Thursday, January 16, 2014

Hikayat seorang ‘raja’ dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa – Mohd Hazmi Mohd Rusli


Baru-baru ini, negara digemparkan dengan kemunculan seorang individu bernama Raja Noor Jan Shah Ibni Al-Marhum Raja Tuah Shah yang mengaku dirinya sebagai Sultan Melaka yang “diiktiraf” oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Adakah ini suatu petanda Malaysia bakal mempunyai 10 negeri yang bersultan?
SEJARAH MELAKA
Kepulauan Melayu atau Nusantara adalah sebuah kawasan yang terbentang luas dan Semenanjung Melayu terletak di tengah-tengah wilayah ini. Sejak berkurun lamanya, kuasa politik rumpun Melayu tertumpu di Pulau Sumatera menerusi kerajaan Srivijaya dan setelah kejatuhan empayar maritim ini pada kurun ke-12, Nusantara telah berpaksikan kerajaan Majapahit di Pulau Jawa.
Susulan kejatuhan Majapahit pada kurun ke-14, Kesultanan Melayu Melaka telah diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1400, putera Melayu Hindu yang bersusur galur daripada pemerintah kerajaan Srivijaya yang tidak lagi berkuasa pada ketika itu.
Menerusi pengasasan Melaka, kuasa politik utama di Nusantara beralih dari Pulau Jawa ke Semenanjung Melayu. Melaka berkembang menjadi pusat perdagangan yang terkenal di Asia dan berjaya membentuk sebuah empayar maritim yang masyhur dan disegani.
Kekayaan dan kegemilangan Melaka berterusan selama 110 tahun sebelum empayar ini jatuh tersungkur dibedil Portugis pada tahun 1511. Di dalam ekspedisi kelolaan Alfonso D’ Albuquerque, kedaulatan Melaka telah tersirna dan Sultan Melaka pada ketika itu, Sultan Mahmud Shah, terpaksa melarikan diri untuk membina semula kekuatan empayarnya yang telah runtuh.
Baginda menjadikan Bentan sebagai ibu negerinya yang baru dan telah beberapa kali cuba untuk menyerang Portugis di Melaka. Pada tahun 1526, Portugis memusnahkan Bentan menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri ke Kampar, Riau, Sumatera dan akhirnya, mangkat di sana.
Putera-putera baginda, Raja Alauddin II dan Raja Muzaffar, masing-masing menjadi sultan-sultan di negeri-negeri yang pernah berada di bawah naungan Melaka, yakni, Johor dan Perak. Maka, dengan itu, berakhirlah kedaulatan empayar Melaka yang pernah menjadi titik fokus politik dan ekonomi Nusantara.
MASIH WUJUDKAH SULTAN MELAKA?

Setelah dijajah Portugis, Melaka kemudiannya menjadi milik Belanda dan seterusnya British. Melaka pernah ditadbir Jepun untuk seketika sewaktu perang dunia kedua. Di bawah pentadbiran British, tidak seperti negeri-negeri Melayu yang lain, Melaka telah dijadikan sebagai sebuah negeri Selat yang bertaraf tanah jajahan British.
Menjelang kemerdekaan, Melaka kekal sebagai sebuah negeri tidak bersultan dan ditadbir sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka sebagai pemerintah tertingginya. Bagaimanakah mungkin sebuah kesultanan yang telah runtuh 503 tahun yang dahulu boleh secara mendadak mempunyai seorang "sultan" sekarang?
PENGIKTIRAFAN ICJ
Individu bernama Raja Noor Jan Shah Ibni Al-Marhum Raja Tuah Shah ini telah mengaku dirinya sebagai Sultan Melaka sejak tahun 2005. “Sultan” ini menuntut haknya sebagai pemerintah Negeri Melaka Darul Islam setelah dikatakan mendapat pengiktirafan daripada ICJ menerusi dokumen yang telah ditandatangani oleh badan keadilan dunia itu.
Persoalan sama ada dokumen itu sahih atau tidak sudahpun terungkai. Kerajaan negeri Melaka pada hari Rabu, 15 Januari 2014 telahpun mendapatkan pengesahan daripada ICJ bahawasanya dokumen itu palsu. Namun, andai kata pengesahan itu sahih, bolehkah pengiktirafan ICJ itu memaksa Malaysia untuk menerima Raja Noor Jan Shah sebagai sultan Melaka?
MAHKAMAH KEADILAN ANTARABANGSA ICJ
Mahkamah Keadilan Antarabangsa adalah organ utama kehakiman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tempat perbicaraannya adalah di Istana Keamanan di Den Haag, Belanda. Didirikan pada tahun 1945 oleh Piagam PBB, mahkamah ini mula beroperasi pada tahun 1946.
Malaysia telah beberapa kali meminta ICJ untuk menyelesaikan permasalahan antarabangsanya dengan negara-negara jiran, seperti kes kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan dan juga yang agak terbaru, kes pemilikan ke atas wilayah Pedra Branca.
Malaysia mencapai kemerdekaan dan menjadi sebuah negara berdaulat pada tahun 1957. Dalam konteks undang-undang antarabangsa, konsep kedaulatan berhubung rapat dengan suatu pemerintahan yang memiliki penguasaan penuh terhadap urusan dalam wilayah lingkup kedaulatannya dengan memiliki bidang kuasa undang-undangnya sendiri.
Dengan memiliki kedaulatan, Malaysia tidak boleh dipaksa untuk melakukan sesuatu perkara oleh mana-mana organisasi atau pertubuhan antarabangsa tanpa kerelaannya.
Apabila suatu kes perbalahan di bawa ke ICJ untuk diputuskan, negara-negara yang menjadi pihak yang berbalah harus bersetuju untuk menerima bidang kuasa ICJ ke atas mereka. Kes-kes seperti Pulau Sipadan/Ligitan ataupun Pedra Branca tidak mungkin terungkai sekiranya Malaysia, Indonesia dan Singapura tidak sanggup menerima bidang kuasa ICJ ke atas mereka.
Adalah tidak wajar sekiranya “pengiktirafan” yang diberikan oleh ICJ itu mengikat Malaysia untuk menerima Raja Noor Jan Shah sebagai seorang sultan bagi negeri Melaka Darul Islam. Kalau memang benar pun diiktiraf, sebagai sebuah badan dunia, ICJ hanya mempunyai bidang kuasa nasihat (persuasive jurisdiction).
RATU ELIZABETH SEBAGAI "RAJA DUNIA"
Dalam sidang media anjuran Raja Noor Jan Shah yang dimuat naik ke dalam internet pada hari Isnin, 6 Januari 2014, “sultan” ini ada menyebut bahawa Ratu Elizabeth dari England adalah seorang “Raja Dunia” yang telah mengiktirafnya menerusi “pengiktirafan” oleh ICJ. Ini ada suatu kenyataan yang sangat tidak masuk akal kerana kedaulatan sesebuah negara mengatasi bidang kuasa ICJ ataupun titah perintah Ratu Elizabeth.
Sejak merdeka, Malaysia telah menjadi anggota negara-negara komanwel, sebuah pertubuhan negara-negara bekas jajahan Britain. Di dalam komanwel, terdapat negara-negara yang digelar sebagai “commonwealth realm” yang terdiri daripada negara-negara seperti Australia, New Zealand dan Fiji. Negara-negara commonwealth realm mengakui bahawa Ratu Elizabeth adalah raja bagi negara-negara mereka.
Akan tetapi, sebagai anggota negara komanwel, Malaysia tidak tergolong di dalam kategori commonwealth realm dan tidak mengakui kedaulatan Ratu Elizabeth ke atasnya. Malaysia mempunyai raja tersendiri yang berdaulat iaitu Yang Dipertuan Agong. Sekiranya Raja Noor Jan Shah diangkat sebagai Sultan Melaka, kedaulatan negara boleh tercabar kerana “sultan” ini secara langsung atau tidak langsung, mengakui yang Ratu Elizabeth, sebagai seorang raja dunia, mempunyai kuasa terhadap Malaysia.
TUNTUTAN HAK CUMA SEBUAH HIKAYAT DONGENG?
Disebabkan kegusaran yang melanda rakyat Malaysia amnya dan rakyat Melaka khususnya, “Sultan” ini telahpun ditahan polis pada hari Selasa, 14 Januari 2014 yang lalu di bawah Akta Hasutan 1948. Pihak kerajaan negeri Melaka juga telah memaklumkan bahawa “sultan” ini tidak akan diiktiraf dan dokumen pengiktirafan ICJ yang dikemukakannya adalah palsu.
Sejak tahun 1957, Melaka telah berkembang menjadi salah sebuah negeri yang berdaya saing di Malaysia bukan kerana “sultannya” tetapi kerana kebijaksanaan pemerintah Melaka dan rakyat Melaka sendiri yang rajin berusaha untuk maju ke hadapan. Kesultanan yang telah berkubur sejak tahun 1511 tidak mungkin wujud kembali pada tahun 2014.
Oleh itu, Raja Noor Jan Shah tidak boleh diangkat sebagai seorang “sultan”. Tuntutan Raja Noor Jan Shah ini tidak lebih dari sebuah hikayat dongeng yang direkacipta. – 16 Januari, 2014.¬¬
* Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) adalah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang felo penyelidik di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu

Sumber themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment