Thursday, January 30, 2014

Tabung Haji umum bonus tahunan 6%, tambahan bonus 2%

Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan bonus 6% dan tambahan bonus haji sebanyak 2% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.
Kadar bonus tahun Tabung Haji sebanyak 6% itu kompetitif iaitu tiga mata lebih tinggi daripada kadar pulangan akaun deposit tetap Perbankan Islam dan Konvensional.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata TH mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan dan pemberian bonus haji menunjukkan kesungguhan TH dalam menjaga kebajikan para pendeposit.
"Kadar bonus tahunan TH adalah kompetitif memandangkan profil pelaburan TH adalah terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah manakala tabungan di TH adalah sukarela dan tiada had," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan TH hari ini.
Pendapatan keseluruhan TH bagi tahun 2013 berjumlah RM3.7 bilion atau peningkatan sebanyak 34% berbanding RM2.8 bilion pada 2012.
Keuntungan bersih selepas zakat berjumlah RM2.6 bilion pada 2013 berbanding RM2.1 bilion pada 2012.  
Sehingga 31 Disember, 2013, aset peruntukan pelaburan terbesar TH ialah ekuiti sebanyak 37%, diikuti pasaran wang dan instrumen kewangan lain (25%), pendapatan tetap (26%) dan hartanah (12%).
Bonus pendeposit TH 2013 akan dikreditkan bermula 3 Februari, 2014, melalui kaunter TH dan bank-bank rakan strategik TH.
"Jumlah bayaran bonus pendeposit 2013 ini menunjukkan peningkatan 6.5% kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion pada 2012," kata Jamil Khir.
TH mempunyai 8.3 juta pendeposit dan 7.7 juta daripada mereka belum menunaikan haji.
Majoriti akaun pendeposit (7.2 juta) tersebut mempunyai baki purata minimum kurang daripada bayaran haji sebanyak RM9,980.   
Kadar bonus tahunan 2013 melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM2.4 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 14.3% berbanding RM2.1 bilion pada 2012 manakala pemberian bonus haji melibatkan agihan kewangan sebanyak RM223 juta. - Bernama, 30 Januari, 2014.

Sumber themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment