Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman,
|
|
Makna perkataan: “Selawat”. Perkataan selawat berasal daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian.
Selawat
Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat. Selawat malaikat
ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang mukmin
ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan
kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad
SAW.
Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah
limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan
daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].
Ada juga yang
mengatakan ia bererti taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan
hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya),
sebagaimana dalam firman-Nya:
“Dialah yang berselawat
kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan
untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya
(yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang
beriman”. (Surah al-Ahzab: ayat 43).Hukum berselawatPara
ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad
SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat
(ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya.
Antaranya:
1. Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2. Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3. Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4.
Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW,
ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.
Arahan Membaca SelawatDalam
semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya
beribadat. Sebagaimana dalam firman-Nya di atas tadi, Allah sendiri
memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan
kepada Muslimin mengamalkannya. Hal ini bermakna membaca selawat itu
sangat utama.
Kelebihan SelawatDari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa
yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat
baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta
ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR
An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.
Banyak
berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim
kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang
mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.
Selawat Paling AfdhalMembaca
selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan merupakan salah
satu tanda kecintaan kepada Nabi SAW sekaligus menjadi faktor utama
untuk mencapai syafaat Nabi SAW di hari Kiamat kelak. Perintah kepada
umat Islam untuk membaca selawat untuk Nabi SAW datang setelah Allah
Ta’ala memberitahu bahawa Dia berselawat kepada Nabi Muhammad SAW
sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah dan para
malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW).
Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta
ucapkanlah salam dengan penghormatan.” (Surah al-Ahzab: ayat 56).Ayat
di atas tidak menjelaskan satu bentuk nas selawat tertentu untuk dibaca
apabila seorang Muslim hendak membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Namun
demikian, terdapat beberapa riwayat yang menukilkan bahawa beberapa
orang sahabat Nabi saw telah bertanya Rasulullah SAW cara atau kaifiyat
untuk berselawat ke atas Baginda SAW, maka diajarnya kepada mereka.
Antaranya
ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 daripada Ka’ab bin ‘Ujrah
RA. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah
bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada
beliau.
Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah: (*rujuk laman web asal)
Inilah
antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat
RA sebagai jawaban kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat
untuk Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan lafaz ini sebagai lafaz
paling afdhal dalam berselawat.
Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:
“Yang
disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah
(dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi
petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda
SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling
sempurna.” [Fathul Bari: 11/66].
Menurut Kitab Mestika Hadis
1/259: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca
selepas tasyahud akhir setiap solat. Hal ini kerana para ulama telah
menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat
kepada Nabi Muhammad SAW dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak dihukum
terlepas daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan
dengan membaca selawat itu.”
Maka adalah lebih baik apabila lafaz
selawat ini yang diamalkan dalam membaca selawat untuk Nabi SAW, bukan
lafaz-lafaz selawat susunan seseorang, meskipun bukan larangan untuk
menyusun bentuk teks selawat sendiri. Selawat-selawat selain yang
diajarkan oleh Nabi SAW kadang-kadang tidak terlepas daripada
kekeliruan, baik dalam pemilihan bahasa, mahupun –dan ini yang paling
parah– kesalahan dalam akidah.
Lafaz Selawat yang sahihLafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:
Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292, sahih] (*Lihat web asal)
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Kemudian terdapat riwayat-riwayat yang sahih dalam lapan riwayat, iaitu:
1. Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA:
“Ya
Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad
sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim,
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah,
Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah
memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha
Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim]
2. Dari Abu Humaid As Saa’diy RA:
“Ya
Allah,berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau
dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga
Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan isteri-isteri beliau dan
keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim,
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan
Muslim].
3. Dari Abi Mas’ud Al-Ansori RA:
“Ya Allah berilah
selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau
telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, dan berkatilah Muhammad dan
keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim
atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
[HR Muslim]
4. Dari Abi Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Ansori RA (jalan kedua):
“Ya
Allah berilah selawat kepada Muhammad nabi yang ummi dan kepada
keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada
Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, nabi yang ummi
sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim,
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Abu Daud no.
981, sahih]
5. Dari Abi Sa’id Al-Khudri RA:
“Ya Allah berilah
selawat kepada Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah
berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga
Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim.” [HR Bukhari]
6. Dari seorang lelaki, sahabat Nabi SAW:
“Ya
Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada ahli baitnya
(keluarganya) dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau
telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha
Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan kepada ahli
baitnya dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah
memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi)
Maha Mulia.” [HR Ahmad, sahih].
7. Dari Abu Hurairah RA:
“Ya
Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan
berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah
berselawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya
Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR At-Tohawi dalam "Musykil
al-Athar" 3/75, An Nasa-i dalam "Amalul Yaum wal Lailah" no 47. Sahih]
8. Dari Tolhah bin ‘Ubaidullah RA:
“Ya
Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad,
sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau
Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga
Muhammad, sebagaimana Engkau telah telah memberkati keluarga Ibrahim,
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Imam Ahmad,
sahih].
Waktu Afdhal Berselawat•Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
•Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
•Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
•Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
•Di akhir qunut dalam solat.
•Di dalam solat jenazah.
•Ketika masuk dan keluar dari masjid.
•Setiap waktu pagi dan petang.
•Hari Khamis malam Jumaat.
•Sepanjang hari Jumaat.
•Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.
Demikianlah
perbincangan ringkas tentang lafaz selawat ke atas Nabi Muhammad SAW
yang dapat dikumpulkan, berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Sebagai
panduan untuk beramal dengan Sunnah dan selawat yang mempunyai kekuatan
sanad yang benar dan sahih daripada Nabi SAW.
http://www.abuanasmadani.com