SAINTIS Perancis Memeluk Islam Setelah Mengkaji Penemuan Mayat Firaun Pada pertengahan tahun 1975.
Presiden Perancis menawarkan kerajaan
Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun,
Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman
Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar
Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada
kekejamannya. Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu
diterbangkan ke Paris.
Malah ketika sampai di sana kedatangan
mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila
Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika
mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya
diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal
diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah
dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal,
Prof. Dr. Maurice Bucaille.
Bucaille seorang pakar bedah kenamaan
Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan
kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf
sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan
keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja
Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan
beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh
tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian
raja Mesir kuno itu.
Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan.
Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad
mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat
tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut,
‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.
Namun penemuan itu menimbulkan
persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad
tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang
lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau menyiapkan
sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu
proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan
tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya;
Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu,
Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix
Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise
dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine,
Perancis. KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN.
Namun seorang rakan sempat membisikkan
kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang
baru. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah
berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya
dipelihara sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang keras oleh
Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya
membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui
kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal
canggih yang mutakhir dan tepat.
Dr. Bucaille menjadi serba salah dan
bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai
oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan
kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin tertanya-tanya,
bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu
baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di
tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya. Sambil mata tidak lepas
memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus
tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang
jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk
akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)?
Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal
kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,”
bicara hatinya sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil
yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut
saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.
Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang
diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti
sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta
(chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa
ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel
dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut
itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut
kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya
kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin
kebingungan.
Apabila mumia dikembalikan semula ke
Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu
beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai
sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan
Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang
mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran
berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:
“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi
pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya
kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”
Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh.
Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima
akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk
maju meneroka lebih jauh lagi.
Lalu dengan hati yang begitu
bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan
dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan
beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran
dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan
menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku
yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah
diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible,
the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of
Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang
kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya
membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains
sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam umpama saudara
kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat
pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun
kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya
diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang
sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan
kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.
No comments:
Post a Comment