihnya pihak kerajaan boleh membalas kembali hingga kiamat.

"Pemimpin Umno takut hujah yang dikemukan oleh Presiden Pas akan mempengaruhi orang ramai dan merbahaya, ini diakui sendiri oleh Khairi Jamaludin Ketua Pemuda Umno. Umno bimbang  orang akan meninggalkan Umno dan menyertai perjuangan PAS," katanya.
Sumber harakahdaily

No comments:

Post a Comment