Sunday, January 5, 2014

Konflik Selatan Thai ragut 5,352 nyawa sejak 2004



PATTANI (Selatan Thailand): Pergolakan di wilayah selatan Thailand telah mengorbankan 5,352 orang sejak 2004, menurut Pusat Keselamatan Dalam Negeri (ISOC).
          
Jurucakap ISOC Bahagian Keempat, Kol Pramoth Prom-In hari ini berkata dalam tempoh 2004-2013, sebanyak 9,965 orang mengalami kecederaan dalam 8,540 kejadian keganasan yang dilakukan oleh puak pemisah.
          
"Dalam tempoh itu, 499 anggota tentera maut dan 2,429 lagi cedera, sementara 312 anggota polis mati dan 1,159 cedera, manakala 181 sukarelawan terkorban dan 357 cedera," katanya.
          
Turut menjadi mangsa ialah golongan pendidik di mana 187 guru terbunuh dan 191 cedera manakala 399 anggota puak pemisah mati dan 92 cedera.
          
Mangsa lain keganasan terdiri daripada pegawai pentadbiran, pemimpin agama dan orang awam, katanya.

Pramoth berkata sejumlah 615 insiden keganasan berlaku pada tahun lepas berbanding 542 insiden pada 2012.
          
Beliau berkata pada 2007 sebanyak 1,669 insiden keganasan direkodkan iaitu yang tertinggi.
          
"Jelas sekali trend dalam tempoh itu terdapat pengurangan insiden iaitu pada 2004 (601), 2005 (1,006), 2006 (1,249), 2007 (1,669), 2008 (769), 2009 (757), 2010 (625), 2011 (680) dan 2012 (542),' katanya.
          
Dalam insiden terbaru hari ini, seorang anggota polis maut dan seorang sukarelawan cedera terkena tembakan dalam kejadian di sebuah kedai kopi di Mukim Bandar, Muang Pattani, awal pagi ini.
          
Menurut Ketua Polis Daerah Muang Pattani, Kol Tuandir Juthanon, empat lelaki menaiki motosikal melepaskan tembakan ke arah kedua-dua mangsa yang sedang menikmati minuman teh. - Bernama

No comments:

Post a Comment